Macam pahat dengan penukul atau sudah terantuk baru tengadah. Itulah antara kesimpulan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kecewa kerana kejadian tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa di Hulu Klang sebelum ini masih tidak jadi pengajaran kepada banyak pihak terutama pemaju perumahan di lereng dan cerun bukit. Kenyataan Perdana Menteri dan timbalannya itu tentu merujuk tindakan pihak tertentu termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang hanya akur arahan tidak membenarkan projek di lereng bukit selepas sesuatu tragedi. Timbalan Perdana Menteri pula yang turut meninjau lokasi tragedi juga senada dengan Abdullah dengan meminta kerajaan negeri tidak lagi membenarkan projek pembangunan di kawasan berbukit berisiko tinggi.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, pemaju masih mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan projek tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa penghuni yang mendiami rumah di lereng atau cerun bukit.
Abdullah menyelar ‘sikap tak apa’ golongan ini pada sidang media selepas melawat lokasi tragedi tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo serta meragut empat nyawa penghuninya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Sabtu.
“Cukuplah…cukup,” katanya sambil meminta semua kerajaan negeri menimbang menghentikan projek perumahan di kawasan berbukit yang berisiko tinggi kerana ianya bukan soal kerugian tetapi keselamatan nyawa.
"Mungkin tuan tanah akan marah, sebab nak guna tanah untuk bina rumah. Mungkin pemaju nak dirikan rumah atau kondominium di sini akan tidak senang hati, kalau sekiranya ditegah meneruskan hasrat mereka di kawasan berisiko itu," katanya.
Menurut Abdullah, kejadian awal pagi Sabtu dan dua kejadian sebelum ini perlu dijadikan isyarat bahawa sekiranya perhatian serius tidak diberi, ia boleh mengundang kejadian yang lebih buruk.
"Mungkin tidak suka melihat, tapi kalau kita tak ambil peduli tentang perkara kestablian tanah, khususnya di lereng-lereng bukit, kita sebenarnya menempah nahas dan tragedi yang merugikan semua pihak," katanya.
Beliau juga mengarahkan pakar-pakar Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) melakukan pemeriksaan dan pemantauan dengan segera di kawasan Bukit Antarabangsa supaya dapat menyelamatkan kawasan perumahan yang berhampiran.
Katanya sebagai kawasan tadahan air, Bukit Antarabangsa tidak sepatutnya dibangunkan untuk penempatan.
Najib turut mengingatkan pemaju supaya jangan lagi menekan kerajaan untuk melobi bagi mendapatkan kelulusan bagi membangunkan sesuatu projek di kawasan seumpama itu.
"Saya fikir tidak ada alasan lagi untuk jalankan pembangunan di atas tanah yang curam dan tinggi yang berisiko tinggi. Ambil sikap pencegahan adalah lebih baik daripada sesuatu kejadian yang mungkin berlaku.
"Kita perlu belajar atas apa yang berlaku termasuk kejadian hari ini," katanya.
Najib berkata tidak mustahil pemaju akan terus menghantar permohonan selepas insiden tanah runtuh sedemikian, reda.
"Ingatan manusia ini pendek. Tiga, enam bulan bila orang dah lupa, pemaju akan sorong permohonan dan melobi supaya diluluskan, tidak belajar apa yang berlaku," katanya.
Tragedi kira-kira jam 4 pagi Sabtu ini bukanlah cerita baru kejadian tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa dan jajarannya malah sejak tahun 90-an beberapa kes serupa termasuk runtuhnya satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang letaknya 1.5 kilometer daripada lokasi hari ini.
Dalam tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993, seramai 48 orang terkorban. Ini diikuti kejadian tanah runtuh meranapkan sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar pada 20 November, 2002.
Selepas tragedi-tragedi itu, kerajaan mengeluarkan arahan jangan ada lagi projek perumahan di lereng dan cerun bukit dan berisiko tetapi ibarat kata Najib, “Ingatan manusia ini pendek”. Dan selepas arahan dua pemimpin utama negara ini, apakah ada jaminan tiada lagi projek-projek baru di tempat merbahaya itu?. Tunggu dan lihat. - 6/12/2008
No comments:
Post a Comment