Share |

Friday, 19 June 2009

Perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

VERSI HANSARD
PADA 16 JUN 2009

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli Yang Berhormat, masalahnya di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama satu akta untuk meminda satu Akta Lembaga Dalam Negeri 1995 dibacakan untuk kali yang kedua dan sekarang terbuka untuk dibahas. Sila, Yang Berhormat Permatang Pauh.

3.21 ptg.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon untuk mengatakan sokongan terhadap pindaan beberapa peruntukan, tetapi juga menjelaskan bahawa terdapat kekurangan yang harus diberikan perhatian. Ini kerana pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995, patut mengambil kesempatan, mengambil kira keadaan kegawatan ekonomi dan keperluan untuk meningkatkan usaha dan keberkesanan lembaga dalam mengutip cukai, terutama yang dianggap bocor.

Tuan Yang di-Pertua, saya akui bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri merupakan di antara lembaga yang menyempurnakan tanggungjawab dengan membanggakan. Status jabatan ini setelah menjadi lembaga, nyata lebih kemas dan kita lihat ada kemajuan dari sudut keupayaan mereka mendapatkan jumlah pendapatan negara yang bertambah.

Saya ingin juga menekankan di sini bahawa masalah yang di hadapi masih banyak iaitu tentang kegagalan kita menangani satu masalah yang besar, yang dikaitkan dengan ekonomi yang tidak formal. Sepatutnya, dalam pindaan ini, kementerian mengambil kira bagaimana hal ini boleh diselesaikan.

Saya ingin merujuk umpamanya, satu kajian yang terbaru dari Universiti New South Wales, bagaimana seorang pakar Jabatan Hasil Dalam Negeri, Najeeb Memon membangkitkan fokus tentang apa yang disebut beliau sebagai presumptive income tax, iaitu melaksana taksiran kutipan cukai dalam ekonomi yang tidak formal atau ekonomi bawah tanah yang berleluasa di negara berkembang. Sepatutnya Malaysia dapat atasi masalah ini dari semasa ke semasa walaupun hal ini sudah ada, dan menjangkau selama puluhan tahun.

Seperti mana yang kita faham, ada yang menganggap bahawa transaksi tunai di negara kita, yang di bawah kategori cukai tidak formal, kegiatan ekonomi tidak formal ini, menjangkau sehingga 40%, ini yang dianggap ekonomi bawah tanah. Ekonomi ini termasuklah kegiatan perjudian yang tidak berlesen. Istilah kerajaan perjudian tidak lesen dikata perjudian haram. Saya tidak tahu kalau ada perjudian halal.

Jadi sebab itu, saya cadangkan Timbalan Menteri ambil perhatian. Untuk memahami, bukan sahaja pemahaman Islam, tetapi juga pemahaman semua agama. Ada perjudian berlesen, ada perjudian tidak berlesen. Bukan perjudian halal dan perjudian haram. Akan tetapi, perjudian ini besar dan malangnya Lembaga Hasil Dalam Negeri sukar untuk mengambil tindakan. Apatah lagi, sekiranya kegiatan ini bersekongkol dengan beberapa kalangan bidang penguatkuasaan, termasuk polis.

Continue reading ‘Perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia’

No comments: