Share |

Sunday, 9 May 2010

Ikhlas Menuruti Kedaulatan Undang-Undang

Seorang lagi remaja telah ditembak polis. Mangsa dilaporkan cedera di bahagian perut. Namun kita bersyukur kerana Sdr Mohd Azizi tidak mengalami nasib yang sama seperti allahyarham Aminulrasyid. Mangsa kini mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Saya dan Azizah serta seluruh pendokong Pakatan Rakyat berdoa moga Sdr Azizi segera sembuh dan diberi kekuatan untuk melupakan episod hitam ini. Pakatan Rakyat juga menggesa agar siasatan dijalankan dengan telus dan bebas. Keadilan buat semua hanya dapat dicapai sekiranya siasatan ini tidak menurut telunjuk sesetengah pihak yang semakin cemas dengan perkembangan ini.

Sementara itu polis berpangkat konstabel yang didakwa menembak Sdr Mohd Azizi dilaporkan telah digantung serta merta. Kita juga menyambut baik kenyataan tegas Ketua Polis Negeri Sembilan yang tidak mahu berkompromi dengan aksi penyalahgunaan kuasa oleh anggotanya. Ini pasti berbeza sekali dengan reaksi Ketua Polis Negara yang terburu-buru mengugut untuk tidak membenarkan anggota polis dari melaksanakan tugasnya menjaga keamanan serta keselamatan.

Pakatan Rakyat senantiasa menghargai sumbangan pihak keselamatan termasuklah PDRM. Kita sedar ramai anggota keselamatan yang tidak lalai dari menunaikan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan menuruti semangat kedaulatan undang-undang. Walaubagaimanapun wujudnya segelintir mereka yang korup menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis. Ibarat bidalan Melayu, “rosak susu sebelanga kerana nila setitik.

ANWAR IBRAHIM

No comments: