Perhatian kini bertumpu kepada Parti Progresif Rakyat (PPP) setelah pucuk pimpinan Barisan Nasional tidak peduli pada ‘ gertak’ presiden parti itu Datuk M Kayveas nak keluar jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum pilihan raya umum Ke-13.

Ini adalah kali pertama BN bersikap tegas terhadap parti gabungannya yang cuba buat perangai selepas ia berdepan dengan tsunami politik para pilihanraya umum Mac lalu.

Kalangan para pemerhati politik tidak terkejut dengan kenyataan bersahaja Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN Selasa menyerahkan kepada PPP memilih jalannya sendiri jika tidak setuju dengan ISA.

Para pimpinan UMNO dikatakan sudah muak dengan tindak tanduk kalangan parti komponen yang cuba membuat berbagai tuntutan keterlaluan kerana mengandaikan parti yang menjadi tunjang BN itu sudah lemah akibat badai tsunami pilihanraya umum lalu.

Mereka dikatakan merasakan jika BN tidak bertindak tegas pada tindak tanduk parti komponen seperti ini berbagai isu dan tuntutan lain yang tidak ada penghujungnya akan terus berbangkit dari masa ke semasa.

Lagipun UMNO sebagai sebuah parti sebenarnya tidak mengalami pukulan seteruk parti-parti komponen BN lain iaitu MCA,MIC,Gerakan dan PPP semasa pilihanraya umum lalu.Sebaliknya mereka cuba menuding jari kearah UMNO untuk menutup kelemahan masing-masing.

PPP sendiri kini tidak mempunyai sebarang kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.Kayveas sendiri tewas di kerusi parlimen Taiping yang dimenanginya semasa pilihanraya umum 2004.

Apakah Kayveas sedia berpegang kepada kata-katanya dengan mengucapkan selamat tinggal kepada BN ?

Ibarat kata ' terlajak perahu boleh diundur...terlajak kata buruk padahnya".

Juga bagaimana pendirian kalangan pimpinan PPP yang lain dalam isu yang besar ini?


Rabu sekurang-kurangnya sudah terdengar ada suara yang mempersoalkan Kayveas.

Penasihat PPP, S.I. Rajah menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Kayveas mengenai ISA merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP akhir bulan lalu merupakan pandangan peribadinya.

Katanya Presiden PPP itu sepatutnya mendapatkan persetujuan para ahli akar umbi parti itu terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan seumpama itu.


Menariknya Rajah menegaskan PPP tidak akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebaliknya mencadangkan Kayveas meletakkan jawatan.

“Sebagai penasihat parti dan bekas senator, saya telah bertemu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen pagi ini dan memberikan jaminan PPP tidak akan meninggalkan BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu difahamkan Kayveas yang kini berada di Amerika telah mengarahkan pimpinan PPP mengadakan satu mesyuarat khas hari ini (Khamis) untuk membincangkan mengenai kedudukan parti itu dalam BN.

Seorang pemimpin kanan parti itu telah dipetik sebagai berkata mereka akan mengeluarkan satu kenyataan selepas mesyuarat berkenaan