Share |

Wednesday, 29 July 2009

Pulihkan kembali imej PDRM!

Bertempat di bilik jawatankuasa Bangunan Parlimen pagi ini, satu sesi meja bulat telah diadakan di antara Pakatan Rakyat dan organisasi bukan kerajaan lainnya. Sesi meja bulat khas hasil inisiatif Sdr Lim Kit Siang ini menjurus meneliti kepincangan institusi keselamatan dan keadilan terutamanya di kalangan pimpinan pasukan polis.

Tidak dapat dinafikan pasukan polis merupakan sebuah institusi yang sudah lama berkhidmat demi menjamin keamanan dan keselamatan rakyat. Demi memastikan pengorbanan anggota keselamatan yang jujur menabur bakti tidak disia-siakan oleh sesegelintir, adalah penting satu usaha digembeling secara menyeluruh bagi memulihkan integriti serta keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.

Kegagalan kerajaan umno-bn menuruti saranan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Polis untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Pasukan Polis menimbulkan tanda tanya rakyat terhadap iltizam kerajaan, sedangkan Suruhanjaya DiRaja tersebut mengakui peningkatan mendadak kadar jenayah menimbulkan keresahan rakyat serta kegusaran para pelabur. Manakala keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan sekiranya kewujudan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis menjadi kenyataan.

Selepas meneliti pandangan dan mendengar pendapat wakil dari pelbagai organisasi, para hadirin secara sebulat suara menuntut supaya kerajaan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan. Mereka melahirkan rasa kesal kerana pimpinan atasan polis telah mengabaikan tanggungjawab mereka; iaitu melindungi dan menjamin keselamatan rakyat keseluruhannya.

ANWAR IBRAHIM

No comments: