Malaysia mungkin akan menuju ke daulah gagal jika lembaga-lembaga yang sedia wujud tidak difahami fungsinya. Atau lembaga-lembaga ini tidak bebas dan dibeli dengan rasuah.
DARI JELEBU
Hishamuddin Rais
Adalah hak orang ramai untuk menentukan siapa yang perlu mereka jadikan wakil mereka.
Penentuan ini bukan hak menteri, bukan hak raja dan bukan hak tuan punya warong nasi kandar atau along penjual nombor tikam ekor.
Dalam sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan – kitab rujukan ialah Perlembagaan.
Justeru dalam kes Perak adalah terbaik untuk di bubarkan Dewan Adun dan di adakan sekali lagi pilihanraya untuk Perak.
Oook aah oook aaah yang berpanjangan tidak sehat bukan sahaja untuk warga Perak tetapi untuk pembudayaan demokrasi di Malaysia.
Pembudayaan demokrasi di tanah air kita ini masih belum melebar luas dan kukuh. Kita wajib bersama-sama meluaskan pemahaman warga tentang apa yang kita junjung sebagai Perlembagaan, perundangan, badan kehakiman, lembaga pembuat undang-undang dan lembaga yang menjalankan dasar.
Semua ini adalah lembaga-lembaga yang yang menjadi tiang daulah. Lembaga-lembaga ini wujud berjalan terpisah dan bersendirian. Jika ini tidak difahami maka daulah akan gagal – failed state.
Daulah gagal bukan satu yang baru. Zimbabwe adalah daulah gagal. Pakistan adalah daulah gagal. Iraq adalah daulah gagal. Afghanistan adalah daulah gagal.
Malaysia mungkin akan menuju ke daulah gagal jika lembaga-lembaga yang sedia wujud tidak difahami fungsinya. Atau lembaga-lembaga ini tidak bebas dan dibeli dengan rasuah.
Justeru inilah sebab utama kita semua menentang rasuah. Kita menentang rasuah bukan kerana kita tidak suka orang dapat duit. Kita menentang rasuah kerana ianya akan memusnahkan daulah. Apabila daulah musnah – musibah nya adalah untuk semua warga. Tidak ada yang terkecuali.
Selama 22 tahun Madey menjadi kepala – rasuah telah membudaya kukuh. Lembaga lembaga daulah – badan kehakiman, media, Perlembagaan - semuanya diinjak-injak.
Satu demi satu keyakinan warga terhadap lembaga-lembaga daulah ini terhakis.
Keyakinan bukan sesuatu yang boleh dibuat pasang siap. Ianya memgambil masa. Kalau 22 tahun Madey menghakiskan keyakinan warga terhadap media, badan kehakiman, badan kepolisian, pentabiran negara – mungkin ianya akan mengambil masa yang sama untuk mengembalikan keryakinan ini.
Justeru langkah pertama yang bijak untuk mengembalikan ialah mengadakan sekali lagi pemilihan wakil Adun untuk Perak.
No comments:
Post a Comment