Share |

Friday, 27 March 2009

Pidato Abdullah Badawi Wajar Diteliti

Saya tidak sering mengulas ucapan Presiden UMNO. Kendati begitu pidato Datuk Seri Abdullah mengundang wacana.

Keberanian beliau membedah penyakit parti yang angkuh, pudar idealisme perjuangan dan terjebak dengan amalan rasuah agak mengejutkan sebahagian besar perwakilan. Mereka dikira menantikan sajian pujian, ungkapan lunak yang memperteguh khayalan mereka bahawa UMNO kekal sebagai wadah perjuangan bangsa yang terhebat dan terkuat.

Malah dijangkakan Datuk Seri Abdullah akan menyambung lagak ayam sabung sang satria Pemuda UMNO sabelumnya. Ukuran kehebatan bukan pada peribadi dan akhlak, program atau amalan, tetapi keangkuhan mendabik dada, menghina dan menyerang lawan.

Arakian terpingalah gelagat perwakilan mendengar pidato perpisahan; bukannya merakam penghargaan tetapi menyinggung hasrat sebahagian pimpinan, pastinya mengaitkan Datuk Seri Najib sendiri dengan kecenderungan memuja kaedah lama membungkam musuh politik dan bertindak rakus.

Beliau menyelar sikap selesa di tengah kegetiran, kerana mabuk dengan kuasa dan terus terheret dalam kencah pertarungan sesama sendiri. Tepukan perwakilan hambar dan tidak rancak.

Namun saya menganggap saranan Datuk Seri Abdullah wajar diteliti kerana turut meletakkan asas keluhuran negara berpelembagaan yang adil dan saksama. Apakah mungkin disaksikan wacana segar menyusul dalam forum perhimpunan UMNO?

ANWAR IBRAHIM

No comments: