Share |

Thursday, 24 March 2011

Orang Asli perlukan mahkamah adat

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah

18 suku kaum usaha peraturan diiktiraf

KUALA LUMPUR: Usaha mendokumentasikan undang-undang adat 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung yang sedang dilaksanakan wakil masyarakat berkenaan akan membolehkan perundangan itu diiktiraf sistem perundangan negara.

Orang Asli di Semenanjung tidak mempunyai mahkamah adat seperti di Sabah dan Sarawak, mekanisme penting untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada keadilan dalam menyelesaikan konflik berdasarkan semangat perdamaian.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Jannnie Lasimbang, berkata proses mendokumentasikan undang-undang adat dilaksanakan sendiri masyarakat itu bagi membentuk struktur perundangan adat berdasarkan persetujuan prinsip.

Katanya, jawatankuasa itu menyedari setiap kaum mempunyai undang-undang adat yang berasingan, tetapi mampu digabungkan dalam struktur perundangan adat yang lebih sistematik jika bentuk hukuman dibuat secara lebih fleksibel.

“Dokumentasi undang-undang adat yang kini diguna pakai lebih 150,000 masyarakat Orang Asli di Semenanjung bukan saja bertujuan memperoleh pengiktirafan daripada sistem kehakiman negara, bahkan bagi memastikan perundangan itu tidak lenyap,” katanya pada sidang media sempena bengkel Sistem Perundangan Orang Asli anjuran SUHAKAM di sini, semalam.

Bengkel dirasmikan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam itu dihadiri lebih 60 peserta di kalangan wakil batin di kalangan 12 suku kaum Orang Asli, wakil kerajaan, peguam dan badan bukan kerajaan.

Ia bagi membincangkan isu perundangan dan dasar yang mempengaruhi Orang Asli, serta cara penyelesaian isu mengikut adat Orang Asli oleh tok batin dan balai adat.
Sementara itu, Hasmy dalam ucapan perasmian berkata, sistem perundangan adat Orang Asli masih tidak mendapat pengiktirafan kerajaan walaupun sistem itu masih mendapat kepercayaan kebanyakan masyarakat berkenaan, terutama dalam penyelesaian pertikaian dalaman.

Katanya, mahkamah adat diperlukan bagi mempertingkatkan status perundangan adat di kalangan Orang Asli bukan saja dalam memastikan adat tetap kekal, tetapi juga memastikan keadilan dalam penyelesaian konflik berdasarkan semangat perdamaian.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan dan melindungi sistem perundangan adat adalah sejajar prinsip antarabangsa, termasuk Deklarasi Hak Orang Asli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2007 yang disokong oleh Malaysia.

Deklarasi PBB itu antara lain mengiktiraf hak Orang Asli untuk menyenggara dan mengukuhkan sistem guaman dan undang-undang tradisional mereka mengikut Artikel 5, 27, 34 dan 40. 

No comments: