Share |

Wednesday, 16 June 2010

“Diam, pondan!”

By Shanon Shah - The Nut Graph,

IN part three of The Nut Graph’s series of interviews with victims of state-appointed moral police, we speak to a transsexual who works in Seremban, who says she was assaulted by Negeri Sembilan Islamic religious enforcers in March 2010.
Rina, 27, a part-time wedding hairdresser, tells The Nut Graph of her experiences in this 31 May 2010 exclusive phone interview. We agreed to keep her identity anonymous in the interest of her safety.
(Wiki commons)
(Wiki commons)
TNG: Boleh awak ceritakan apa yang awak sedang buat sebelum operasi oleh pegawai jabatan agama tersebut bermula?
Rina: Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi. Saya tengah berjalan dengan seorang kawan yang juga merupakan mak nyah. Kami berjalan berdekatan dengan tempat letak kereta di Taman AST, Seremban. Tiba-tiba datanglah sebuah kenderaan besar, seperti van atau Pajero. Pintunya dibuka dan keluarlah seorang lelaki yang terus mengejar saya dan kawan saya. Saya pun lari sebab saya ingat dia peragut. Kemudian saya terdengar dia bercakap di dalam walkie-talkienya, “Suspek melarikan diri.” Barulah saya tahu bahawa dia pegawai jabatan agama. Tapi dia memakai pakaian biasa. Dia tidak mempamerkan apa-apa dokumen pengenalan sebagai pegawai jabatan agama, atau mengumumkan kepada kami bahawa dia dari jabatan agama.
Lepas awak sedar yang dia penguatkuasa jabatan agama, apa yang awak buat?
Mula-mula saya lari ke belakang sebuah restoran. Tetapi akhirnya saya berhenti dan keluar menyerah diri. Kemudian dia menyentap rambut saya dan menarik kepala saya ke depan dan ke belakang. Akibat perbuatannya itu, saya tersungkur. Bila saya tersungkur dia cepat-cepat melipat tangan saya ke belakang dan memijak-mijak muka saya. Saya menjerit, “Kenapa kamu buat saya begini?” Dia menjawab, “Diam, pondan!” Barang-barang saya pun semuanya terjatuh ke dalam longkang.
Kawan awak pula macam mana?
Dia sempat menyorok di bawah salah sebuah kereta di tempat parking itu dan tidak ditangkap.
Masa awak diberkas oleh pegawai penguatkuasa itu, ada atau tidak saksi di sekeliling?
Masa itu, kami berada di perkarangan rumah kedai, jadi adalah kawan-kawan mak nyah saya yang memerhati dari tingkat atas rumah kedai tempat mereka tinggal.
Kemudian?
Kemudian kami dibawa masuk ke dalam van tadi.
Ada berapa orang di dalam?
Empat orang – pemandunya, seorang di sebelah pemandu, seorang wanita, dan orang yang mengejar saya.
Awak dibawa ke mana?
Ke jabatan agama Islamlah. Dalam van lagi mereka meminta IC saya, tapi saya hanya ada salinan fotokopi. Lalu saya diperintah meminta sesiapa yang rapat dengan saya membawa IC dari rumah. Saya pun menghubungi kawan saya melalui telefon bimbit. Sebaik sampai ke jabatan agama, ada kawan-kawan mak nyah saya yang turut ke sana tapi mereka tidak dibenarkan masuk menemani saya. Namun mereka membawa IC saya.
Di jabatan agama, saya mengadu kepada pegawai lain yang saya cedera dan tidak diberikan apa-apa rawatan. Saya juga mengadu kepada mereka bahawa saya telah dikasari oleh pegawai penguatkuasa tadi. Mereka yang lain menggeleng-geleng kepala, saya rasa sebab mereka pun jijik dengan pegawai yang mengejar saya tadi. Tapi mereka tidak berkata apa-apa, sebaliknya pegawai yang menyerang saya mengugut saya lagi sekali depan mereka semua. Yang lain hanya memberi tisu kepada saya untuk mengelap luka.
Kemudian?
Saya dikurung seorang diri dalam sebuah bilik, dengan seorang pengawal berdiri di luar. Pegawai-pegawai tadi berkata bahawa mereka kena keluar lagi untuk operasi seterusnya. Sementara itu, mereka telah membawa lagi seorang “mangsa” operasi yang lain dan meletakkannya dalam bilik yang sama.

Kami disimpan dalam bilik itu lebih kurang dua jam. Saya dilepaskan kira-kira pukul 4:30 pagi setelah mereka mendapat jamin mulut daripada seorang kawan saya. Kemudian mereka memberikan saya tarikh untuk menghadap mahkamah.
Mahkamah mana?
Mahkamah Syariah Seremban. Saya didakwa atas jenayah syariah iaitu di bawah Seksyen 66, “lelaki berlagak seperti perempuan”.
Tapi memang ada kawan-kawan awak yang menunggu untuk membantu awak ketika itu?
Ya, memang ada kawan-kawan mak nyah saya yang cuba untuk membantu dan berada di jabatan agama waktu itu. Tetapi mereka tidak dibenarkan masuk untuk melihat saya.
Apa yang berlaku di mahkamah?
Saya diarahkan untuk hadir di mahkamah pada pukul 10 pagi, tapi sesi saya hanya bermula pada pukul 3 petang.
Awak sempat mendapatkan bantuan peguam?
Tidak. Tarikh mahkamah yang diberikan kepada saya hanya empat hari selepas saya ditahan, jadi saya tidak sempat membuat persediaan semacam itu. Sebenarnya saya mahu memberitahu hakim tentang kecederaan saya dan kelakuan pegawai jabatan agama yang menyerang saya. Tetapi ada empat orang pegawai jabatan agama yang juga hadir ketika itu di mahkamah, jadi saya hanya berdiam diri sebab saya takut.
Saya tidak mahu memanjangkan cerita, jadi saya terus mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM700. Hakim memberitahu saya, “Kalau tak bayar RM700, awak masuk penjara tiga bulan.” Jadi saya membayar denda tersebut.
Adakah ini kali pertama awak ditangkap dalam operasi jabatan agama?
Tidak, tetapi sebelum ini, kalau jabatan agama membuat operasi dan mendapati bahawa kami tidak berbuat apa-apa, mereka hanya akan menasihati kami. Mereka akan berkata, “Buat baik-baik, ya? Lain kali jangan kena tangkap.” Paling teruk dulu pun mereka akan menghantar kami untuk sesi kaunseling selepas ditangkap.
Contohnya untuk saya, dua kes saya sebelum ini digugurkan – saya tidak perlu pun menghadap mahkamah. Tetapi saya kena menghadiri kaunseling di Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan di pusat membeli-belah Terminal One.
Tapi dengan pegawai kaunseling itu memang senang saya nak berbual. Kita boleh berunding dengan dia. Contohnya dia akan kata, “Kalau boleh, awak tolong berubahlah. Jangan buat perangai macam ini.” Saya pula akan menjawab, “Tapi memang saya dah macam ini.” Dia akan ketawa, bergurau dan akhirnya berkata, “Tapi tolonglah elakkan berpakaian seperti perempuan.”
Jadi bulan Mac lepas ialah kali pertama operasi jabatan agama menjadi ganas?
Ya, dalam pengalaman saya, memang ini kali pertama saya diperlakukan dengan ganas.
Awak tidak membuat laporan polis tentang kelakuan ganas ini?
Saya takut mahu buat laporan polis. Kalau ada staf jabatan agama yang tahu saya membuat laporan, mungkin mereka akan mark saya dan membalas dendam. Malang tidak berbau.
Awak tiada kepercayaan dengan pihak polis?
Bukan begitu. Polis dekat Seremban lain daripada polis dekat KL. Contohnya, masa mereka meronda, kalau mereka terserempak dengan mak nyah, mereka akan menegur dengan baik, “Jaga diri elok-elok, sekarang banyak operasi.”
Tetapi pada masa yang sama, kalau ada kes ragut contohnya yang melibatkan mak nyah, polis akan mengambil kenyataan sahaja dan jarang mengambil tindakan.
Adakah pengalaman ini memberi apa-apa kesan terhadap awak sekarang?
Memang. Saya pun kurang keluar pada waktu malam sekarang. Dan tiap-tiap kali saya keluar, saya memang rasa takut, walaupun saya tidak mengenakan makeup atau apa-apa. Saya sentiasa tengok kiri kanan, tak kira siang atau malam. Kalau saya pakai macam mana pun, memang saya sudah macam perempuan. Jadi apa yang nak dibuat?

No comments: