Share |

Monday, 14 February 2011

'Bersuara ikut Perlembagaan tak dianggap rasis'

Berita Harian

LABUAN: Rakyat pelbagai kaum yang menyuarakan pandangan masing-masing berlandaskan Perlembagaan tidak boleh dianggap bersifat perkauman atau rasis kerana mereka berhak menyuarakan keperluan masyarakat yang diwakili.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata setiap bangsa berhak mengemukakan suara hati mereka demi kepentingan kaum masing-masing asalkan ia dilakukan secara berhemah serta tidak menyinggung mana-mana pihak.

“Kita boleh luahkan tetapi janganlah sampai memecah-belahkan masyarakat dalam jangka panjang,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Sukan sempena program Juara Rakyat di Padang Perbadanan Labuan di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal; Pemangku Ketua UMNO Labuan, Datuk Yunus Kurus; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Mohd Shafie berkata, dilema itu berpunca daripada orang Melayu sendiri kerana tidak mampu mempertahankan diri dan sentiasa mengalah serta mengundur apabila berlaku krisis.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, apabila orang Melayu menyuarakan keperluan mereka, tidak bermakna sistem yang kita amalkan berpihak kepada satu kaum saja.

Mengenai sesi perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama 118 ketua bahagian UMNO kelmarin, beliau berkata, ia adalah isyarat supaya semua pihak mengenal pasti masalah di kawasan masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pendekatan Perdana Menteri itu adalah pembaharuan dalam sistem politik dan sosial negara yang dilihat berupaya mengukuhkan kerangka persediaan BN memasuki gelanggang pilihan raya.

“Hanya Perdana Menteri mengetahui bila pilihan raya umum akan dilaksanakan. Sehingga tarikh itu, kita mesti bekerja kuat dan memastikan gerakan peringkat bahagian dimantapkan.

“Justeru, pemimpin akar umbi harus menggerakkan kerja tidak kira masa. Tingkatkan usaha mendampingi rakyat dan selepas masalah mereka dikenal pasti, kita perlu mencari jalan mengatasinya,” katanya. 

No comments: