Saya hanya tersenyum simpul apabila membaca berita mengenai keputusan Persatuan Kerabat Di Raja Kedah (PKDK) yang mencadangkan agar Pengerusi DAP, Karpal Singh diharamkan daripada menjejaki kaki ke Perak kerana kebiadapannya terhadap Sultan Perak.
Karpal dikatakan menderhaka kerana ingin mengheret Sultan Perak ke mahkamah berikutan langkah baginda enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Tetapi bukan Karpal sahaja yang berpandangan demikian. Bukan Karpal sahaja yang berpandangan bahawa langkah Sultan Perak enggan membubarkan DUN adalah kurang bijak. Berdasarkan sembang-sembang di warung, kantin pejabat dan pasar, kebanyakannya memberi pendapat yang sama dengan Karpal, cuma pendapat mereka tidak pernah disiarkan. Jika disiarkan pasti mereka juga dianggap penderhaka, bahaya!!
Begitu juga jika diperhatikan pandangan pemilik blog dan komen-komen yang menyusulinya, kebanyakannya memberi pandangan yang hampir sama dengan Karpal. Jadi logiknya, pemilik-pemilik blog dan mereka yang memberi komen sedemikian adalah juga penderhaka dan oleh itu patut diharamkan dari menjejaki Perak.
Hari ini penganalisis politik dan pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah memberitahu kajian yang dibuatnya terhadap penduduk negeri Perak mendapati kebanyakan rakyat Perak mahukan DUN dibubarkan. Jadi jika mengikut logik yang sama, Prof Madya itu juga adalah penderhaka dan dan oleh itu patut juga diharamkan dari menjejaki Perak.
Hari ini juga Merdeka Center mengumumkan bahawa berdasarkan kajian pendapat umum yang dibuat di Perak mendapati 74% daripada rakyat Perak mahukan DUN dibubarkan. Jadi jika mengikut logik yang sama 74% rakyat Perak adalah penderhaka Sultan dan oleh itu perlu dibuang negeri! Penduduk Perak kini berjumlah 2.2 juta orang. Jika 74% penduduk Perak adalah penderhaka bermakna bilangan penderhaka yang mendiami Perak kini adalah seramai 1.63 juta orang!
1.63 juta orang bukanlah satu bilangan yang sedikit. Jika hendak dibuang negeri ke semua mereka, lokasi yang sesuai perlu dicari. Mereka tidak boleh dibuang ke Perlis negeri kecil yang hanya mempunyai penduduk seramai 0.22 juta orang itu. Jika dibuang ke Perlis, pecahlah negeri kecil itu untuk menampung 1.63 juta penduduk Perak yang menderhaka itu. Negeri yang paling sesuai dibuang negeri untuk penderhaka-penderhaka ini ialah negeri-negeri jiran seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Tapi Selangor dengan penduduk seramai 4.5 juta orang dan Pulau Pinang dengan 1.42 juta penduduk kelihatan tidak sesuai untuk maksud itu kerana sudah terlalu padat untuk diduduki. Mungkin negeri yang paling sesuai ialah negeri-negeri yang bersaiz besar tetapi penduduknya tidak begitu padat seperti Kelantan yang hanya mempunyi 1.45 juta penduduk dan Pahang yang mempunyai 1.37 juta penduduk.
Satu lagi persoalan, jika 74% rakyat Perak telah dibuang negeri, mampukah baki penduduk Perak yang tidak menderhaka seramai 570,000 itu membangunkan negeri mereka? Khuatir pula, selepas 1.63 juta rakyat Perak diusir, negeri Darul Ridzuan itu akan menjadi sepi dan pembangunan terbantut. Tiadalah lagi rakyat untuk meramaikan pesta karut Jom Heboh dan Tok Mufti pun tidaklah perlu membazirkan masa berharganya untuk membuat fatwa yang tidak dipatuhi!!
Oleh: pendikar gunung kriang
http://pendikargunung.
No comments:
Post a Comment