Share |

Wednesday 16 March 2011

Murnikan Interlok atau keluarkan terus, kata Kavyan

Kumpulan Sasterawan Kavyan tidak mahu berkompromi dalam usaha murni memulihkan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain

PETALING JAYA: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tetap dengan pendirian bahawa Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah segera memurnikan novel Interlok edisi murid (2010) dengan membetulkan segala kesilapan bahasa, fakta dan perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

Presidennya, Uthaya Sankar SB berkata, sekiranya kesemua kesalahan dan kelemahan yang amat nyata itu tidak dimurnikan, adalah lebih baik membatalkan sahaja keputusan menjadikan novel itu sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

“Hasil penelitian Kavyan sejak Januari lalu, kami menemui sekurang-kurangnya seratus perkara berbentuk kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan bahagian yang menyentuh sensitiviti pelbagai kaum dalam novel Interlok edisi murid.

“Segala kelemahan ini sepatutnya sudah dibaiki dan diperbetulkan sebelum karya agung oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dijadikan teks Komsas,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Menurut Uthaya, Kavyan mengadakan taklimat pada pertengahan Januari lalu untuk menerangkan perkara-perkara yang perlu dimurnikan sebagai usaha mencari penyelesaian terhadap kontroversi yang timbul.

“Cadangan pemurnian teks yag disarankan oleh Kavyan tidak bermakna nilai sastera novel Interlok dipersoalkan, sebaliknya melalui langkah ini, nilai sastera Interlok dapat ditingkatkan serta maruah pengarang boleh diangkat serta dipulihkan berikutan kontroversi yang timbul,” katanya.

Pada pandangan Uthaya, amat malang sekiranya Kementerian Pelajaran hanya bersedia melakukan pindaan yang terlalu minimum walaupun dimaklumkan tentang pelbagai kesilapan yang nyata dalam novel edisi murid itu.

“Jika situasi seperti itu timbul, adalah lebih bermaruah jika novel Interlok tidak dijadikan teks Komsas kerana karya yang dijadikan teks di sekolah tidak boleh mengandungi unsur-unsur sensitif iaitu unsur yang menimbulkan prasangka dan diskriminasi, menjatuhkan maruah serta merendahkan martabat terhadap kaum, agama, kebudayaan, jantina, usia dan pekerjaan,” katanya.

Panel bebas yang dilantik untuk meminda dijangja akan menyerahkan laporan mereka kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 2 petang ini di Parlimen.

No comments: