Share |

Sunday, 8 May 2011

Faksyen: Pulau Pendatang – Bahagian 12

Dalam tempoh seminggu sebelum dilucutkan hak kerakyataan secara automatik, ramai yang berusaha mencari jalan untuk tidak menjadi pelarian.

“Kita tidak ada negara lain selain Pulau Cinta. Inilah tanah tumpah darah kita. Malah, datuk dan nenek kita juga lahir di sini,” kata seseorang dengan suara menggigil memikirkan nasib diri dan keluarga apabila terpaksa menjadi pelarian tanpa negara.

“Diaspora Jawa, Cina, Arab, Tamil, Thailand, Afrika dan entah apa-apa lagi ada di Pulau Cinta sejak ratusan tahun lalu. Kalau tiba-tiba dilucutkan kewarganegaraan, masakan boleh ke Indonesia, China, Arab, India, Thailand, Afrika dan sebagainya! Kita bukan warga negara-negara itu. Kita adalah warganegara Pulau Cinta,” kata seorang ibu beranak sembilan.

Namun, segala hujah dan perbahasan dalam kalangan penduduk bukan keturunan Malayali tidak membawa apa-apa makna. Keputusan muktamad sudah dibuat. Hanya penduduk keturunan Malayali yang beragama Hindu, bertutur Bahasa Malayalam dan mengamalkan budaya Malayali diterima sebagai warganegara bermula 7 Ogos.

“Ada lompang di sini!” Jerit seorang pemuda. “Mengikut rombakan pada Perlembagaan Pulau Cinta, kita masih boleh menjadi warganegara jika kita menjadi orang Malayali yang beragama Hindu, bertutur Bahasa Malayalam dan mengamalkan budaya Malayali!”

Maka, selama dua hari, ramailah penduduk – khasnya generasi muda – mengangkat sumpah bagi mengiktiraf diri mereka sudah meninggalkan keturunan, agama, bahasa dan budaya asal.

Namun, pada hari ketiga (4 Ogos), kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan orang lain berbuat demikian.

“Sejak kelmarin, hampir 200 pendatang dan bangsa asing mengangkat sumpah menjadi orang Malayali, semata-mata kerana mahu kekal sebagai warganegara. Bermula pagi ini, permohonan baru tidak akan diterima,” kata pekerja di kaunter pendaftaran berikutan arahan baru yang dikeluarkan Jemaah Pemerintah.
Maka, musnahlah harapan sekumpulan penduduk yang mahu menggunakan lompong pada Perlembagaan untuk kekal sebagai warganegara Pulau Cinta.

Keputusan pindaan Perlembagaan turut mendapat bantahan penduduk di Pulau Sayang. Pulau itu bergabung dengan Pulau Cinta berikutan cadangan yang dikemukakan Rama tidak lama selepas dia menjadi Perdana Menteri dahulu.

7 Ogos 2015. Tarikh Pulau Sayang menarik diri daripada menjadi sebahagian Pulau Cinta. Tarikh penduduk bukan keturunan Malayali menjadi warganegara Pulau Sayang. – Bersambung minggu depan

Bahagian terdahulu
Uthaya Sankar SB sering mendapat idea daripada kejadian seharian di sekeliling untuk menghasilkan karya.

No comments: