Share |

Monday, 28 March 2011

Perkasa: Melayu bukan bangsa meminta-minta

Kita hanya menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan - Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Dato Ibrahim Ali mengingatkan semua pihak bahawa tuntutan Perkasa tidak bererti Melayu Bumiputera adalah bangsa yang meminta-minta.

“Kita hanya menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini bukan bererti kita tak hendak bersaing,” katanya ketika ditemui wartawan di Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera anjuran biro ekonomi Perkasa di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata hak Melayu dan Bumiputera ada di dalam perlembagaan tetapi tidak dilaksanakan.

“Ada juga hak yang kita tak mahu sebagai orang Islam seperti hak berjudi, nombor ekor dan pusat hiburan. Masyarakat Sabah dan Sarawak patut diberi peluang lebih di dalam bidang ini.

“Berapa bilion ringgit boleh kita peroleh dalam bidang ini? Kita tak usik atas dasar agama.”

Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas turut mengingatkan kerajaan agar berhati-hati dalam mendukung Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata usaha kerajaan yang mengutamakan meritokrasi, liberalisasi ekonomi dan persaingan tidak sekali-kali boleh melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) sekarang seperti serpihan. Sepatutnya agenda ekonomi Bumiputera menjadi agenda ekonomi nasional,” ujar beliau.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berkaitan dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang disifatkannya ‘longgar dan boleh dimanipulasi’.

Menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, beliau berkata,

“kita dijajah selama 400 tahun. Takkan tak boleh selesai masalah ekuiti Melayu dalam tempoh 20 tahun.”

Antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyertai konvensyen ini adalah Ekuinas, Petronas dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Teras dan Teraju.

Konvensyen ini dihadiri 700 peserta dan melibatkan 76 NGO Melayu. Sebanyak 13 resolusi mengenai penyertaan ekonomi Bumiputera telah diluluskan.

Tag: Bahasa, Perkasa, ekonomi Melayu, GTP, MBE, MEB, DEB, Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas

No comments: