Bukit Gantang - 5 April 2009
Sewaktu saya menjawat Menteri Kewangan, Jaafar Sheikh Idris, ulama’ dari Sudan mengingatkan saya berkenaan intipati pembangunan yakni ianya mestilah berasaskan hati yang suci.
Semalam, ketika menyampaikan tazkirah Maghrib kepada para jemaah Surau Kuning Sari, Bukit Gantang saya nukilkan kembali pesanan Jaafar Sheikh Idris ini beserta kupasan ayat 7-10 dari Surah Asy-Syams yang bermaksud:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Saya terkesan untuk memetik ayat-ayat tersebut tatkala mengenang kembali situasi umat yang kini berhadapan dengan kefasadan yang membarah. Maka olih yang demikian, pembaikan sedaya mungkin (al islaha mastata’tum) harus dilakukan demi kebaikan manusia seluruhnya.
—–
Bukit Selambau - 4 April 2009
Dalam tazkirah kepada para jemaah di Masjid Kampung Raja, Batu 2, saya memetik ungkapan keramat Pak Natsir yakni “Jangan kita ghairah untuk membangun sambil merobohkan”. Saya tekankan kepentingan akhlak dalam falsafah pembangunan Pakatan Rakyat. Kupasan ini turut menjadi tajuk utama wacana yang dilontarkan oleh Paul Krugman dan Amartya Sen.
Masalah ketamakan dan menggunakan dana tanpa menghiraukan risiko kepada pelabur menyebabkan berlakunya kegawatan ekonomi sekarang. Apa yang dirisaukan ialah bila mana pendekatan pengurusan ekonomi negara sama sekali tidak mempedulikan persoalan akhlak yang sedang membarah.
Maka yang demikian kita menggagaskan prinsip ekonomi manusiawi (humane economy), tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan (transparency) dan pertanggungjawaban (accountability). Amanah mesti dipegang erat dan tanggungjawab wajib dilaksanakan.
Saya kemudiannya ka Tanah Licin untuk menemui komuniti Siam. Keluhan mereka cukup mengesankan terutamanya berkenaan dasar pembangunan yang tempang di kawasan tersebut. Hanya kerana perbedaan ras, mereka dipinggirkan. Seharusnya kita merenung kembali gesaan di dalam Al-Quran yang menyeru umat menegakkan keadilan dan ihsan (al ‘adl wal ihsan).
—–
Bukit Selambau - 3 April 2009
Saya berkempen di Kuala Sin tengah hari tadi. Manakala dimaklumkan bahawa asal perkataan ’sin’ berakarkan kalimat ’saing’, maka saya menyeru warga Kuala Sin supaya menidakkan kemenangan Umno-BN dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau ini.
Usai bersolat Jumaat di Masjid Kuala Sin, saya hadhir ka majlis jamuan rakyat. Pada sabelah malamnya, saya menyertai majlis makan malam bersama komuniti Cina, seterusnya berceramah di Laguna Merbok dan kemudiannya bersama YB Karpal dan Tuan Guru Nik Aziz berceramah di Pekan Bukit Selambau.
Mesej saya jelas yakni agenda perubahan mestilah bersifat menyeluruh melalui penegakkan negara hukum. Sendi-sendi umpama kebebasan akhbar dan wibawa kehakiman seharusnya kembali dipulihkan. Kita tidak mahu hari ini mendabik dada dengan retorik perubahan, walhal kemudiannya menghumban mereka yang tak sehaluan ke kamar penjara!
—–
Bukit Gantang - 2 April 2009
Saya tiba sedikit lewat ka markas PAS di Trong. Hujan mencurah namun penduduk Bukit Gantang tetap bersemangat hadhir mendengar ceramah.
Seterusnya acara kempen di Sungai Tinggi. Saya mengajak rakyat menolak politik tidak siuman pimpinan Umno-BN.
Sekonyong-konyong, perubahan menjadi mantera popular pimpinan Umno. Pastinya esok muka depan media milik Umno-BN dipenuhi dengan slogan perubahan yang muluk-muluk.
Lagak mereka seperti baru mendengar perkataan tersebut. Perubahan pastinya bukan sekadar retorik. Ianya adalah kata sakti yang dizahirkan dari iltizam berterusan!
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment