Lebih 75,000 pesara kerajaan dan penerima pencen akan menerima pencen minima RM720 sebulan mulai Januari tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Bagaimanapun, bayaran pencen minima itu hanya untuk mereka yang berkhidmat 25 tahun.
Kerajaan dijangka membelanjakan RM140 juta bagi pembayaran pencen minima itu, katanya ketika mengulung Rang Undang-undang Pencen (Pindaan) (No. 2) 2008 di Dewan Rakyat, Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sama ada kerajaan bersetuju memberikan pencen minima dan mencadangkan sebanyak RM750 sebulan.
Menurut Nazri, jumlah RM720 itu dianggap hamper tepat seperti dicadangkan Ibrahim.
Ibrahim yang bangkit semula ketika Nazri memberikan jawapan itu, bertanya pula bagaimana dengan anggota tentera yang pencen setelah berkhidmat selama 21 tahun dan adakah mereka layak menerima pencen minima tersebut.
Menjawab soalan itu, Nazri berkata, anggota tentera pangkat rendah yang berkhidmat 21 tahun layak menerima pencen minima manakala pegawai pula layak jika berkhidmat 25 tahun.
Dalam pada itu katanya, ketika ini terdapat seramai 657 balu atau duda yang bermastautin di luar Malaysia telah berhenti menerima pencen terbitan, manakala seramai 1,332 pesara bermastautin di luar negara menerima pencen asal (tanpa unsur pelarasan).
No comments:
Post a Comment