Jelas tampak ceria wajah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja keluar Dewan Rakyat, malam Rabu selepas dua rang undang-undang bagi mereformasi pencegahan rasuah serta institusi kehakiman lulus selepas tiga hari dibentang serta dibahaskan di parlimen.

Janji Perdana Menteri sejak 2004 untuk menambahbaik dua badan berkenaan tertunai walaupun ada pihak menganggapnya perkara itu agak mustahil.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen selepas pilihan raya umum Mac lalu dan kebiasaannya kelulusan undang-undang seperti ini perlu pindaan perlembagaan dengan sokongan majoriti.

Bercakap di lobi parlimen ketika lintas dalam Berita RTM1 selepas dewan ditangguhkan jam 8 malam, Abdullah sekali lagi menjelaskan bahawa rang undang-undang yang diluluskan Selasa dan Rabu, amat penting bagi negara dan kerajaan kerana ada hubung kait dengan membasmi rasuah dan pelantikan hakim.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 diluluskan semalam manakala Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) 2008 lulus malam Rabu.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdullah gembira kerana banyak pihak menganggap kerajaan tidak dapat meluluskan undang-undang sebegini kerana kerajaan kini lemah dan tiada kekuatan.

“Bagaimana nak lulus undang-undang ini kerana orang anggap perlu pindaan perlembagaan sedangkan Barisan Nasional tak ada kekuatan dua pertiga itu di parlimen,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan dapat mengambil pendekatan baru dengan undang-undang tanpa perlu pindaan perlembagaan.

Katanya, ini membuktikan kekuatan kerajaan serta ahli-ahli parlimen BN yang menyokong sehingga rang undang-undang itu mendapat kelulusan.

Seperti dikatakannya sebelum ini, Abdullah melihat reformasi ini sesuatu yang penting yang mengambarkan kesungguhan dan iltizam kerajaan bagi menghapuskan rasuah dan memberi semula kepercayaan besar kepada pihak pencegah rasuah.

Mengenai pelantikan hakim pula, beliau yakin rang undang-undang baru itu akan mengembalikan keyakinan yang tinggi oleh rakyat pada sistem kehakiman di negara ini.

“Tentulah pemilihan calon pegang jawatan tertentu di mahkamah akan dapat dijalankan dengan baik. Kita dapat buktikan kewibawaan hakim dan rakyat tak akan ragui lagi sistem ini,” ujarnya.

Menurut Abdullah, usaha ini juga dapat menarik pelabur-pelabur ke Malaysia kerana mereka tahu rasuah sudah berkurangan di negara ini.

“Mereka juga akan yakin dengan system kehakiman di negara ini,” ujarnya.

Sebelum ini katanya, persepsi negatif terhadap dua agensi ini cukup kuat dan langkah ini dapat menghapuskan pandangan tidak baik seperti itu.

Beliau menganggap rang undang-undang yang diluluskan itu bukan sahaja membuktikan kejayaan kerajaan BN tetapi tingkat integriti serta keyakinan rakyat kepada dua sistem tersebut.

Kedua-dua undang-undang itu akan dijangka berkuatkuasa awal tahun 2009.

Perdana Menteri sebelum ini berjanji melakukan reformasi serta menambahbaik dua institusi penting negara itu selain bidang penguatkuasa sebelum peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga tidak menganggap mahu meninggalkan legasi dengan reformasi itu sebaliknya mahu menunaikan janji serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN dan agensi-agensi berkenaan.