Pakatan Rakyat sentiasa konsisten dan komited di dalam merangka sebarang dasar mahupun program untuk rakyat. Kita malah berulang kali menegaskan pentingnya tidak dibebani dengan kadar inflasi yang tinggi sekaligus mengakibatkan kerencatan ekonomi negara. Tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak petrol serta dengan boros membelanjakan wang untuk menjana projek mega amat mengecewakan.
Di dalam perbahasan belanjawan tempoh hari, saya menegaskan belanjawan 2009 yang dibentangkan sudah tidak bermakna lagi. Unjuran yang dibuat berasaskan angka dan fakta lapok! Malah saya menggesa Menteri Kewangan yang baru agar segera membentangkan belanjawan berdasarkan unjuran yang terkini. Ternyata gesaan ini dipandang sepi walau ianya memanfaatkan negara dan rakyat. Jelas ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan.
Semalam kerajaan sekali lagi bertindak terburu-buru dengan membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Pengumuman Menteri Kewangan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan meminjamkan sejumlah RM 5 Billion kepada Valuecap Sdn. Bhd. untuk menyokong pasaran saham tempatan menampakkan ketidakcekapan di dalam mengurus ekonomi negara.
Tindakan ini mengesahkan kenyataan kami bahawa asas ekonomi tidak kukuh dan langkah drastik dan berani harus segera diambil. Rasuah, ketirisan harus dibasmi dan ekonomi negara harus dipacu dan dikendalikan oleh orang yang berkebolehan, bukannya oleh segelintir yang dekat dengan pemerintah.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment