Share |

Wednesday, 24 September 2008

Anwar: Pakatan 'tidak tergesa-gesa' tukar k'jaan

KUALA LUMPUR (MalaysiaKini) : Setelah gagal dalam projeknya untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September dan semalam, PKR mula mengendurkan langkahnya selepas bertemu tokoh-tokoh utama PAS dan DAP.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya akan "terus mengejar matlamat kami dengan berhati-hati" dan "tidak terpancing untuk bertindak tergesa-gesa" yang boleh membawa keadaan tidak stabil dan tidak menentu dalam negara.

Seperti perdana menteri, penasihat PKR itu turut menafikan wujudnya rundingan antara Pakatan Rakyat dengan kerajaan melalui pihak ketiga bagi proses penggantian kerajaan pusat.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dilaporkan mengecam kenyataan ketua penerangan PKR Tian Chua yang dipetik sebagai berkata "orang tengah" kini sedang berbincang dalam langkah Pakatan Rakyat menumbangkan BN.

Abdullah menyifatkan kenyataan itu "paling gila" pernah didengarnya, Anwar pula berkata beliau "tidak tahu-menahu" tentang rundingan seumpama itu yang menurutnya sebagai "tersilap maklum".

Anwar mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kota Bharu semalam berhubung projek penggantian kuasa yang digembar-gemburnya akan berlaku menjelang 16 September lalu.

Setelah gagal berbuat demikian, mantan timbalan perdana menteri itu menggesa Abdullah mengadakan sidang khas Parlimen semalam untuk membincangkan perkara itu tetapi permohonan itu ditolak mentah-mentah oleh perdana menteri.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur berhubung perkara yang sama malam tadi.

"Kami juga berbincang langkah-langkah seterusnya yang sepatutnya Pakatan Rakyat ambil dalam usaha membentuk kerajaan baru yang mencerminkan sokongan majoriti anggota-anggota parlimen," kata Anwar dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan keengganan Abdullah mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat sebagai satu tindakan Umno "mensabotaj dan membantutkan proses demokrasi."

Pakatan Rakyat juga merancang menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung projek undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun PKR semalam memberitahu Malaysiakini, surat sedemikian belum diutuskan kepada Istana Negara.

No comments: