Ini adalah berdasarkan saranan pindaan yang telahpun dikemukakan seperti yang diputuskan pada 4 Mac.
PETALING JAYA: Walaupun terdapat ura-ura bahawa Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok akan bermesyuarat hari ini, ketiga-tiga wakil kaum India tetap menganggap tugas panel bebas itu sudah selesai.Berikut kenyataan bersama Dr N. S. Rajendran, G. Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB seperti disiarkan di blog www.uthayasb.blogspot.com hari ini:
- Pada 4 Mac 2011, Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid Karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sudah menyelesaikan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran mengikut terma rujukan yang ditetapkan.
- Pada 4 Mac 2011, Panel Bebas memperakukan secara konsensus segala cadangan pindaan novel Interlok edisi murid (DBP: 2010).
- Pada jam 12 tengah hari, 4 Mac lalu, selepas tugas Panel Bebas selesai sepenuhnya, Pengerusi Panel Bebas, Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin mengisytiharkan Panel Bebas sudah “tamat tugas” secara rasmi.
- Laporan mengandungi kesemua cadangan pindaan yang diperakukan secara konsensus itu diserahkan oleh Pengerusi Panel Bebas, Profesor Shamsul Amri kepada Menteri Pelajaran. Tan Sri Muhyiddin Yassin.
- Kini, terserah kepada Menteri Pelajaran dan Kabinet untuk membuat keputusan berdasarkan cadangan pindaan yang diperakukan secara konsensus pada 4 Mac lalu oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid.
Mesyuarat panel bebas diura-urakan diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagaimana yang tertera di dalam blog Uthaya.
No comments:
Post a Comment