Share |

Monday, 18 May 2009

Jagalah hati Melayu - Awang Selamat

MEI 17 - UMNO, parti utama dalam komponen Barisan Nasional (BN) menyambut ulang tahun ke-63 pada 11 Mei lalu.

Sambutan kali ini walaupun diadakan serba sederhana, mempunyai keistimewaan tersendiri. Parti itu baru sahaja menyaksikan peralihan kepimpinan di bawah Presiden, Mohd. Najib Tun Razak dan penampilan barisan baru ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pada saf tersebut, terpikul cabaran besar dan getir pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang mengubah dengan ketara landskap politik tanah air.

Malah pada tarikh ulang tahun Umno itu, parti tersebut dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Perak, yang tidak memihak kepada BN.

Berita mengenai keputusan kes itu mencuri perhatian rakyat dan turut menjadi bualan hangat ahli-ahli serta para penyokong Umno.

Keresahan berikutan kes berkenaan reda apabila para pemimpin Umno berhimpun sempena sambutan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara pada malam itu.

Turut hadir Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Najib telah memberikan reaksi yang cukup tenang. Katanya, Umno pernah lalui ujian lebih getir ketika parti itu diharamkan dan akhirnya mampu bangkit.
Bahkan beliau menampakkan keyakinan untuk menangani kemelut di Perak.

Tiada pun riak kegusaran di wajahnya. Sebenarnya keyakinanlah yang amat diperlukan oleh UMNO bagi mengembalikan kekuatannya.
Untuk menguruskan sebuah parti yang besar, telah lama berkuasa dan Berjaya seperti Umno, bukan sesuatu yang mudah.

Lebih-lebih lagi parti itu berdepan dengan asakan paling kuat dari pelbagai penjuru, kesan keputusan
pilihan raya umum lalu (PRU-12) yang membawa tamparan besar kepada BN dan Umno.

Pakatan pembangkang sudah membayangkan peluang lebih cerah untuk menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang.

Dengan kata lain, Umno diambang kematian dan kerajaan BN yang ada sekarang merupakan yang
terakhir.

Benarkah? Berdasarkan banyak petunjuk terbaru Awang yakin apa yang diramalkan oleh pembangkang tidak akan berlaku.

Pembaharuan yang digerakkan oleh Najib mula menampakkan kesan positif. Perkembangan
terkini politik tanah air juga tidak banyak memihak kepada pembangkang.

Pada masa yang sama, UMNO masih menjadi sandaran utama orang Melayu yang boleh dibuktikan menerusi undi yang terus meningkat dalam beberapa pilihan raya kecil selepas PRU-12 (sedangkan majoriti pengundi Cina misalnya, masih menyokong pembangkang). Jangan lupa pada pilihan raya umum itu juga Umno memperoleh 79 kerusi - parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak. Prestasi BN merudum tetapi tidak bagi Umno.

Parti pesaing bagi UMNO iaitu Pas hanya mempunyai 22 kerusi dan PKR 31 kerusi.

Ia juga memberi mesej yang jelas bahawa UMNO perlu meneruskan agenda menjaga kepentingan Melayu. Janganlah kerana ghairah mahu menarik sokongan bukan Melayu, UMNO mengabaikan pula asas kekuatannya.

Ketika DAP, MCA, MIC misalnya makin lantang memperjuangkan kepentingan kaum mereka tanpa sedikitpun rasa kekok, tiada sebab untuk Umno teragak-agak dan terlalu mahu menjaga hati kaum lain. Umno perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu.

Jasa Umno terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan. UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran
politik ekstremisme.

Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, Umno menghulur tangan permuafakatan.

Menerusi dasar dan naungan Umno, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara.
Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu. - Mingguan Malaysia

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Menilai UthayaKumar

MEI 17 - Awang tidak terkejut dengan reaksi pemimpin pertubuhan haram Hindraf, P. Uthayakumar selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.

Menurut Uthayakumar, beliau tidak akan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membebaskannya (lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu dua tahun). Beliau mendakwa tidak melakukan apa-apa kesalahan dan penahanannya itu dibuat tidak mengikut undang-undang.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein bahawa kerajaan tidak mengharapkan penghargaan dan ucapan terima kasih daripada tahanan ISA yang dibebaskan, ramai juga tidak terfikir orang seperti Uthayakumar akan berbuat demikian.

Beliau juga sengaja membiarkan rambut dan janggutnya panjang sebagai protes terhadap ISA. Awang hanya senyum.
Biarlah apa sahaja reaksi dan protes yang mahu ditunjukkan, rakyat boleh menilai dengan baik.

Tetapi Awang juga ada reaksi tersendiri. Pertama, Awang sedikitpun tidak teruja dengan pembebasannya. Kedua, Awang percaya ramai yang tidak akan lupa mudarat yang telah Hindraf lakukan. Beberapa siri perhimpunan haram yang mereka anjurkan ternyata ganas termasuk memukul anggota polis yang menjalankan tugas. Peniaga terpaksa menutup kedai, pemandu teksi ketakutan dan aktiviti pelancongan di ibu negara terjejas teruk.

Lebih daripada itu, kempen dan fitnah yang dilemparkan termasuk di luar negara, adalah keterlaluan. Siapa yang menuduh kerajaan melakukan penghapusan etnik dan bermacam lagi yang tidak boleh diterima dek akal?

Siapa sebenarnya yang mengamalkan semangat perkauman melampau kalau bukan Hindraf, nyaris mencetuskan tindak balas orang Melayu (yang dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum), seandainya kerajaan tidak bertindak cepat menahan mereka di bawah ISA.

Malah ada fakta yang dijaja ke serata dunia oleh Hindraf kononnya kaum India paling miskin di negara ini juga didapati tidak benar.

Berdasarkan kajian UNDP, yang paling miskin dan bilangan miskin teramai, adalah daripada kalangan orang Melayu. Sepatutnya orang Melayu yang banyak beralah dan kompromi kepada kaum lain, lebih berhak untuk merusuh.

Bayangkan sampai hari ini setelah lebih 50 tahun merdeka, Melayu adalah kaum majoriti tetapi ada kaum minoriti yang menguasai kekayaan negara.

Orang Melayu jugalah yang paling ramai ditahan ISA sejak dulu lagi tetapi tidakpun dijadikan isu perkauman.

Maka dalam isu Hindraf ini, selagi para pemimpinnya tidak meminta maaf terhadap apa yang telah dilakukan, jangan harap Awang dan ramai lagi rakyat Malaysia akan mengubah pendirian dan persepsi terhadap pertubuhan haram itu. Haram tetap haram.

Anehnya MIC, parti komponen BN menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Hindraf, yang boleh mengundang pelbagai tafsiran.

Apa pun, semoga Hindraf mendapat pengajaran bernilai daripada tindakan pihak berkuasa. Janganlah lagi mengambil mudah dan menyalahgunakan demokrasi untuk kepentingan sendiri. Bumi Malaysia ini bertuah untuk semua kaum termasuk golongan minoriti.

Tetapi jika merasakan sebaliknya, sesiapa sahaja bebas untuk berhijrah ke negara lain yang difikirkan lebih baik.

Tepuk dada, tanya selera. - Mingguan Malaysia

No comments: