Share |

Monday, 4 January 2010

Raja Petra tetap diburu walau di mana

(Utusan Malaysia) - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan pihaknya tetap memburu Raja Petra Kamarudin meskipun pengendali laman web Malaysia Today itu kini dilaporkan berada di Poland.

Lokasi terkini Raja Petra itu dimuatkan dalam pos terbaru laman web tersebut bertarikh semalam.

Musa berkata, Raja Petra boleh berada di mana-mana negara termasuk Poland kerana lelaki itu berstatus pelarian.

“Dia membawa status sebagai pelarian, kita akan tetap memburu Raja Petra (walau di mana dia berada),” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pengendali laman web Malaysia Today itu dalam nada menyindir berkata:

“Ketika Ketua Polis Negara dan Peguam Negara buntu untuk mendapatkan saya. Saya pula menyambut tahun baru bersama wanita-wanita Poland.

“Oops...lebih baik saya periksa sama ada Malaysia ada memohon ekstradisi dengan kerajaan Poland atau sebaliknya. Ah, tak apa Eropah luas.”

Turut dimuatkan gambar Raja Petra dengan dua wanita Eropah.



Raja Petra sebelum ini dikatakan berada di di pangsapuri mewah Gloucester Terrace, Bayswater, London.

Musa sebelum ini mendedahkan pihaknya telah memohon ekstradisi terhadap Raja Petra di London, bagi membolehkan inkues terhadapnya dijalankan di sana sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

No comments: