Adik-adik sekalian,
Mulai tahun 2011, adik-adik yang belajar di Tingkatan Lima di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (Zon Tengah) boleh berjalan sambil mendabik dada kerana adik-adik diiktiraf ‘bukan budak-budak lagi’ dan mampu membicarakan topik-topik yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara bertuah ini secara akademik, terbuka dan penuh rasional.
Hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak dapat dinafikan adalah bahawa sistem pendidikan di negara kita pada masa kini hanya lebih berjaya melahirkan ‘robot’ yang berkeupayaan tinggi untuk ‘makan bersuap’ dan menghafaz segala fakta dari buku panduan menjawab soalan peperiksaan sebelum dimuntahkan ke atas kertas jawapan di dewan peperiksaan, lalu muncul menjadi pelajar cemerlang dengan deretan ‘A’ serta menjadi kebanggaan ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat, kaum, agama, nusa, bangsa dan negara.
Namun, kini, segalanya berubah sebaik sahaja novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) diperkenalkan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). Adik-adik di Zon Tengah kini diiktiraf sudah matang dan mampu berhujah secara rasional apabila berhadapan dengan kisah keluarga Seman, Cing Huat dan Maniam menerusi novel Interlok edisi murid.
(Maaf! Adik-adik di zon-zon lain mungkin perlu tunggu sepuluh tahun lagi sebelum diiktiraf sudah ‘matang’ dan ‘dewasa’.)
Adik-adik sekalian,
Saya faham bahawa adik-adik sibuk dengan pelbagai tugasan serta aktiviti kurikulum, kokurikulum dan tuisyen sehingga (mungkin) tidak sempat mengumpulkan maklumat secukupnya untuk mampu membincangkan novel Interlok edisi murid di kelas. (Manakala pelbagai versi sinopsis boleh dibaca menerusi pelbagai buku panduan yang sudah pun berada di pasaran.)
Jangan lupa bahawa Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pasti sudah menasihatkan para guru mengumpulkan maklumat tambahan di luar novel Interlok edisi murid untuk dikongsikan bersama para pelajar semasa perbincangan novel Interlok edisi murid di kelas.
Maka, bagi memastikan guru-guru yang penuh dedikasi, rela berkorban (terpaksa berkorban?) dan sanggup mengumpul bahan-bahan tambahan bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak kecewa melihat hanya ‘robot’ duduk menghadap mereka di bilik darjah, berikut sedikit maklumat berguna dan fakta sahih yang boleh adik-adik salin, cetak, fotokopi, berkongi pautan (link) di ruang siber serta sebarkan kepada rakan-rakan pelbagai kaum di Zon Tengah.
Sikap proaktif, inovatif
Adik-adik sekalian,
Sebaik sahaja guru subjek Bahasa Malaysia (ulang: Bahasa Malaysia) mula bercakap mengenai watak Maniam, ‘si paria dari Kerala’, terus angkat tangan dan tegaskan dengan berani:
“Cikgu! Maniam bukan paria.”
Saya percaya guru anda yang penuh dedikasi dan berpegang teguh pada etika profesion perguruan serta matlamat ‘mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak’ (petikan blurb novel Interlok edisi murid) akan memuji sikap ‘proaktif, inovatif dan kreatif’ yang anda tunjukkan.
Guru anda mungkin menjemput anda ke hadapan kelas untuk menerangkan apa yang anda maksudkan dengan kata-kata ‘Maniam bukan paria’. Malah, siapa tahu, guru berkenaan akan menarik nafas lega dan melafazkan syukur kerana sekurang-kurangnya untuk beberapa minit, beliau tidak perlu bercakap kepada dinding-dinding di bilik darjah!
Adik-adik sekalian,
Dalam keadaan sedemikian, ketepikan sebentar sentimen perkauman (yang sebenarnya sentiasa dipupuk dan dibajai secara berterusan oleh pihak tertentu), lalu berhujahlah secara rasional dan matang berdasarkan fakta-fakta berikut:
Cikgu! Maniam bukan paria kerana di halaman 215 novel Interlok edisi murid dijelaskan bahawa dia dan keluarganya tidak makan daging lembu. Mengikut fakta yang boleh dibuktikan oleh pakar budaya India seperti pensyarah di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Rajantheran Muniandy, ‘paria’ merujuk kepada golongan yang makan daging lembu. Maka, Maniam bukan paria.
Cikgu! Maniam bukan paria kerana di halaman 214-215 novel Interlok edisi murid disebut bahawa dia memiliki seekor lembu jantan yang digunakan untuk mengambil upah membajak sawah milik orang lain. Keluarga yang mampu memiliki lembu dianggap ‘mewah’ dan ‘bertuah’ dalam budaya India, apatah lagi di negara India pada tahun 1910 di mana kisah dalam novel ini berlaku. Mustahil seorang paria mampu hidup se‘mewah’ itu. Maka, Maniam bukan paria.
Cikgu! Maniam bukan paria kerana di halaman 211 novel Interlok edisi murid dinyatakan bahawa ‘Maniam berangkat atas kemahuan sendiri’ iaitu pasti sahaja merujuk kepada Sistem Kemasukan Buruh Bebas yang ‘dilaksanakan pada peringkat awal pemerintahan British di Taman Melayu’ seperti dijelaskan dalam buku Pengajian Malaysia (2002) yang dijadikan buku rujukan di beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara (termasuk Semenanjung Malaysia).
Mulai tahun 1859, kemasukan buruh dari India menerusi sistem ini ‘terbantut’ kerana tambang terlalu tinggi berikutan penguatkuasaan Undang-undang Penumpang. Jadi, jika Maniam masih mampu datang ke Pulau Pinang menerusi Sistem Kemasukan Buruh Bebas pada Julai 1910, tentu dia bukan paria yang tidak ada duit. Malah, secara rasional, mustahil ada orang di desanya yang sanggup memberi pinjaman pada jumlah terlalu tinggi kepada seorang paria untuk pergi ke Malaya ‘atas kemahuan sendiri’ tanpa sebarang jaminan kerja. Maka, Maniam bukan paria.
Cikgu! Maniam bukan paria kerana saya mengikuti, membaca dan memahami hujah-hujah akademik serta dalil-dalil sah yang dikemukakan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dari semasa ke semasa di blog. Saya lakukan demikian kerana saya faham bahawa beban kerja dan tugas cikgu bukannya mudah, apatah lagi kini dengan kontroversi Interlok edisi murid yang belum selesai.
Saya sarankan cikgu meminta kebenaran daripada pengetua kita – yang amat penyayang dan tidak mengamalkan sebarang bentuk prejudis perkauman – supaya menjemput wakil Kavyan datang ke sekolah dan memberikan taklimat khas percuma (ulang: percuma) mengenai novel Interlok edisi murid secara akademik dan intelektual demi manfaat para pelajar, serta demi membantu kami (yang merupakan pemimpin masa depan) benar-benar menjadi lebih ‘matang’ dan ‘dewasa’ serta mampu berhujah secara rasional dan berbobot, seperti yang diharapkan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang amat kita cintai dan kasihi.
Adik-adik sekalian,
Guru subjek Bahasa Malaysia yang mengajar Komsas pasti akan memanjangkan syukur kerana bertuah mendapat sekumpulan pelajar pelbagai kaum yang proaktif, inovatif dan kreatif seperti anda.
Atau sekurang-kurangnya, beliau boleh bersyukur kerana semasa taklimat khas percuma dijalankan wakil Kavyan nanti, guru berkenaan boleh membereskan kerja-kerja hakiki yang masih bertimbun-timbun di atas meja di bilik guru.
Uthaya Sankar SB berpengalaman mengajar subjek Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di beberapa kolej swasta pada 1999-2007. Catatan beliau berhubung pelbagai isu kecil boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com
No comments:
Post a Comment