Share |

Friday 7 January 2011

Api perkauman belum padam?

PETALING JAYA: Ketika negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke 53 tahun ini dan kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia, semangat perkauman di kalangan masyarakat negara ini dilihat semakin parah apabila sesetengah pihak menjadikannya sebagai landasan bagi kepentingan politik mereka.

Demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) semalam ketika menyatakan pendirian badan tersebut berkenaan isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.

Menurut kenyataan yang dibacakan oleh Presiden Paksi, Che Shamsudin Othman, kemelut yang melanda novel Interlok ini merupakan bukti bahawa semangat perkauman di kalangan masyarakat di negara ini hari ini lebih tebal berbanding dahulu.

“Berbanding dengan dahulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita sekarang lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya.

“Dulu tak apa-apa, tak ada pembaca tersinggung, baik India, Melayu mahupun Cina. Sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul,” menurut Che Shamsudin yang lebih dikenali dengan nama pena Dinsman itu.

Paksi juga melihat percaturan yang salah oleh pihak berkepentingan dalam politik demi kepentingan politik perkauman sempit mereka sebagai punca utama sentimen perkauman di negara ini semakin meningkat di kalangan masyarakat hari ini.

Sikap prasangka perkauman

“Paksi berpendapat, itu adalah kerana kita melihatnya dari sudut kepentingan politik perkauman. “Masyarakat kita hari ini masih tebal dengan pemikiran dan sikap prasangka perkauman, masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.

“Sepatutnya novel hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan dilihat sebagai bahan atau alat politik. “Masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik, semua perkara hendak dipolitikkan dan segalanya hendak ditelan oleh politik,” katanya lagi.

Paksi turut membidas pemimpin-pemimpin parti politik yang menerajui kerajaan yang dianggap gagal membawa aspirasi 1Malaysia apabila mereka lebih cenderung bercakap mewakili kaum tertentu berbanding kepentingan masyarakat keseluruhan.

“Apa yang berlaku hari ini, pemimpin yang dilantik dalam kabinet tidak sepatutnya bercakap mewakili kaum tertentu sahaja tetapi hendaklah mewakili semua kaum atau bersikap nasionalis.

“Kalau kita baca di kulit belakang teks komsas Interlok ini, ada tertulis novel ini sejajar dengan konsep slogan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan. Tetapi apabila novel ini dipertikaikan oleh seorang Timbalan Menteri sendiri, ini menunjukkan pemimpin kerajaan sendiri gagal menjiwai aspirasi 1Malaysia.

Ketika menjawab soalan wartawan berkenaan novel Interlok itu lagi, Dinsman turut menyatakan orang Melayu dalam novel tersebut digambarkan lebih tidak berdaya maju daripada kaum India sendiri namun tidak menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat Melayu hari ini.

Rakaman keadaan sebenar

“Kalau hendak dilihat dari sudut siapa yang patut lebih sensitif, sebenarnya orang Melayu yang patut lebih tersentuh berbanding kaum India. Tetapi ia adalah rakaman sastera keadaan yang sebenar atau sejarah keadaan pada masa itu.

“Watak lelaki Melayu, Seman mulanya tidak ok, berakhir pun tidak ok berbanding dengan Maniam pula berakhir dengan menunjukkan keluarga Maniam telah jauh berubah, terdapat kemajuan hingga cicitnya dihormati dan menjadi kebanggaan keluarga.

“Masalah timbul jika pihak yang membaca novel itu, dibaca dengan bara perkauman yang memang dah wujud dalam dirinya. Semua yang dilihat, dibaca, didengar diukur dengan kayu ukur perkauman semata-mata.

Sebelum ini novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein yang dijadikan sebagai komponen sastera teks bagi pelajar tingkatan lima telah menimbulkan protes oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah kerana dianggap menghina kaum India di negara ini.

Rentetan protes oleh timbalan menteri itu, sebuah gabungan NGO masyarakat India turut mengancam untuk membakar novel berkenaan sekiranya ia tidak ditarik balik dari dijadikan sebahagian daripada teks sastera SPM.

No comments: