(Kompas.com) JAKARTA - Manohara Odelia Pinot iaitu isteri Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry menunjukkan bukti dia didera oleh suaminya, lapor akhbar Kompas.com semalam.
Gambar-gambar itu ditunjukkan kepada pemberita pada satu sidang akhbar yang diadakan pada malam kelmarin di sini dan dihadiri oleh peguamnya.
Manohara yang berumur 17 tahun menunjukkan gambar-gambar itu yang disimpan dalam telefon bimbit BlackBerry miliknya.
"Ini baru luka yang ringan," kata peguam bela Manohara, Hotman Paris Hutapea yang merujuk luka terkena benda tajam dan kesan seperti berbentuk zig-zag di sekitar payu daranya.
"Yang lebih buruk ada. Tetapi Manohara berasa tidak sesuai untuk menunjukkannya.
"Itu baru yang paling ringan. Saya hampir mengeluarkan air mata apabila melihat lukanya," katanya.
Manohara mengaku penyeksaannya seperti dicucuh api itu diterimanya sejak pulang daripada mengerjakan umrah pada Mac lalu.
"Itu yang dibakar, tapi kalau yang dipotong-potong mulainya April 2009," kata Manohara.
Sementara itu, laporan berita AFP semalam menyatakan satu pemeriksaan perubatan mengesahkan bahawa Manohara pernah didera secara fizikal.
Pengesahan itu dilakukan oleh doktor forensik di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta yang memeriksa tubuh remaja itu, Mun'im Idries.
"Terdapat kecederaan kelaran di kebanyakan bahagian di tubuhnya terutamanya di dadanya. Beberapa kecederaan itu masih baru," katanya.
"Kami masih memeriksa darahnya dan ujian air kencing kerana dia (Manohara) mendakwa dia diberikan suntikan," kata Mun'im.
Manohara yang merupakan seorang bekas model terkenal mendakwa dia dicederakan dengan pisau cukur dan diberikan suntikan dadah sehingga menyebabkan dia muntah darah ketika berada dalam istana.
Sementara itu, seorang lagi peguam Manohara, Farhat Abbas memberitahu anak guamnya itu sudah membuat laporan polis berhubung penderaan yang dialaminya.
Dia berkata, Manohara menamakan enam orang dalam laporan polis itu.
Seorang jurucakap polis Indonesia, Abubakar Nataprawira mengesahkan pihaknya menerima laporan polis Manohara.
"Polis Indonesia tidak mampu melakukan siasatan kerana kes penderaan itu berlaku di Malaysia yang di luar kuasa kami.
"Namun, kami akan membantu dalam melaporkan kes itu kepada polis Malaysia," katanya.
Pada 31 Mei lalu, Manohara pulang ke Indonesia dari Singapura ketika beliau berada di negara tersebut bagi menemani suaminya melawat ayahanda putera itu di Hospital Mount Elizabeth.
No comments:
Post a Comment