Saya  tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini,  sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun  sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat  umum merentasi sempadan umur.
Apa  yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu  Malaysia, malah satu dunia.  Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita  pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan  rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil  seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang  rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas,  menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan  Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan  ranap dalam masa terdekat, kononnya.
Jelas, ini kes politik
Saya  menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah  untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka  yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari  Azlan.  Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa  Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.
Namun  demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal  lagi.  Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu  hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil  ke mahkamah sebagai "pengadu".  Apa yang berlaku kini memperlihatkan  kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.
Justeru  itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa  sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II  ini.  Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya  dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.
Buktikan liwat tanpa tusukan?
Saya  tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di  depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna.  Laporan  pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui,  namun perbicaraan tetap berjalan.  Jadi, segala-gala ini seolah-olah  cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat  manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur  Saiful tanpa tusukan.
Apakah makna yang  tersirat di sebalik segala-gala ini?  Ertinya, sementara kerajaan  Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan"  rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung  akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan  yang berbakat.
Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.
Politik menabur dendam
Untuk  tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai  sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan  pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan  Pakatan Rakyat.  Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh  keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini  amat dipertikaikan.  Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat  - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal  struktur dan sistem.
Pengaiban  secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih  dendam di kalangan penyokongnya.  Ia amat berbeza dengan persaingan  politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan  PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an.  Penghinaan secara terbuka  untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa  mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah,  gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti  "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.
Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad.  Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR  dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana  kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis...  Satu generasi  membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi"  - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di  mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu  generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak  berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi...
Bebas dari politik dubur
Untuk  hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan  otak Mahathir.  Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan  Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini.  Dan ia hanya  berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk  berfikir menggunakan dubur.
Dan  bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila  politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan?  Dan  kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam  najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan?
Sebagai  warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur  seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal  mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada  realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk  mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN.
Malah,  saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan  kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu,  sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk  pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya  pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang.
Saya tidak sampai hati  melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk  tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai.  Saya tidak  sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah  dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur  bekas pembantunya.
Sememangnya,  politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan  kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai  seorang manusia.  Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui -  bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik  dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.
Dan  yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia  membebaskan diri daripada politik dubur.  Rakyat Malaysia harus  membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya  otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan.   Malaysia  wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan.  Saya doakan agar ia masih  belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan  dijirus arus globalisasi.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
 
 
No comments:
Post a Comment