Share |

Monday, 4 July 2011

MP PAS kecewa khutbah diguna untuk halang Bersih

Jumaat lalu, khutbah di sekitar Wilayah Persekutuan mengharamkan umat Islam dari melibatkan diri dalam perhimpunan itu.

PETALING JAYA: Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad kesal kerana khutbah Jumaat digunakan untuk menghalan perhimpunan bersih Sabtu ini.
Jumaat lalu, khutbah di sekitar Wilayah Persekutuan mengharamkan umat Islam dari melibatkan diri dalam perhimpunan itu.

Hujah untuk mengharamkannya bahawa perhimpunan ini bertujuan melakukan huru-hara, tumpah darah, membawa kerosakan dan berniat untuk menjadikan keadaan negara lebih teruk dari yang sedia ada.

“Amat malang apabila mimbar masjid digunakan untuk menyebar fitnah dan tohmahan kerana pada hakikatnya Bersih  inginkan suatu pembaikkan kepada yang sedia ada melalui satu perarakan yang aman.

“Kalau ada yang inginkan huru-hara, ianya bukan Bersih. Kalau ada yang inginkan tumpah darah, ianya bukan Bersih,” katanya.

Tabur fitnah

Khalid menambah amatlah sedih apabila khutbah dipergunakan sebegini rupa da melihat mimbar digunakan untuk menabur fitnah dan dakyah demi kepentingan politik Umno/BN.

Katanya, sebenarnya umat Islam sepatutnya yang pertama bangun untuk menjadi pejuang keadilan dan kebenaran, penentang penipuan dan kezaliman.

Beliau juga menyifatkan Umno dalam keadaan kelam-kabut dan gundah-gulana dalam usaha menangani perhimpunan Bersih.

“Berdasarkan ucapan, tingkah laku dan riak wajah mereka, satu mesej jelas terpampang, iaitu ‘Bersih’ akan mengakibatkan Umno/BN tersungkur dalam pilihan raya ke-13.

“BN memahami hakikat sebenar usaha Bersih. Namun mereka tetap berusaha keras untuk menfitnah usaha Bersih dengan bermacam-macam tohmahan dan dakwaan palsu.

“Mengapa? Jawapannya mudah sahaja. BN sedar bahawa pada hakikatnya rakyat sudah tidak bersama mereka dan pilihan-raya yang bersih, tanpa penipuan undi pos, kad pengenalan palsu, monopoli media dan sebagainya, akan menghasilkan kekalahan bagi BN,” jelasnya.

No comments: