Nota Pembukaan Ucapan Membahaskan Rancangan Ransangan Ekonomi Kedua Oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tuan Yang Di Pertua,
Saya ingin memulakan ucapan saya dengan menegaskan bahawa saya dan rakan-rakan bersedia melakukan apa sahaja demi untuk membela rakyat. Kami menyokong sebarang inisiatif untuk membantu rakyat. Ada di antara kami telah masuk penjara, dipukul dan disembur dengan gas pemedih mata demi memperjuangkan nasib rakyat.
Elok kita buat perbandingan dengan apa yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat. Kerana apa yang dilakukan tidak lain dari mengikut apa yang dilakukan oleh Presiden Obama. Obama mengambil pendekatan Keynesian, maka Menteri Kewangan juga mengambil pendekatan Keynesian.
Ramai yang terpukau dengan begitu besarnya pakej ransangan Obama, berjumlah USD 787 billion (RM 2.91 trillion). Tetapi Paul Krugman, pemenang Hadian Nobel ekonomi, dan ahli ekonomi Keynesian paling terkenal dewasa ini, mengatakan ia mulai “falling behind the curve.” Masalah dan krisis yang berlaku, jauh lebih besar dari pakej ransangan.
Jelas sekali pakar ekonomi ini sedar persoalannya bukan sekadar jumlah dana yang besar dan kemudiannya digembar gemburkan oleh media. Persoalan sebenar yang harus diberi perhatian ialah ketelusan dan pertanggungjawaban institusi serta memecahkan tembok psikologi rakyat terbanyak, peniaga juga pelabur agar yakin dengan pengurusan ekonomi negara. Ini ditegaskan oleh pemenang Hadiah Nobel terkemuka Amartya Sen yang mengutip pandangan Arthur Cecil Pigou, ” One of the problems…arising from financial mismanagement and other transgressions, has become many times magnified by a psychological collapse.”
Kita jangan cepat terpukau dengan jumlah RM 60billion yang diumumkan semalam. Pengumuman semalam langsung tidak memulihkan keyakinan rakyat terhadap penguasa apatah lagi terhadap menteri kewangan yang dicemar dengan pelbagai skandal serta tidak ikhlas untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang dihadapi. Beliau leka berpolitik dengan rakus serta kasar, hanya untuk memastikan cita-cita manjadi perdana menteri tercapai.
Perlu ada kejujuran, keikhlasan dan sifat tawadhu, sedia mendengar, pada pihak kerajaan. Ungkapan sahaja, apalagi bila diucapkan dengan nada sinis, untuk mengajak pembangkang menyokong, tidak akan membawa keyakinan rakyat. Kerajaan masih dalam suasana penafian, “in state of denial”. Masalah sekarang terlalu besar, dan kerajaan sahaja tidak mampu mengatasinya. Wang sahaja tidak dapat mengatasinya.
Kerajaan memerlukan dokongan rakyat. Dan jangan lupa di semenanjung majoriti rakyat adalah bersama Pakatan Rakyat.
Kerajaan memerlukan anjakan sikap, revolusi sikap, untuk mendapat dokongan rakyat. Jika tidak pakej ransangan ini akan dilihat sebagai usaha untuk membantu kroni yang sakit, dan monopolis yang rakus, “to reward the inefficient.” Ini yang disebutkan oleh Paul Krugman sebagai “lemon socialism” -”taxpayers bear the cost if things go wrong, but stockholders and executives get the benefits if things go right.”
Lihatlah sahaja apa yang terjadi di Perak. Pentadbiran Dato Seri Nizar hendak dijatuhkan dengan cara yang tidak berperlembagaan di saat kita berhadapan dengan krisis ekonomi yang kian meruncing. Tindakan seumpama ini tidak membantu memulihkan keyakinan para pelabur baik dari dalam mahupun luar negara. Kita pasti tidak berupaya memulihkan keruntuhan psikologi, aspek penting menurut Amartya Sen yang perlu pantas ditangani jikalau menteri kewangan asyik leka mengasah bakat bermain silap mata dengan menghilangkan orang tertentu dan tiba-tiba muncul!
Sekonyong-konyong di dalam ucapan semalam, ranting zaitun tanda ingin bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dihulurkan, demi bersama-sama memulihkan kedudukan ekonomi negara. Apa kah menteri kewangan ingat rakyat cepat melupakan penglibatan beliau di dalam menjatuhkan kerajaan Perak yang sah dengan cara haram!
Begitu juga dengan apa yang berlaku di Kedah, usaha membeli, merasuah dan mengugut wakil Pakatan Rakyat dilakukan demi keuntungan politik semata. Ranting zaitun yang dihulurkan hanya omogan kosong menteri kewangan.
Sudah sekian lama kami pihak Pakatan Rakyat menegaskan kedudukan ekonomi berada dalam kedudukan yang getir. Saranan serta nasihat kami tidak diberi perhatian kerana Umno-Bn leka berpolitik berbanding berusaha menyelamatkan negara ini dari terkena bahana kemelesetan. Apabila sudah tidak boleh lagi menyembunyikan fakta kedudukan ekonomi yang malap dari pengetahuan umum, barulah tergesa-gesa mengumumkan satu rancangan ransangan ekonomi. Ini benar-benar seirama dengan maksud dari pepatah Melayu “jangan sudah terhantuk baru tergadah.”
Di Selangor, apabila Kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama demi memastikan pengurusan air berada di tangan kerajaan negeri yang sememang-memangnya mahu memastikan tarif air berada pada tingkat harga yang rendah. Kerajaan hanya mahu menyelamatkan syarikat kroni seperti Puncak Niaga bukannya kepentingan rakyat Selangor yang menjadi pertimbangan utama. Mengapa masih mahu dikekalkan penglibatan Puncak Niaga, SYABAS, Splash dan ABBAS di dalam pengurusan air di Selangor sedang kan terbukti jumlah hutang syarikat-syarikat tersebut ialah RM 6.4 billion. Walaupun syarikat mengalami hutang yang sebegitu besar Pengurusi Syabas (Tan Sri Rozali) masih dibayar elaun di antara yang tertinggi di negara ini iaitu sebanyak RM 5.1 juta pada tahun 2007.
Pulau Pinang juga mengalami nasib yang sama kerana dianak tirikan oleh Umno-Bn, pengumuman RM250 juta untuk memperluaskan Lapangan Terbang Pulau Pinang tidak mengubah hakikat tersebut sedangkan Pulau Pinang menyumbang 30% dari ekspot negara. Projek-projek yang harus diberi keutamaan ialah perlaksanaan Lingkaran Luar Pulau Pinang berjumlah RM 1.5 billion, membesarkan Empangan Mengkuang bernilai Rm 1.2 billion serta Projek Monorail Pulau Pinang berjumlah RM 2 billion.
Tuan Yang Di Pertua
Pengurusan ekonomi negara yang diketuai oleh menteri kewangan sebelum ini berada dalam keadaan penafian. Beliau cuba menggambarkan kedudukan ekonomi negara ini berada dalam keadaan serba molek. Termasuk mereka yang senantiasa memberi gambaran yang tidak tepat ini ialah menteri kewangan kedua. Namun semalam, 10hb Mac 2009, menteri kewangan secara panjang lebar mengakui negara ini berhadapan dengan satu krisis ekonomi yang meruncing ketika membentangkan apa yang dipanggil sebagai Rancangan Ransangan Ekonomi Kedua.
Pakar dan ahli ekonomi baik di seluruh dunia mahupun di Malaysia memberi amaran jelas akan kedudukan ekonomi negara ini. Malangnya prestasi ekonomi negara yang merudum dan dituding bersalah ialah kedudukan ekonomi sejagat. Benar, kedudukan ekonomi sejagat tidak membantu, namun ini tidak menjadi alasan kepada pengurusan ekonomi negara menjadi tidak bermaya, kaku serta bersikap tidak bertanggungjawab dengan menyalurkan maklumat yang tidak tepat. Oleh kerana itu kita meragui keupayaan menteri kewangan untuk berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi ini. Persoalannya mengapa terlalu lambat? Pengurusan ekonomi seharusnya mempunyai keupayaan untuk lebih pantas bertindak dan mempunyai daya cipta di dalam berdepan dengan kedudukan sebegini.
Kelemahan dan kelekaan pengurusan ekonomi negara ini menyebabkan kita terjerumus, dengan apa yang disifatkan oleh John Maynard Keynes dalam The Great Slump of 1930 sebagai:
Hari ini kita menjerumuskan negara ke dalam kekalutan yang dahsyat(colossal muddle), kerana kegagalan mengawal mekanisma yang sebegitu halus, serta tidak mampu kita fahami. Hasilnya, kita berkemungkinan besar kerugian untuk satu jangka masa yang panjang.
Tuan Yang Di Pertua
Mereka yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga negara ini tidak syak lagi gagal dalam menunaikan amanah tersebut. Mereka telah menyebabkan negara ini berhadapan dengan risiko. Rakyat Malaysia bukan sahaja terpaksa mengharungi dampak krisis ekonomi akibat dari kelalaian pengurusan ekonomi negara, malah terpaksa berdepan dengan satu pentadbiran yang terbukti liat untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Menteri kewangan yang bercita-cita mengambil alih tampuk kerajaan dalam sedikit waktu, tidak memenuhi kehendak rakyat yang mahukan seorang pemimpin yang berdaya maju, beriltizam terus untuk melaksanakan Perubahan, malahan ramai yang percaya menteri kewangan hanya akan menyebabkan negara berterusan mengalami krisis baik dari sudut ekonomi mahupun politik. Apatah lagi sekiranya yang bertanggungjawab untuk mengetuai pengurusan ekonomi sememangnya mempunyai rekod mengambil komisen serta terlibat dengan skandal rasuah.
Sepanjang menjadi menteri kabinet dan kemudiannya sebagai menteri kewangan, beliau belumpun melakarkan kepada kita apakah falsafah ekonomi yang akan mendasari program untuk mendepani tantangan krisis ekonomi. Dengan pengumuman RM 60 billion semalam, sahlah bahawa beliau bukan seorang yang mahukan Perubahan. Rancangan ransangan ini hanya akan menyebabkan hutang negara bertambah besar. Defisit akan mencecah 7.6 % dari hanya 4.8% Keluaran Kasar Domestik.
1. Saya mulakan perbahasan dengan ungkapan pantun yang memberi gambaran kedudukan ekonomi Negara.
2. Berdasarkan analisa yang dibuat oleh IMF keatas Negara-negara OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) dari 1960 – 2007 menunjukkan pelabur-pelabur swasta secara umumnya keluar dari pasaran terlebih dahulu sebelum kemelesetan “rasmi” melanda sesebuah Negara atau rantau. Pelabur tidak akan masuk semula kedalam pasaran sehingga kemelesetan pulih sepenuhnya.
3. Berlainan dengan zaman “Great Depression”, milenium baru dikaitkan dengan globalisasi kewangan yang mengandungi kekayaan swasta dan perseorangan yang begitu besar bersedia bergerak bila-bila masa apabila iklim kewangan global pulih dan keluar apabila terhidu kegawatan akan melanda.
4. Tanda-tanda kemelesetan akan melanda Negara jelas kelihatan sejak akhir tahun 2005 apabila pelaburan langsung asing (FDI) mula mengalir keluar dari pasaran secara besar-besaran sehingga pada tahun 2007, yang keluar melebihi yang masuk. Saya telah memberi amaran kepada kerajaan supaya berwaspada dan berjaga-jaga apabila meminta Dewan ini membahas usul tergempar kedudukan pengaliran keluar pelaburan langsung asing yang amat meruncing ini tahun lepas tetapi tidak diendahkan dan usul saya ditolak. Malah kerajaan terus mengambil sikap “denial” sehingga semua petanda ekonomi untuk suku akhir 2008 menunjukkan Negara sudah mengalami kemelesetan sejak pertengahan tahun 2008 yang dinafikan kerajaan selama ini.
5. Kemelesetan ekonomi menjadi lebih parah dan berpanjangan lagi kerana ia bergabung dengan krisis kewangan global. Hamper semua pelabur swasta telah keluar dari pasaran. Yang tinggal hanya pelaburan kerajaan, agensi-agensinya dan sedikit pelabur swasta domestik. Negara terpaksa bersendirian dalam menghadapi kegawatan ekonomi hari ini tanpa sokongan sector swasta.
Ini membebankan lagi kerajaan dan belanjawan defisit akan terus meningkat kerana terpaksa berbelanja untuk menjana kegiatan ekonomi Negara sepertimana yang diusulkan oleh Menteri Kewangan semalam.
B. BILA RM7.1 BILLION DILULUSKAN?
6. Dalam Kertas Perintah 4A Tahun 2009 yang diedarkan, Maksud B.11 Perkhidmatan Am dan Perbendaharaan – 021900- Pemberian Kemudahan Projek Khas – disebutkan RM7.1 billion telah diluluskan dalam anggaran 2009 (kolum 5) dan Tambahan Pertama 2009 RM5 billion dipohon untuk diluluskan.
7. Setahu saya peruntukkan RM7.1 billion ini belum diluluskan apabila Dewan perintah dihentikan perbahasan kerana Kertas Perintah 4 tahun 2009 untuk maksud peruntukkan ini tidak diusulkan pada sesi yang lepas. Saya pohon Dewan menarik balik Kertas Perintah 4A Tahun 2009 sehingga dinyatakan RM7.1 billion dipohon untuk diluluskan bersama dengan tambahan RM5 billion yang dikemukakan.
8. Sejak diumumkan pada 4 November 2008 hingga akhir Februari tahun ini RM5 billion atau 71.4% telah diagihkan kepada kementerian dan agensi-agensi yang berkenaan. Kerajaan telah membelanja RM567.9 juta atau 8.1% daripada RM7 billion keatas 8,474 projek yang mana 6,239 projek terdiri daripada kerja-kerja infrastruktur awam dan kemudahan asas.
D. PENGAJARAN DARI KRISIS KEWANGAN ASIA 1998
13. Saya masih ingat semasa krisis Kewangan Asia 1998 yang melanda Negara, peruntukan diutamakan untuk “bail-out” syarikat-syarikat kroni daripada digunakan untuk projek-projek pembangunan.
Syarikat-syarikat yang dibail-out pula mengalami pelbagai masaalah sehingga hari ini. Wang-wang rakyat yang digunakan untuk bail-out masih belum terbayar dan ada yang ditukar sebagai geran seperti Perwaja, ada yang terpaksa diambilalih semula oleh kerajaan dengan harga yang merugikan lagi wang rakyat seperti MAS, saham-saham yang dipaksa beli oleh agensi-agensi kerajaan kehilangan nilai seperti TimeDotCom, pinjaman-pinjaman bank yang dijamin kerajaan dilupuskan seperti Time Engineering Bhd dengan Bank Infrastruktur dan pelbagai lagi.
14. Ini menyebabkan sejak krisis kewangan Asia, ekonomi Negara masih belum pulih, mengalami masaalah kronik, tidak berdaya kembang, pertumbuhan terpaksa dijana melalui perbelanjaan deficit kerajaan 11 tahun berturut-turut, dan kemampuan serta daya tahan kewangan kerajaan untuk menghadapi krisis ini adalah amat terbatas.
15. Semasa dunia sedang mengalami “commodity boom” beberapa tahun kebelakangan ini, semua negara pengeluar komoditi yang besar mendapat belanjawan lebihan kecuali Malaysia. Kelemahan kita ini ialah memperkecil dan kadangkala tersilap perkiraan sehingga rancangan pemulihan tidak memenuhi sasaran.
16. Perlu diingatkan keberkesanan pakej rangsangan ini ada hubungkaitnya dengan ekonomi global. Berlainan dengan dekad 30an, ekonomi global hari ini jauh lebih besar dan lebih saling bergantung diantara satu sama lain dengan Negara-negara seperti Brazil, China, India, Timur Tengah selain Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah yang menjumlah jutaan pengguna baru berpendapatan menengah. Melainkan pakej rangsangan menjurus kepada peneguhan dan peningkatan perdagangan bebas, sumbangannya akan terbatas terutama sekiranya ia tidak dikoordinasi diperingkat antarabangsa.
E. BELANJAWAN DEFISIT MENINGKAT
17. Peruntukkan fiscal dalam pakej rangsangan pertama dan kedua untuk 2009 sebanyak RM17.1 billion akan meningkatkan belanjawan deficit 2009 kepada 7.6% daripada anggaran asal 4.8%. Belanjawan deficit akan berterusan untuk 2010 dan melihat kepada ‘track-record’ pengurusan ekonomi kerajaan hari ini tak tahu bila ia akan berkahir. Jumlah terkumpul deficit kerajaan sudah lebih daripada RM200 billion atau 37.4% daripada Keluaran Kasar Domestik. Akibatnya hutang kerajaan telah melonjak dari RM112 billion pada 1999 kepada RM289 billion pada suku ketiga 2008. Hutang kerajaan akan meningkat kepada lebih daripada RM300 billion dengan pakej ransangan ini.
18. Kita tidak mahu melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat juga berlaku di Malaysia. Apabila President Bill Clinton meninggalkan White House pada tahun 2000, kerajaan AS mempunyai belanjawan lebihan ‘surplus’ US$280 billion (RM1.04 trillion). Lapan tahun kemudian pada 2008, apabila President George Bush meninggalkan White House kerajaan AS terpaksa menanggong belanjawan ‘defisit’ US$1.6 (RM5.9) trillion dan melumpuhkan bukan sahaja ekonomi AS tetapi seluruh dunia.
F. DEFISIT TAHUN 2010 LEBIH MENCABAR
19. Tahun 2010 akan lebih mencabar. Ini kerana tekanan kepada kejatuhan royalty minyak akan dirasai pada tahun 2010 dan tidak 2009. Hasil kenaikan harga minyak dunia yang begitu tinggi tahun 2008 telah melonjak keuntungan bersih Petronas 46% berjumlah RM38.6 billion dan diambil kira untuk tahun 2008. Ini bermakna Petronas akan membayar cukai dan dividen lebih daripada RM20 billion kepada kerajaan untuk tahun 2009. Ini berdasarkan purata harga minyak US117 seton untuk 2008. Hari ini harga minyak sudah susut kurang daripada US40 setong. Jika ini berterusan dalam tahun 2009, maka hasil cukai dan dividen dari petroleum dan gas akan berkurangan lebih daripada separuh untuk 2010.
K. SISTEM ISLAM ATAU JUDI JADI PILIHAN?
40. Sudah ada kepercayaan bahawa semua pakej menyelamat kewangan yang diumumkan setakat ini di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah masih tidak mampu membantu system kewangan dari keruntuhan. Kawalan tersendiri (self regulating) system kewangan sedia ada tidak lagi berfungsi kerana sikap tamak dan rakus mengaut keuntungan tanpa mengira tanggongjawab dan kos social.
Kemungkinan besar system kewangan baru akan muncul atau tercipta tetapi masih kabur bentuk dan jenisnya dan bagaimana ia akan selari dengan system sekarang. Saya tidak mahu terlalu optimistic tetapi system kewangan Islam mungkin akan menonjol sebagai alternatifnya.
41. Ini dapat dilihat dari penerimaan system perbankan Islam secara berleluasa dalam system perbankan Eropah. Bank-bank utama Britain seperti HSBC dan Standard Chartered menyedia kaunter perbankan Islam. Malah badan perakaunan terbesar dunia yang berpusat di London, ‘Chartered Institute of Management Accountants’ mengeluar Sijil Kewangan Islam (Certificate in Islamic Finance) kepada pelajar yang ingin mempelajari system kewangan Islam. Begitu juga Kerajaan Perancis secara rasmi telah membiayai penyelidikan pelaksanaan system ekonomi Islam sebagai alternative dalam menghadapi kegawatan ekonomi global hari ini. Jelas telah berlaku peralihan paradigma dalam system kewangan dan ekonomi global.
42. Malaysia boleh berbangga sebagai salah sebuah Negara pelopor system kewangan Islam global. Tetapi malangnya tindakan Menteri Kewangan yang baru mengambil pendekatan yang tidak konvensyional dalam usaha meningkat pendapatan Negara. Sejak mengambil alih Kementerian Kewangan Oktober lepas, YB Pekan yang juga Timbalan Perdana Menteri telah mengeluarkan 10 lesen judi baru dalam suasana dunia sedang mendekati system Islam dalam pengurusan ekonomi dunia. Sila nyatakan syarikat-syarikat yang mendapat lessen mengeluar cabutan-cabutan baru ini.
43. Amat mudah menjebak masyarakat dalam perjudian, apatah lagi dalam keadaan rakyat tertekan mencari jalan mudah bagi menyelesai kegawatan dan kesempitan kewangan dan kehidupan akibat kegawatan ekonomi negara.
L. PROJEK-PROJEK YANG PERLU DIUTAMAKAN
44. Isu utama berapa besar program pembangunan, dimana dan sector apa yang patut dibelanjakan untuk memberi impak maksima kepada ekonomi. Lebih banyak lebuhraya bertol bukan jawapannya. Negara memerlukan pengangkutan Bandar baru dan moden. Kerajaan patut mengambil kesempatan memulakan fasa pertama dalam system pengangkutan Bandar di Bandar-bandar utama. Inilah masanya kerajaan menyedia peruntukkan untuk projek-projek mengatasi banjir dan banjir kilat, memoden infrastruktur system industri dan perusahaan, infrasruktur penyediaan air bersih, memodenkan system pendidikan, melatih semula kemahiran pekerja mengikut kehendak pasaran semasa, menyedia latihan dan pengalaman kerja kepada penganggur, memperkasa hasil penyelidikan dan pembangunan, membina perumahan untuk golongan berpendapatan serdahana dan rendah, system pengairan untuk pertanian dan ternakan, membuka kawasan-kawasan baru untuk pertanian dan penternakan, membangun kawasan rekreasi dan pelancongan dan pelbagai lagi yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan tetapi juga memberi menafaat besar kepada rakyat dan ekonomi negara.
1 comment:
Apakah Anda mencari pinjaman bisnis, pinjaman pribadi, pinjaman rumah, mobil
pinjaman, pinjaman mahasiswa, pinjaman konsolidasi utang, pinjaman tanpa jaminan, usaha
modal, dll .. Atau kau menolak pinjaman oleh bank atau keuangan
lembaga untuk satu atau lebih reasons.You di tempat yang tepat untuk
solusi pinjaman Anda! Saya seorang pemberi pinjaman pribadi, saya memberikan pinjaman kepada
perusahaan dan individu pada tingkat bunga rendah dan terjangkau
2%. Bunga. Silahkan hubungi kami via email divinegraceloanfirm@gmail.com
divinegraceloanfirm@outlook.com
terima kasih,
Mrs Elizabeth Taylor
Post a Comment