Share |

Monday 14 December 2009

Anwar Ibrahim Berhasrat Meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974

RANG UNDANG –UNDANG

bernama

Suatu Akta untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974.

DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti berikut:

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pembangunan Petroleum (Pindaan) 2009.
(2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Pindaan seksyen 10
2. Seksyen 10 Akta ibu dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan berikut: “dan perkataan ‘di luar pantai’ bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Ekslusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan”.

HURAIAN

Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144). Pindaan ini memperjelaskan perkataan “di luar pantai (offshore)” agar ia mencerminkan maksud dan semangat sebenar semasa Akta tersebut digubal dengan pemahaman yang sama di antara Negeri-Negeri dan Kerajaan Persekutuan apabila bersetuju menyerahkan hak negeri-negeri keatas sumber hydrocarbon.

Pindaan ini juga bertujuan mengelak kekaburan di masa hadapan agar suatu regim fiskal yang jelas dapat ditentukan dalam industri minyak dan gas – pertikaian masa kini di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Ngeri khususnya Kelantan dan Terengganu memberi isyarat negatif kepada pelabur dalam sektor minyak dan gas di masa hadapan. Salah satu ciri yang diambilkira oleh pelabur dalam industri minyak dan gas ini ialah kejelasan, kestabilan, dan kepercayaan kepada sistem perundangan berhubung hakmilik sumber hydrocarbon. Tindakan Kerajaan masa kini yang mengeksploitasi segala kelopongan perundangan bercanggah dengan maksud dan semangat sebenar Akta tersebut dan memberi isyarat negatif kepada industri ini yang mesti dirumuskan dengan segera

IMPLIKASI KEWANGAN

Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.

No comments: