Mohamed Hanipa Maidin, HARAKAH
Apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disokong oleh Presiden Persatuan Pengguna Islam, Dato Dr Ma'mor Osman (Harakah, 8/12/2008), saya hanya boleh mengucapkan tahniah kepada BN. Ia menunjukkan betapa berjayanya BN merosakkan pemikiran rakyat termasuklah para cendekiawan Islam untuk memuji dan menyokong Akta drakonian ini.
Atas semangat kebebasan bersuara saya boleh menghormati pendapat Dr Ma'mor. Bagaimanapun perlu saya jelaskan di sini betapa rapuhnya hujah beliau ketika menyokong Akta tersebut.
Secara jujur, tiada sebarang hujah baru yang Dr Ma'mor berikan dalam menyokong ISA tersebut. Tidak keterlaluan jika saya katakan beliau hanya melaungkan semula hujah-hujah lapuk pemimpin Umno dan pihak polis.
Apabila beliau berhujah bahawa ISA adalah perlu untuk melindungi keselamatan negara, beliau secara tersirat mengakui bahawa adalah tidak menjadi masalah untuk seseorang itu ditahan tanpa bicara. Dengan lain perkataan bahawa hak orang yang ditahan untuk dibicarakan adalah tidak penting sama sekali.
Beliau juga secara tersirat mengakui bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu dinafikan hak untuk dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah, seperti mana ajaran Islam yang menyatakan "al-aslu bara'atun zimmah" kerana ISA menganggap seseorang yang ditahan itu adalah bersalah sehingga bila-bila (dulu, kini dan selama-lamanya).
Beliau juga secara tersirat mengakui tidak menjadi masalah seseorang diletakkan di bilik yang kecil dengan lampu yang malap dan tidak boleh tahu sama siang atau malam dan disoal siasat berjam-jam (hatta ada yang dinafikan untuk tidur) oleh beberapa orang pegawai polis.
Segala tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan tersebut semuanya dibenarkan demi keselamatan negara.
Secara tersirat Ma'mor mengakui bahawa kemulian insan adalah tidak relevan dan tidak penting sama sekali apabila ia bertembung dengan keselamatan negara. Jika Islam amat memuliakan insan sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, ISA pula berkata persetan dengan kemuliaan insan. Keselamatan negara adalah segala-galanya.
Saya tidak pasti sama ada Ma'mor pernah membaca buku-buku yang ditulis oleh mereka yang pernah ditahan ISA. Saya juga tidak pasti sama ada beliau pernah membaca penghakiman Mahkamah berkaitan dengan kes ISA. Jika beliau berkesempatan membaca sama ada buku-buku tersebut atau penghakiman Mahkamah, beliau sudah pasti mempunyai pengetahuan bahawa dalam banyak keadaan alasan keselamatan negara yang sering dimainkan oleh pihak berkuasa sebenarnya hanyalah alasan yang meleset dan sengaja diada-adakan.
Apa yang berlaku adalah keselamatan (atau lebih tepat ketidakselamatan) BN sering ditukar ganti dengan keselamatan negara.
Bagi menyokong hujah ini, saya ingin berkongsi dengan Dr Ma'mor keputusan Mahkamah Persekutuan yang diberikan pada 6 Ogos 2002 semasa mendengar permohonan habeas corpus yang melibatkan empat orang reformis yang ditahan di bawah ISA iaitu Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Saari Sungib dan Hishamuddin Rais.
Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes tersebut secara jelas mengesahkan bahawa isu keselamatan negara adalah hanya rekaan palsu pihak berkuasa. Di dalam keputusan sebulat suara tersebut, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa keempat-empat reformis telah ditahan bukan kerana keselamatan negara seperti mana yang dikehendaki di bawah seksyen 73(1) ISA, sebaliknya mereka ditahan kerana kepercayaan atau pegangan politik mereka. Oleh yang demikian Mahkamah telah membebaskan mereka.
Mengenai hujah Dr Ma'mor bahawa ISA telah berjaya menyelesaikan masalah komunis dan gejala subversif, ia sebenarnya hujah untuk menghapuskan ISA bukan mengekalkannya. Bukankah tujuan ISA digubal di Parlimen untuk tujuan tersebut iaitu menyelesaikan masalah komunis dan gejala subversif. Memandangkan negara ini tidak lagi berhadapan dengan ancaman komunis atau gelaja subversif maka tujuan ISA tersebut telah luput sama sekali.
Jadi ISA wajar dihapuskan. Jika Dr Ma'mor berhujah bahawa kedua-dua ancaman tersebut masih lagi wujud, ia juga menjadi hujah kepada penghapusan ISA kerana secara jelas ISA telah gagal menyelesaikan kedua-dua ancaman tersebut.
Dr Ma'mor juga tidak bersetuju ISA adalah zalim. Mungkin kita patut dengar dari beliau apakah kefahaman beliau tentang kezaliman tersebut. Adalah menafikan hak seseorang untuk dibicarakan di Mahkamah dan hak untuk membela diri di hadapan seorang hakim bukan satu kezaliman?
Adakah menafikan hak seseorang yang ditahan untuk mencabar versi unilateral "keselamatan negara" pihak polis di Mahkamah bukan satu kezaliman?
Saya tidak pasti sama ada Dr Ma'mor sedar atau tidak di bawah ISA budibicara pihak Menteri tidak boleh dicabar sama sekali. Ini bermakna walaupun Menteri mungkin melakukan kesilapan tiada sebarang kuasa, termasuk Mahkamah, boleh mencabar keputusan Menteri kerana keputusan ISA mengkebalkan keputusan Menteri meskipun ianya keputusan yang bebal!
Dr Ma'mor percaya ISA tidak dsalahgunakan atau digunakan sewenang-wenangnya. Masya' Allah! Adakah beliau sedar apa yang berlaku? Tahukah beliau apabila Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai dan Ketua Pemuda Umno, Najib Tun Razak memainkan api perkauman pada 1987 yang mewujudkan Operasi Lalang; mereka yang ditangkap adalah pemimpin PAS dan DAP.
Apabila wartawan sebuah akhbar Cina memberitakan ucapan berbau perkauman yang dikeluarkan oleh Ketua Bahagia Umno Bukit Bendera, yang ditahan ISA adalah wartawan berkenaan dan bukan pemimpin Umno terbabit.
Dr Ma'mor juga berhujah bahawa hanya mereka yang bersalah sahaja ditahan di bawah ISA. Ini hujah yang paling lemah. Ia menunjukkan kecelaruan berfikir. Hujah ini menganggap bahawa mereka yang ditahan terlebih dahulu dibicarakan di Mahkamah kerana di dalam sistem perundangan negara hanya Mahkamah yang boleh menentukan seseorang itu bersalah atau tidak.
Atau yang lebih teruk lagi hujah ini juga menganggap bahawa apa sahaja alasan yang polis berikan untuk menahan seseorang di bawah ISA adalah benar dan tidak dipertikaikan sehinggakan polis diberi kuasa untuk menjadi pendakwa dan hakim atau juri dalam masa yang sama. Dengan menafikan seseorang itu dibicarakan di Mahkamah bagaimanakah kita boleh mengetahui ia bersalah atau tidak?
Beliau seterusnya berhujah bahawa mereka yang ditahan ISA diberi tempoh 60 hari untuk menunjukkan alibi. Beliau percaya jika mereka yang ditahan dapat menunjukkan kepada polis bahawa maklumat yang diterima adalah tidak betul, polis tidak akan menahan mereka di bawah ISA.
Hujah ini dengan kata yang mudah adalah hujah terbalik kong! Hujah ini menukar beban pembuktian. Maknanya bukan polis yang kena buktikan mereka yang ditahan tersebut bersalah sebaliknya mereka yang ditahan pula kena buktikan mereka tidak bersalah. Dalam bahasa yang mudah, jika polis mengatakan si A adalah pengganas, maka bukan Polis yang kena buktikan bahawa A adalah pengganas sebaliknya A kena buktikan yang dia bukan pengganas. Lebih teruk lagi, si A tidak boleh berbuat demikian kerana dia tidak dibicarakan di Mahkamah!
Akhirnya Dr Ma'mor juga meminta Harakah membuktikan mana-mana orang yang menyeru kepada kebaikan tetapi di tahan di bawah ISA. Hujah atau cabaran Dr Ma'mor ini secara tersirat menanggap mereka yang ditahan di bawah ISA adalah golongan yang tidak berguna kepada masyarakat atau penjahat.
Sebenarnya hujah Dr Ma'mor tersebut tidak perlu dijawab. Kelemahan hujah tersebut amat nyata. Ia juga menunjukkan betapa berjayanya ISA menjahanamkan pemikiran seseorang.
No comments:
Post a Comment