Kumpulan karyawan tersebut turut membantah tindakan DBP yang tidak memberi hak cipta karya kepada penulis asalnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.
PETALING JAYA: Dalam perkembangan terbaru kontroversi novel Interlok Edisi Murid, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpendapat bahawa teks Komsas itu yang dicetak semula baru-baru ini adalah edisi yang lebih baik daripada cetakan 2010 tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.
Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian terperinci ke atas edisi 2011 serta membandingkannya dengan edisi 2010 dan senarai saranan pindaan yang diperakukan Panel Bebas.
Uthaya menggunakan istilah “Interlok Kulit Merah” bagi edisi cetakan 2010 dan “Interlok Kulit Biru” bagi cetakan 2011.
“Kavyan memutuskan bahawa kerja-kerja pemurnian yang dipersetujui oleh Muhyiddin di Menara Parlimen pada 23 Mac lalu dan diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat pada keesokannya belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di blog Kavyan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Kavyan berasa bangga kerana berjaya memperjuangkan maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain apabila nama beliau dicetak pada kulit hadapan novel itu.
Terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh Kavyan, misalnya, frasa “Cetakan Pertama 2010” tidak memadai, sebaliknya perlu ditambah frasa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Interlok Kulit Biru dicetak pada 2011.
Hak cipta
“Kami turut membantah sekeras-kerasnya dan merakamkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengembalikan hak cipta karya kepada Datuk Abdullah Hussain,” kata Uthaya dalam kenyataan itu.
Kavyan bagaimanapun gembira dan puas hati kerana maklumat yang dicetak pada kulit belakang (blurb) tidak lagi berciri propaganda politik.
Ayat “Varuntinal varataku illai” pada halaman 209 masih menimbulkan bantahan kerana ayat itu tidak membawa makna yang wajar.
“Perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam senarai saranan pindaan yang diperakukan Panel Bebas tetapi tidak dibetulkan dalam Interlok Kulit Biru.
“Hal ini boleh dilihat sebagai sikap tidak prihatin pihak berkenaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” kata kenyataan itu.
Kavyan bagaimanapun puas hati dengan beberapa pindaan dan pemurnian yang dibuat.
Antaranya adalah membuang frasa “seperti kambing” (211), “seperti lembu atau kambing memamah biak” (224) serta frasa “yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta” (227).
Kavyan juga amat berpuas hati dengan aspek pemurnian melibatkan pembuangan frasa “untuk dewa Palikai” (227), bahagian “diikuti dengan upacara nalanku … perkataan nalam itu sendiri” (228) serta ayat “Menurut kepercayaan, tiap-tiap langkah … dan kesetiaan” (228).
“Kavyan yang amat prihatin terhadap aspek bahasa, sastera, seni dan budaya juga merakamkan rasa gembira kerana perkataan ‘tali’ dibetulkan kepada ‘taali’ (228).
“Perkara ini penting kerana terdapat perbezaan amat besar antara ‘tali’ (string) dan ‘taali’ (mangala sutra),” kata Uthaya yang turut dilantik menganggotai panel bebas itu sebelum ini.
Menurutnya, hasil penelitian terhadap novel cetakan terbaru itu, Kavyan mendapati bahawa kerja-kerja pemurnian tidak dilakukan sepenuhnya seperti diharapkan.
“Ini adalah edisi yang lebih baik daripada cetakan 2010 tetapi bukan edisi yang dijanjikan Muhyiddin,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber-sumber dalaman memaklumkan bahawa MIC dan dua panelis kaum lain telah pun memberikan lampu hijau kepada edisi ini.
No comments:
Post a Comment