Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang majoriti pengundinya orang Melayu dan PAS mempunyai kubu kuat di salah satu DUN dalam kawasan berkenaan iaitu Wakaf Mempelam, isu hudud kembali diperkatakan.

Jika pada pilihan raya umum Mac lalu, bukan sahaja hudud tidak diperkatakan oleh PAS malah pendirian parti itu untuk menubuhkan negara Islam juga ‘ditenggelamkan’ sebagi tanda ‘hormat’ PAS kepada PKR dan DAP.

Menyedari, banyak janji-janji kerajaan pakatan pembangkang di lima negeri yang dikuasainya khususnya dalam soal kebajikan tidak juga terlaksana, memainkan isu hudud semula dilihat sebagai usaha untuk memenangi hati umat Islam khususnya pengundi di Kuala Terengganu.

Walaupun tahu rakan-rakan pakatan mereka tidak akan setuju, PAS tetap membangkitkan perkara itu kerana janji bantuan kewangan secara bulanan kepada warga emas, ibu tunggal dan bermacam bentuk bantuan lain yang sehingga kini amsih belum terlaksana di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Oleh yang demikian, jalan mudah dan pantas, buka balik kitab lama, dan bersyarah balik pendirian parti dengan harapan orang lupa janji pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum lalu. Walaupun kenyataan dan pendirian mengenai hudud memperlihatkan adanya perbezaan dan percanggahan pendapat kalangan pemimpin PAS, tetapi ia seolah-olah dirancang sedemikian rupa.

Terbaru, dalam memperkatakan isu hudud, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas mahu hudud dilaksanakan dan sedia ‘berdepan’ dengan sekutu mereka PKR dan DAP bagi menjelaskan perkara itu.

Imej yang cuba ditonjolkan Nik Aziz ialah beliau tegas dan berkeras. Namun nada yang lebih lembut disuarakan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bukan sahaja menjelaskan bukan Islam tidak terlibat dengan pelaksanaan hudud tetapi betapa keadaan semasa masih belum membolehkan hudud boleh dilaksanakan di negara ini.

Berdasarkan dua kenyataan tersebut, jelas satu mahu memenangi hati orang Melayu manakala seorang lagi, cuba lebih bersifat liberal untuk menyenangkan hati masyarakat bukan Islam.

Malah, kenyataan tersebut juga mudah difahami jika kepentingan kumpulan ‘Erdogan’ atau PAS palsu dalam parti itu diambil kira.

Abdul Hadi mencari jalan selamat dengan kenyataan terbarunya walaupun Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa sebelum ini tegas mengambarkan, hudud tetap dilaksanakan sekiranya ketiga-tiga parti itu dapat menguasai kerajaan Pusat.

Nyata Presiden PAS itu lebih bijak bermain politik dengan kata-kata bahawa masyarakat bukan Islam tidak seharusnya bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya membabitkan orang beragama Islam.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Jom Sertai PAS' di Dataran Shah Alam, hari Sabtu, Abdul Hadi berkata golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

“Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan memberi penerangan kepada pemimpin lain dalam PKR dan DAP yang jelas tidak senang dengan hasrat parti itu untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mengakui sukar melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Selain itu katanya, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hukum hudud dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

Mahu atau tidak, Abdul Hadi terpaksa memilih jalan selamat dengan memberikan alasan itu demi mengelak rakan-rakannya dalam DAP membidas PAS kerana hukum hudud memang tidak dipersetujui oleh parti DAP sejak dulu lagi.

Apapun, perhatian banyak pihak kini tertumpu kepada penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menjadi ‘rujukan’ PAS dan DAP untuk mendengar pendirian partinya berhubung pelaksanaan hukum hudud itu.

Apatah lagi, Presiden MIC, Datuk Seri S,Samy Vellu sudah mencabar ketua pembangkang itu menyatakan pendiriannya berhubung hasrat PAS untuk memperkenal hukum hudud di negara ini.

Katanya, Anwar tidak sepatutnya berdiam diri berhubung dengan isu itu.

Barangkali Pak Sheikh bersedia menjelaskannya ketika kempen pilihan raya kecil di Kuala Terengganu nanti.

Namun mengulas mengenai isu hudud yang dibangkit semula oleh PAS, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada jawapannya.

"Biarlah mereka dengan masalah yang mereka hadapi waktu ini, rakyat sendiri akan menilai dan tentulah rakyat sendiri akan menentukan. Ini adalah masalah PAS yang tidak dapat diputuskan," ujar beliau.