Share |

Monday, 24 August 2009

Mengkhianati Amanah Rakyat Hanya Menggamit Jalan Buntu

Hari ini saya difahamkan Adun Lunas Sdr Radzhi Salleh telahpun mengisytiharkan keluar dari parti. Pimpinan parti sememangnya memandang serius prestasi beliau yang terbukti lemah sepanjang menjawat jawatan dalam kerajaan negeri. Turut mengecewakan pimpinan ialah tuntutan perbelanjaan beliau yang tidak munasabah dan masalah perkahwinannya di Thailand. Amaran keras telahpun diberikan agar segera meningkatkan prestasi kerja dan memperkukuh khidmatnya di kawasan. Nampaknya nasihat dan amaran kami tidak beliau endahkan, lalu mengambil tindakan mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Apapun alasan yang diberikan oleh beliau, saya berharap Sdr Radzhi sedar bahawa jangan sesekali bertindak mengkhianati amanah rakyat. Kerana “sesiapa yang menyemai angin, dia pastinya menuai badai.”

Berhubung kedudukan Sdr Razhi selaku Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah, saya yakin YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan akan membuat keputusan yang terbaik selepas membuat pertimbangan sewajarnya. Seperti yang dijangkakan, mendekati tarikh mengundi Selasa ini, pastinya ada serangan bertujuan mengalih pandangan bersertakan cita-cita menggugat kerjasama kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pasir. Adakah episod ini membabitkan tawaran sogokan jutaan ringgit? Saya tidak yakin SPRM yang dicurigai kewibawaannya mampu menjalankan siasatan tanpa ditunjuki serta berupaya memberi sebarang penjelasan memuaskan.

Izinkan saya menghimbau peristiwa pada tarikh 15 Disember 2008 yang menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat mula menyertai perbahasan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan harapan akan wujud sebuah institusi bebas memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Ternyata ada banyak kelemahan yang ketara terkandung di dalam rang tersebut, malahan telah kami perbahaskan dengan sabar agar ianya dapat diperbaiki demi kemaslahatan negara dan rakyat.

Dinukilkan peringatan Sayidina Ali r.a kepada Malik Ashtar ketika berbahas buat menjadi peringatan kepada diri saya dan rakan-rakan ahli Dewan Rakyat semua agar tidak memandang enteng tanggungjawab yang dipikul, kerana sesungguhnya jawatan ini adalah amanah dan bukannya satu keistimewaan.

Selepas berbahas panjang lebar, makanya Dewan Rakyat meluluskan satu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008. Riuh rendahlah kononnya kita menuju ke satu era baru yang menjanjikan perubahan. Tidak sampai setahun wujudnya SPRM, institusi tersebut terpalit dengan pelbagai tuduhan yang serius seumpama kematian Teoh Beng Hock serta skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang(PKFZ)

Hatta pendedahan saya ketika menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga menemui jalan buntu. Laporan Adun Kulim, Sdr Lim Soo Nee bahawa bekas Menteri Besar Kedah Dato Mahadzir Khalid cuba menyogok beliau dengan jumlah wang sekitar RM 4-5 juta untuk menyertai barisan nasional seumpama mencurah air di daun keladi.

Rakyat turut marah apabila SPRM gagal bertindak terhadap penyelewengan pimpinan umno-bn yang dikatakan memiliki mahligai jutaan ringgit, pembelian pangsapuri mewah menggunakan duit kerajaan negeri dan kemungkinan terlibat menggadai tanah berpuluh ribu hektar kepada negara asing. Timbul pertanyaan kepada rakyat jelata adakah SPRM yang asas penubuhannya untuk berfungsi sebagai sebuah badan bebas dari kongkongan telah menjadi satu lagi perkakas pemerintah?

ANWAR IBRAHIM

No comments: