Share |

Monday, 4 April 2011

Konspirasi Politik Keji Wajar Dihukum

Dari Merdeka Review
Oleh Lim Yew Chien

Seandainya negara ini adalah “waras”, sudah tentunya isu klip video seks yang dibikin Datuk T tidak akan berlaku. Ini kerana bukan sahaja penayangan klip video seks kepada media gagal mencapai tujuannya untuk menfitnah, malah bakal mencungkil kemarahan umum sebaliknya. Lebih-lebih lagi, perbuatan sedemikian akan berdepan dengan tanggungjawab jenayah. Mustahil konspirator bodoh sehingga terlibat dalam kelakuan yang merugikan dirinya. Namun demikian, nampaknya Malaysia bukanlah sebuah negara yang “waras”.

Sememangnya, hipotesis di atas didasari dengan pra-syarat bahawa klip video tersebut bukan sesuatu yang benar, iaitu pelakunya adalah Anwar Ibrahim sebagaimana yang disasarkan. Kesahihan video tersebut boleh dikenalpasti kemudiannya. Namun, melihat kepada pendekatan Datuk T mengumumkan video tersebut, agak jelas bahawa kesahihan video tersebut adalah rendah.

Mengapa simpati terhadap Anwar?

Identiti Datuk T sudah terdedah – sama ada orang yang berdendam, atau bertentangan pendirian dengan Anwar dari politik. Apa yang diwar-warkan dalam kenyataan bahawa “mahu membongkar kemunafikan politikus” sebelum itu kini menjadi sesuatu yang tidak masuk akal. Seandainya “kelemahan” musuh atau seteru dikuasai, maka ia akan dipergunakan sebaiknya untuk menghasilkan sabotaj yang maksima – tanpa belas kasihan dan rasa simpati.

Jikalau itulah keadaannya, maka apa yang harus dilakukan Datuk T adalah menyebarkan klip video ini seluas yang mungkin. Jikalau klip video tersebut dikesahkan benar, maka penontonnya semestinya akan mendesak agar Anwar berundur selepas menyaksinya. Maka berjayalah usaha untuk memusnahkan Anwar.

Tetapi Datuk T tidak berbuat demikian, sebaliknya menyiarkan video tersebut sekali sahaja. Kemudian mereka mengugut agar Anwar meletakkan jawatan dengan sendiri, atau mereka akan mengedarkan kepada umum klip video tersebut. Apa perlunya Datuk T untuk bermurah hati, tidak memusnahkan Anwar sekaligus, sebaliknya memberi peluang agar Anwar berundur sambil menjaga kehormatan dirinya? Mungkin inilah jawapan yang rasional – Datuk T telah sedar sebermulanya, bahawa lelaki dalam klip video tersebut bukan Anwar. Ia terlalu senang untuk dibongkarkan. Maka pendekatan untuk memusnahkan Anwar sekaligus gagal mencapai tujuannya.

Sememangnya, klip video seks ini telah memberi impak berikutan “kerjasama” yang sungguh-sungguh dari media. Semestinya Datuk T mahu memaksimakan kesan sabotajnya. Jadi, dalam keadaan di mana mereka mahu memaksimakan impak tanpa bukti yang sah, maka nampaknya Datuk T hanya boleh menggunakan pendekatan yang sedia ada – biar media bertanggungjawab menyebarkan khabar, tetapi tidak memberi peluang kepada orang lain untuk mendapatkan klip tersebut supaya segala penjelasan mahupun pembelaan diri boleh dilakukan dengan jelas dengan merujuk kepada bahan yang ada.

Media menjadi perkakas BN

Media yang asalnya menjadi perkakas Barisan Nasional semestinya tidak kisah untuk diperalatkan sepenuhnya. Malah media ini tetap menghebohkannya walaupun konspirasi di sebalik klip video tersebut dibongkarkan secara beransur-ansur. Fitnah yang berniat jahat ini tidak diambil tindakan – inilah yang membezakan antara Malaysia dengan negara lain yang “waras”.

Media arus perdana yang lain, mungkin kurang “niat jahat”-nya berbanding perkakas BN, dan telah berhenti untuk memainkan isu ini. Namun, ia tidak mengubah hakikat bahawa mereka telah dipergunakan orang lain. Anwar dan Pakatan Rakyat membalas serangan dengan menyasarkan teras tampuk kuasa negara, namun media arus perdana ini hanya mencuit pada kulit. Ini adalah perbezaan terbesar antara media arus perdana dengan media internet. Walaupun media internet juga melaporkan berita klip video ini, tetapi pada masa yang sama mengetengahkan kesangsian dalam video tersebut. Reaksi Pakatan Rakyat kemudiannya, teori konspirasi yang diketengahkan turut diberi liputan yang luas.

Media arus perdana mungkin menganggap “konspirasi politik” adalah spekulasi yang belum dikenalpasti, maka ia tidak wajar dihebohkan. Persoalannya, bukankah ia juga tuduhan yang sarat dengan kesangsian untuk mengatakan lelaki dalam video tersebut adalah Anwar? Mengapa pula diheboh-hebohkan hal ini? Bukankah ini ibarat peribahasa Cina, “Menteri dibenarkan untuk membakar dengan api, tapi rakyat jelata dilarang untuk menyalakan api sebagai lampu?”

Secara keseluruhannya, media arus perdana telah menjadi perkakas politik, malah adalah perkakas kepada politik yang keji dan jijik. Media mungkin dipergunakan kerana kecuaian, maklumlah dalam masa yang suntuk, ditambah pula dengan percaturan Datuk T, maka ia bolehlah dimaafkan. Tetapi seandainya tiada muhasabah kemudiannya, tidak memberi ruang kepada mangsa untuk menjawab, maka persoalannya – di manakah profesional dan etika wartawan dan editor?

PR mempersoalkan, mengapa Datuk T tidak diambil tindakan undang-undang selepas mengakui bahawa dirinya menayangkan video lucah? Tiada pendakwaan setakat ini selepas polis menyoal siasat Datuk T. Setelah suspek secara terbuka mengakui dirinya melakukan jenayah, apa lagi yang sukar untuk polis? Tiada pendakwaan sehingga hari ini – bukankah ia sudah memadai untuk mengesyaki kewujudan konspirasi politik?

Siapa dalang di sebalik tabir?

Ada yang mendakwa cara pengendalian isu video seks ini adalah kasar, maka kemungkinan ia bukan didalangi pemerintah. Namun, seandainya sasarannya dituju kepada komuniti konservatif yang hanya terdedah kepada media arus perdana, maka ia tetap memberi kesan – sama ada pendekatan ini kasar mahupun halus. Lebih-lebih lagi, pelaksanaan konspirasi boleh di-”outsource”-kan. Mana-mana politik yang berdarjat rendah boleh ditanggung pihak yang berkenaan. Ia seolah-olah politik yang tidak memerlukan modal.

Politik jijik menyelubungi negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dari rampasan kuasa di negeri Perak, hinggalah sebaran gambar peribadi Elizabeth Wong. Dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyasarkan kerajaan PR, sehingga tragedi kematian Teoh Beng Hock, hinggalah kes liwat Anwar Ibrahim. Jelas, BN mahu meyakini rakyat bahawa PR gagal menjalankan amanah rakyat sebab gagal menguruskan hal-ehwal dirinya. Tetapi rakyat seharusnya berfikir, siapakah yang paling mungkin untuk menjadi dalang di sebalik tabir?

Kebetulan klip video seks ini muncul menjelang PRU ke-13. Ia memperingatkan rakyat bahawa pilihan raya adalah penghakiman terhadap politik yang jijik. Jadi, pengundi bertanggungjawab untuk menghukum politik jijik ini dengan undinya dalam pilihan raya kali ini.

*Lim Yew Chien pernah menjadi pengacara rancangan forum isu semasa, juga kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 30 Mac 2011.

No comments: