Seperti yang diduga rakan politik PAS dalam Pakatan Rakyat, DAP awal-awal sudah ‘ melompat’ sebagai reaksi kepada kenyataan Datuk Husam Musa PAS akan tetap laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Ia sekaligus memperlihatkan dengan jelas bagaimana rapuhnya ikatan rakan kongsi kuasa dalam pakatan itu dimana PAS seolah berada dalam keadaan tangan terikat.

Tiga orang kuat DAP Lim Guan Eng,bapanya Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang amat tidak senang dengan kenyataan Naib Presiden PAS itu menuntut beliau memberi penjelasan.

Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

"DAP tidak bersetuju dan membantah cadangan itu,’kata di Pulau Pinang Isnin.

Kit Siang ,Ahli Parlimen Ipoh yang mahu Husam beri penjelasan bimbang ia akan mencetuskan kegelisahan serta menejjaskan sokongan pengundi Cina semasa pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Beliau menegaskan pendirian DAP tidak berubah bahawa Malaysia harus kekal sebagai negara secular.

Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Jelutong membidas Husam kerana membuat kenyataan berkenaan.

Sementara itu Husam yang ditemui para wartawan di Kota Bharu Isnin sudah terus tukar nada mengenai pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas.

Beliau mengakui pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas mungkin terpaksa ditangguhkan walaupun jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini kerana ia memerlukan persetujuan dua rakannya dalam pakatan itu, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Katanya parti-parti komponen dalam pakatan itu telah menandatangani perjanjian pada Ogos lalu bahawa sebarang perubahan dasar perlu dibuat dengan persetujuan semua parti komponen.

"PAS tidak akan mengambil langkah unilateral. Semua perkara akan diambil secara multilateral," katanya..

Dalam satu forum di Kota Bharu pada Sabtu lalu, beliau berkata PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud itu tetapi pendirian itu dibantah oleh DAP.

"Pasal hudud kita bincang, kalau tidak boleh terima lagi, kita tangguhkan lagi," kata Husam.

Beliau berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk menggubal undang-undang hudud itu seperti mengadakan rundingan dengan badan-badan peguam dan mungkin perlu diadakan pungutan suara.

Sebaliknya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ditemui para wartawan pula berkata tiada masalah untuk PAS melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas kerana halangannya hanya terletak pada pemikiran mereka yang kurang memahami undang-undang itu.

Jika hukuman gantung boleh dilaksanakan kepada pengedar dadah maka tidak jadi masalah untuk rakyat menerima hudud yang antara lain menguatkuasakan hukuman bunuh kepada pembunuh dan hukuman potong tangan kepada pencuri, katanya.

"Hudud ini bukan dibawa PAS tetapi dibawa oleh Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad lagi, jadi bagi orang Islam yang mentadbir negara adalah wajib bagi mereka melaksanakan hudud," katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemimpin PAS seperti beliau hanya mampu menggubal undang-undang Hudud dan Qisas itu tetapi pelaksanaannya akan diadili oleh mahkamah dan hakim berdasarkan bukti dan fakta.

"Jika tidak cukup bukti, hakim tidak akan jatuhkan hukum hudud ke atas pesalah itu. Sama seperti undang-undang yang ada sekarang," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR, Nik Abdul Aziz berkata PAS sedia berbincang dengan mereka mengenai hukum hudud.

"Jika mereka tidak mahu menerima, mereka perlu ada alasan kenapa tidak boleh menerimanya...Islam memberikan peluang kepada semua untuk berbincang," katanya.- 22/12/2008

-----------------------------


Janji manis mu…

Cakap memang mudah.Namun realitinya dihati kecil Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa tentu tersemat keraguan tentang bagaimana parti itu hendak kotakannya.

Ini merujuk kepada cakap Husam PAS akan tetap laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum semasa wacana perdana bertajuk "Transformasi Politik Malaysia" di Balai Islam di Kota Bharu Sabtu malam.

Ramai orang yang berpijak dibumi nyata tertarik mendengar pemimpin kanan PAS itu mengulangi janji parti itu setelah dicabar oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu dilihat tenggelam dan tidak lagi dilaungkan oleh pemimpin PAS selepas pilihan raya umum Mac lalu.

"Kita akan buat," katanya.

Tiada siapa yang dapat pertikaikan Husam cakap Husam bahawa tugas untuk melaksanakan undang-undang hudud tidak seharusnya dipikul oleh parti PAS sahaja kerana tanggungjawab itu harus dipikul oleh semua orang Islam terutamanya pemimpin.

Namun dalam soal ini tandatanya terbesar yang perlu dijawab oleh Husam sendiri mampukah PAS menyakinkan rakan-rakan parti itu dalam Pakatan Rakyat dulu untuk melaksanakan undang-undang itu.

Siapa boleh lupa tentang tentang cakap orang kuat DAP Karpal Singh langkah mayatnya dulu jika PAS nak laksanakan pemerintahan Islam di negara ini jika ia berkuasa.

Itulah menjadi punca krisis yang panas antara PAS-DAP tidak lama dulu.

Karpal Singh sehingga sekarang tidak pernah tarik balik kenyataannya itu.

PAS kini berkuasa penuh di negeri Kelantan dan Kedah.Di Perak pula ia ada ‘ Menteri Besar proksi’ manakala dalam pentabiran di Pulau Pinang dan Selangor ia menjadi rakan kongsi.

Bibit-bibit pergerseran dilihat berbangkit di negeri-negeri itu bila saja PAS nak cuba ketengahkan pendiriannya yang dilihat ekstrem dari pandangan kaum-kaum lain.

Sebenarnya banyak yang boleh dijadikan contoh bagaimana sebahagian dari kalangan ahli PAS sendiri berada dalam dilema melihat bagaimana tangan mereka parti itu terikat bila sudah berkuasa.

Ada kalangan para pemimpin PAS yang cuba meleraikan dilema itu dengan kenyataan –kenyataan nak nampakan parti itu sesuai untuk semua.

Sedangkan pinsip asas perjuangan PAS sendiri bertentangan dengan senario yang wujud di negeri-negeri berkenaan.

Di Perak misalnya Menteri Besarnya ialah orang PAS.Namun masih ada rumah urut yang beroperasi dan begitu juga hal-hal lain yang ditarifkan sebagai ‘ mungkar’ oleh parti itu selama ini.

Usaha PAS untuk mempertikaikan isu penjualan minuman keras di kedai-kedai di Selangor tidak sampai ke mana.

Ahli-ahli parti itu tentu ingat bagaimana mereka melabel orang-orang UMNO kafir kerana berkawan dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional MCA,MIC ,Gerakan dan lain-lain.

Atas nama politik sekarang PAS terpaksa menelan cakapnya yang menjadi bahan kempen utama terhadap UMNO di zaman kehangatan kafir mengkafir dulu.

Disebalik semua ini kongsi kuasa PAS dengan rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat di negeri-negeri dimana mereka berkuasa sekarang menjadi ujian besar bagaimana parti itu nak buktikan ia boleh ‘ cakap serupa bikin’.