STATISTIK EKUITI DAN BUMIPUTERA TIADA MAKNA
Tian Chua MP dan Hishamuddin Rais
Pembohongan ada pelbagai bentuk. Ada orang yang membuat janji tetapi tidak ditunaikan. Ada parti politik yang membuat manifesto pilihanraya tetapi sesudah menang dan berkuasa manifesto ini dilupakan. Ada menteri yang berjanji akan telus tetapi apabila berkuasa menjadi kukubesi. Ada menteri yang berjanji menentang nepotisma tetapi apabila berkuasa yang diutamakan ialah kaum keluarga. Semua ini pembohongan yang kita semua tahu, sedar dan faham.
Ada lagi satu pembohongan yang namanya – Statistik. Malah statistik adalah pembohong yang paling tersusun lagi licik lengok jalannya. Saya tidak pernah percaya kepada statistik. Saya menolak statistik sebagai patukan untuk dijadikan rujukan. Ini kerana selama ini saya melihat bahawa statistik ini boleh dimanipulasi dan ditunggang terbalikan. Statistik juga dijadikan senjata untuk mengolah pandangan orang ramai.
Mari kita lihat kes statistik tentang pencapaian ekonomi Bumiputera yang terus dihebohkan. Kes statistik ini menjadi heboh dan sengaja diheboh-hebohkan untuk tujuan mendapat sokongan politik. Mula-mula keluar satu angka statistik mengatakan bahawa Dasar Ekonomi Baru telah berjaya mencapai matlamat. Bumiputera sudah memiliki 45% ekuiti ekonomi negara ini.
Kemudian, satu lagi statistik yang mengatakan Dasar Ekonomi Baru belum berjaya. Bumiputera hanya memiliki hampir 19% sahaja. Kemudian satu lagi angka statistik keluar – bukan yang ini dan bukan yang itu – tetapi dipaparkan satu angka baru. Tiga angka statistik dimunculkan kepada umum. Membingongkan ? Tidak. Lupakan sahaja kerana ketiga-tiga angka ini tidak memiliki apa-apa untuk kita semua.
Saya tidak peduli sama ada Bumiputera memiliki 50%, 60% atau 100% ekuiti ekonomi negara ini. Angka-angka ini tidak memberi apa-apa makna kepada saya. Hujah saya menolak angka statistik ini cukup senang. Statistik ini hanyalah satu ‘omong kosong’. Statistik adalah angka-angka yang dikumpul tetapi dalam kehidupan harian kita ianya tidak bermakna.
Kalaupun Bumiputera memiliki 70% atau 90% ekuiti ekonomi negara ini, untuk rakyat seperti kita, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa perubahan yang hakiki. Kalau kita Bumiputera naik bas tambangnya sama dengan yang Bukan Bumiputera, beli sayur harganya sama, bil lektrik, bil air dan harga top-up pun sama. Setiap bulan sewa bilik harganya sama. Di hujung tahun kos kehidupan bertambah – Bumiputera atau Bukan Bumiputera. Pemilikan ekonomi Bumiputera ini tidak ada sangkut paut dengan kehidupan harian kita, walaupun kita Bumiputera.
Katakanlah Bumiputera dalam negara ini telah memiliki 50% dari jumlah ekuiti ekonomi negara. Saya cukup yakin 50% ekonomi ini tidak akan dimiliki oleh semua Bumiputera. Jumlah 50% ekonomi negara ini mungkin dimiliki oleh 10 orang, 20 orang, 200 atau 200,000 orang Bumiputera. Apa yang terjadi kepada 16 juta Bumiputera yang lain? Mereka juga Bumiputera dan apabila statistik ini dirangka kewujudaan mereka juga dihitung sama. Jelas disini statistik ini tidak memiliki apa-apa makna.
Dalam ekonomi kapitalis, setiap individu dan warga diberi kebebasan untuk memiliki sebanyak mana kekayaan. Dalam ekonomi kapitalis disediakan ruang dan galakan untuk warga mencari dan mengumpul kekayaan. Jika kita faham ini maka bermakna kita semua sebagai warga akan mendapat peluang yang sama. Salah. Kita TIDAK akan memiliki peluang yang sama dalam ekonomi kapitalis. Peluang ini tidak wujud untuk kita yang tidak memiliki modal. Hanya mereka yang memiliki modal sahaja yang akan dapat mempergunakan peluang itu.
Bagitu juga dalam hal Dasar Ekonomi Baru ini. DEB ini telah menobatkan bahawa setiap Bumiputera di Malaysia berhak untuk memiliki 30% ekuiti ekonomi negara. Ini dongeng. Ini juga statistik. Mak Jah dari Felda Taib Andak yang memohon untuk mendapat projek membuat Istana Negara yang berharga 400 juta ringgit itu tidak akan mendapat melawan Maya Maju Sdn.Bhd. Mak Jah dan syarikat Maya Maju ini sama , mereka berstatus Bumiputera. Tetapi hakikatnya adalah berlainan. Ada hukum-hukum dan syarat-syarat lain yang TIDAK bertulis. Bumiputera ini hanya satu dongeng sama seperti statistik. Ianya tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki.
Heboh-heboh statistik baru-baru ini bertujuan untuk mengolah persetujuan rakyat terutama Bumiputera untuk terus menyokong DEB. Dan terus menyokong gerombolan United Malays National Organisation. Amat jelas dari heboh-heboh ini ada dua pembohongan. Bohong pertama statistik. Bohong kedua ialah Bumiputera. Dua pembohongan ikat berikat.
Saya sedar ramai yang terpengaruh dengan pembohongan ini. Di sini saya ingin menerangkan terutama yang menganggap diri mereka Bumiputera. Saya harap mereka sedar bahawa konsep Bumiputera itu tidak ada apa-apa makna. Konsep ini juga sama dengan peratus statistik pencapaian ekuiti ekonomi Bumiputera - kedua-dua hanyalah ‘dondang sayang’ yang kedengaran tetapi tidak dapat dimasukkan ke dalam saku.
Selama 30 tahun ini bunyi perkataan Bumiputera telah dijadikan kempen oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk mengumpul sokongan terutama dari orang Melayu. Rasa saya, manusia Bumiputera ini telah lama berdongeng bukan kerana ganja tetapi kerana mendengar bunyi dan statistik Bumiputera. Masanya telah sampai untuk kita bangun dari terus berdongeng dan berkhayal. Sila lihat disekeliling dan perhatikan apa yang sedang berlaku.
Ini bukan labun atau kempen politik kosong agar saya mendapat menjadi YB. Kalau tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila pergi lawat Kampung Chubadak dekat Sentul di mana tanah yang di teroka oleh Bumiputera berpuluh-puluh tahun dahulu akan dirampas oleh pemaju… opps saya tidak jelas pemaju jenis mana – mungkin Bumiputera atau mungkin dari Nigeria atau mungkin dari gerombolan United Malays National Organisation (UMNO) yang buat ‘joint venture’ dengan gerombolan Malaysian Chinese Association (MCA).
Atau sila pergi ke Kampung Berembang di belakang Jalan Ampang – tidak jauh dari KLCC opps…maaf kerana nama ini nama Mat Saleh. Lihat di mana rumah-rumah Bumiputera telah dibumikan. Atau ke Plentong di Johor Bahru. Lihat bumiputera anak beranak ini sedang tidur di atas bumi. Ini bukan statistik. Ini adalah manusia hidup yang boleh kita pegang dan lawan bercakap. Mereka inilah yang tidak termasuk dalam kajian dari pakar-pakar statistik yang asli mahupun dari pakar-pakar statistik ‘cap ayam’.(tt)—Hishamuddin Rais
No comments:
Post a Comment