Share |

Tuesday, 21 April 2009

Bersatu pertahan raja Melayu

Utusan Malaysia
Oleh Herman Hamid

KUALA LUMPUR 20 April - Beberapa pemimpin UMNO hari ini menekankan sudah tiba masanya seluruh orang Melayu kembali bersatu mempertahankan institusi raja-raja yang menjadi payung naungan rakyat sepanjang zaman daripada dicemari pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, mereka meminta semua lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik supaya menghayati dengan sedalam-dalamnya titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Kata mereka, ia penting untuk mengelak berulangnya sebarang tindak tanduk yang boleh menyemai rasa benci yang diumpamakan oleh baginda sebagai perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang mengancam kerukunan rakyat dan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah Sultan Perak itu adalah merupakan satu amaran keras yang seharusnya dihormati semua pihak.

Justeru, katanya, institusi raja yang telah wujud sejak 600 tahun lalu di Perak tentunya menjadi institusi yang perlu terus dipertahankan oleh semua orang Melayu khususnya kerana ia naungan kepada rakyat bagi sepanjang zaman.

''Sultan Perak amat arif dengan perundangan. Kemurkaan baginda mempunyai asas. Melibatkan sultan dalam kemelut politik merendahkan baginda dalam institusi politik rakyat dan tidak dalam institusi raja.

''Institusi raja harus dihormati semua pihak. Ahli politik hanya merupakan penterjemah kuasa rakyat. Institusi raja harus berada di atas institusi sosial di Malaysia khususnya di Perak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah ucapan Sultan Azlan Shah pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 semalam.

Sultan Azlan Shah turut bertitah seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali mengheret institusi raja ke kancah politik seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Menurut beliau, sebaliknya setiap rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat, warna kulit serta agama mahu pun fahaman politik perlu sedar bahawa raja-raja adalah payung yang melindungi setiap warga di negara ini.

''Pihak-pihak tertentu perlu jaga kedudukan raja-raja Melayu dan apa jua tindakan yang mencemar institusi raja-raja Melayu juga adalah salah daripada segi undang-undang.

''Malah, tindakan sedemikian pastinya juga sama sekali bertentangan dengan budaya warisan bangsa kita,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, mana-mana pihak yang mempersoal atau mempermain- mainkan fungsi institusi raja perlu segera dikenakan tindakan.

Katanya, raja-raja Melayu bukan orang politik, jauh sekali mahu menggugat kestabilan negara dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan semata-mata untuk membela institusi yang amat jelas bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

''Justeru, tohmahan pihak tertentu terutama pakatan pembangkang yang berleluasa kononnya raja-raja Melayu takut untuk berhadapan dengan mereka adalah amat keterlaluan.

''Ia juga satu fitnah yang besar dan berniat jahat untuk menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap raja-raja yang bukan sahaja menaungi orang Melayu malah seluruh rakyat negara ini,'' katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Noh Omar berkata, titah ucapan Sultan Perak itu amat tepat pada masanya ketika mana telah ada sebahagian kumpulan yang sudah mula lupa batasan tertentu dalam mencapai matlamat politik.

Justeru, katanya, orang Melayu perlu memahami sepenuhnya titah ucapan baginda agar mesej yang diberi dapat dihayati dan seterusnya mengelakkan sama sekali perbuatan yang tergolong sebagai 'menyalakan api dalam sekam'.

''Saya percaya rakyat Malaysia yang lain juga harus sama menghayati titah ucapan tersebut kerana apa yang disentuh oleh Sultan Azlan Shah itu berdasarkan kedudukan baginda sebagai raja berperlembagaan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, institusi raja merupakan lambang kedudukan tertinggi kaum Melayu dan agama Islam di negara ini.

Katanya, kedua-dua elemen inilah yang mencermin dan membezakan negara ini dengan negara bangsa lain.

''Kedudukan ini perlu dipelihara dalam masyarakat majmuk walaupun ada tuntutan populis iaitu tuntutan kesaksamaan yang cuba diperjuangkan pihak tertentu.

''Soalnya, jika raja tiada, adakah kita mampu mempertahankan keistimewaan Melayu dan Islam atau mungkin ia turut hilang dengan institusi raja.

''Oleh itu, derhaka pada raja secara langsung adalah derhaka terhadap Melayu dan Islam," katanya.

Menurut Khaled, jika institusi raja yang juga simbol keistimewaan masyarakat Melayu dan Islam ini wujud, ia mampu untuk menolak tuntutan tersebut tanpa sebarang alasan.

Sebaliknya, katanya, jika kesaksamaan yang menjadi asas negara, ia sukar untuk melindungi kaum Melayu dan Islam.

''Contohnya, pembiayaan sekolah mubaligh dan kewujudan sekolah itu pula akan bersaing dengan Islam dan menjejas penganut Islam.

''Di mana Melayu dan Pas pada ketika ini untuk melindungi kaum Melayu dan Islam,'' katanya.

No comments: