Share |

Sunday 6 March 2011

Tindakan keras jika hasut rakyat guling kerajaan

Berita Harian

Laman sosial Facebook, SMS, media alternatif dipantau: Rais

TEMERLOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan akan memantau tindakan pihak yang cuba menghasut rakyat menerusi laman sosial Facebook, SMS dan media alternatif lain.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata SKMM dan pihak berkuasa lain boleh menggunakan undang-undang sedia ada bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang memprovokasi rakyat untuk menggulingkan kerajaan.

“Kita sedang melihat perkembangan ini dengan teliti termasuk kata-kata yang mereka keluarkan dalam media alternatif,” katanya selepas melancarkan Kampung WiFi Rumpun Makmur, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan media semalam, berhubung amaran kerajaan supaya pembangkang ‘tidak bermain api’ atas cubaan menghasut rakyat bagi menggulingkan kerajaan seperti di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan berkata, tindakan pembangkang itu sengaja mahu menimbulkan huru-hara dan bertujuan memporak-perandakan kerajaan, menggugat keamanan serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan akan bertindak mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika kes itu semakin serius.

“Pemantauan mendapati pihak terbabit cuba mencetuskan gerakan seumpama itu dengan tujuan dan matlamat bersandarkan politik dan mahu mengambil kesempatan dengan situasi yang berlaku di Asia Barat,” katanya selepas diberi taklimat berkaitan operasi pasukan polis sepanjang proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Markas Teknikal Polis (MARTEK) Kerdau di sini, petang semalam.
Hishammuddin juga mengesahkan pihaknya menerima permohonan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk menerbitkan akhbar Utusan Rakyat dan pertimbangan sedang dibuat.

Sementara itu, pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari, berkata, gejala fitnah dan hasutan di blog kian berleluasa dan tidak terkawal berikutan pertumbuhan blog tidak beretika. 

No comments: