Dari Harakah Daily
Oleh Mohd Sabri Said
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana kemenangan Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti menjadikan Umno lebih agresif merancang berbagai usaha buruk untuk memenuhi dendam mereka.
Ujarnya, penolakan BN oleh rakyat sejak kebelakangan ini membuatkan kepimpinan parti itu semakin lantang mencerca dan mencipta berbagai usaha memburuk-burukan usaha kerajaan walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan program kebajikan terhadap rakyat.
“Awasi usaha Umno akan datang kerana mereka akan lakukan apa saja untuk meruntuhkan Pakatan Rakyat termasuk melaga-lagakan kepimpinan gabungan ketiga-tiga parti,” jelasnya ketika memberikan amanat selepas menang di Yayasan Aman, Penanti semalam.
Beliau menambah, pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) juga memainkan peranan dengan arahan BN supaya rakyat yang cenderong kepada Pakatan Rakyat tidak boleh mengundi walhal dalam pilihan raya umum lepas nama mereka tertera dalam buku daftar pemilih.
Tidak mustahil Pilihan raya Kecil Manik Urai, Kelantan nanti sambung Anwar, BN cuba melakukan berbagai helah untuk membersihkan nama mereka di Penanti.
Menyentuh isu kemenangan di Penanti beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengucapkan terima kasih pada pengundi kerana memberi ruang untuk Dr Mansor berkhidmat di Penanti walaupun beliau bukan anak tempatan Penanti.
“Berilah beliau peluang membina harapan baru yang lebih sengit di Dun Penanti. Marilah bersamanya melebarkan semangat serta tingkatkan pembaharuan yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng,” katanya.
No comments:
Post a Comment