Share |

Sunday 23 May 2010

Peguam syariehanya orang Islam

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Mei - Seseorang yang mahu mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah bukan sahaja perlu beragama Islam malah perlu memahami dan menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut (gambar) berkata, seseorang peguam syarie perlu mengetahui syariat-syariat Islam kerana perbicaraan di mahkamah melibatkan hujah-hujah syariah, al-Quran selain penggunaan buku-buku dalam bahasa Arab.

''Islam tidak cukup sekadar teori melalui pembacaan sebaliknya ia perlu diamal dan dihayati," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) semalam yang menyifatkan tindakan individu bukan Islam memohon menjadi peguam syarie sebagai menghina dan mencemarkan kesucian agama Islam.

PGSM mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas di atas tindakan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.

Victoria, 48, memperoleh Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.

Dalam pada itu Nooh berkata, para ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu tampil memberikan penjelasan kepada umum terutamanya orang bukan Islam mengenai kebenaran yang hanya diberikan kepada orang Islam untuk menjadi peguam syarie.

''Fatwa yang menetapkan hanya orang Islam layak menjadi peguam syarie sudah jelas, sekiranya perlu penambahan ia wajar dilakukan tetapi apa yang penting penjelasan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

''Ia juga bagi mengelakkan kecelaruan dalam pemahaman orang ramai mengenai undang-undang sivil dan syariah yang diamalkan dalam sistem perundangan di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru empat negeri yang belum mewajibkan syarat permohonan menjadi peguam syarie perlu beragama Islam iaitu Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diminta segera menggubal peruntukan itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, seseorang yang memahami selok belok undang-undang Islam mestilah daripada kalangan ahlinya yang menghayati dan mengamalkan kesucian agama itu.

Menurutnya, pemahaman dan pengetahuan mengenai Islam melalui pembacaan sahaja tidak mencukupi bagi melayakkan seseorang itu untuk mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah.

''Islam bukan teori semata-mata, tetapi memerlukan amali dan pemahaman jelas kerana jika Islam hanya bersandarkan kepada teori ia tidak akan sampai kepada maksud sebenar Islam itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau percaya tindakan MAIWP menolak permohonan Victoria untuk menjadi peguam syarie adalah berdasarkan kepada sebab munasabah yang perlu difahami oleh mereka yang ingin menjadi peguam syarie.

''Realitinya yang perlu difahami adalah, agama Islam untuk orang Islam yang faham, menghayati dan mengamalkan pegangan agama itu di dalam kehidupan seharian mereka.

''Ia termasuklah dalam konteks untuk menjadi peguam syarie," katanya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Omar Din Mauju menyokong saranan PPSM supaya Victoria berhenti daripada meneruskan hasratnya untuk mencabar MAIWP untuk menerimanya sebagai peguam syarie.

Ini kerana, kata beliau syarat utama untuk menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan mestilah beragama Islam seperti yang termaktub dalam Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 di bawah perkenan Yang di-pertuan Agong.

''Saya berpendapat sebarang tindakan untuk mencabar peruntukan undang-undang tersebut adalah suatu perbuatan menghina kesucian Islam dan institusi raja-raja Melayu.

''Biarlah urusan berkenaan undang-undang Islam di mahkamah syariah dikendalikan secara eksklusif oleh peguam-peguam Islam yang berkelayakan dan ahli dalam bidang syariah serta perundangan Islam,'' katanya.

No comments: