(Merdeka Review) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mengulangi hasrat untuk menawan Putrajaya dan menyeru kerajaan agar menjalankan pilihan raya yang adil dan bebas. "Kita mesti menang semua kerusi. Parlimen di Selangor mesti kita tawan semua untuk kita pergi ke Putrajaya".
Pakatan Rakyat dilihat komited dengan cita-cita "merampas Putrajaya" dari BN. Demikian inti utama yang terkandung dalam ucapan hampir 60 minit Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat tersebut. Anwar berucap di hadapan kira-kira lebih 2,000 orang audien yang hadir ke Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor yang bertempat di Dewan Sukan MPK Sri Andalas Klang. Majlis yang dianjurkan oleh PKR Kota Raja itu juga dihadiri oleh wakil-wakil dari PAS dan DAP.
Antara mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden PKR merangkap ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali, ahli parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud, EXCO Selangor Ronnie Liew dan ramai lagi. Turut memberi ucapan adalah ADUN Sri Muda Suhaimi Shafie.
Pada kali ini secara jelas beliau mengulangi hasrat Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak, mengurangi tarif elektrik dan pada masa yang sama berusaha meningkatkan pendapatan rakyat. Jentera Pakatan Rakyat juga diingatkan agar bekerja keras (work hard) dalam meraih sokongan rakyat.
Dalam ucapannya, Anwar menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak muda untuk melakukan perubahan politik di Malaysia sambil menggungkapkan beberapa potong ayat al- Quran dari surah Al-Kahfi yang antara lain menyingkap mengenai golongan "pemuda yang beriman dan kental semangat". Tidak ketinggalan juga, beliau sempat menyorot kembali bagaimana bermulanya Revolusi di Tunisia dan kebangkitan golongan anak-anak muda di Mesir melawan pemerintah yang zalim, "Kita akan lawan agar rakyat menang..."
Menyifatkan golongan itu (UMNO) sebagai golongan kaya - golongan atasan selamat dan seolah-olah boleh buat apa sahaja termasuk bunuh dan rogol tetapi apabila ada rakyat bersalah "curi ayam" pun dikenakan tindakan. Ujarnya lagi "sebab itu, rakyat kena tahu. Dalam Negara merdeka, bebas dan berdaulat. Rakyat yakan menentukan. Sebab itu saya katakan, suara rakyat suara keramat...," disambut dengan tepukan dan sorakan audien.
Pada masa yang sama, Anwar tidak mahu ketinggalan menyentuh isu salah urus pemberian kontrak Petronas sebanyak RM 23 billion kepada tiga syarikat yang berkait rapat dengan keluarga mantan PM Mahathir dan Abdullah juga sebuah syarikat yang berkait rapat dengan Najib-Rosmah.
Mengakhiri ucapan beliau, Anwar menyeru seluruh pejuang Pakatan Rakyat dan golongan agar mempunyai kekuatan moral dan percaya serta yakin dalam membawa misi perubahan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.
No comments:
Post a Comment