COMMENT
Yang Arif,Kavyan sudah bersedia untuk melakukan penggulungan hujah berhubung kontroversi novel Interlok edisi murid (2010) yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
Berdasarkan segala hujah dan bukti yang dibentangkan sejak hari pertama perbicaraan, berikut ringkasan pendirian tegas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berhubung kes ini.
Pertama, Kavyan tetap teguh dengan pendirian bahawa Interlok edisi murid (2010) wajib dan wajar ‘dimurnikan’ seperti disarankan Kavyan, sebelum dimasukkan semula ke dalam sistem pendidikan negara sebagai teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Kedua, novel Interlok ‘edisi dimurnikan’ seperti disarankan Kavyan perlu mengandungi Prakata, Kata Pengantar dan Sepatah Kata seperti yang terdapat dalam edisi 2003 kerana kehadirannya membantu ‘menjernihkan’ keadaan, sekali gus mengangkat martabat dan maruah Interlok dan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah). Malah, boleh juga disertakan sedikit kata-kata (tulisan) berupa pengakuan bahawa segala ‘fakta’ mengenai budaya kaum India di dalam novel ini diperoleh oleh Pak Lah daripada seorang rakan kaum India serta dinyatakan namanya.
Ketiga, novel Interlok ‘edisi dimurnikan’ seperti disarankan Kavyan perlu mengandungi Glosari yang ‘bermaruah’ dan benar-benar membantu pemahaman pelajar.
Keempat, novel Interlok ‘edisi dimurnikan’ seperti disarankan Kavyan perlu menyebut dengan jelas pada Halaman Hak Cipta bahawa karya ini pertama kali terbit pada tahun 1971.
Kelima, Kavyan membantah sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak yang didapati menghina khazanah ilmu negara (khususnya karya sastera) dan martabat Sasterawan Negara dalam apa keadaan sekali pun dan dengan apa cara sekali pun.
Keenam, Kavyan menuntut supaya semua pihak yang terlibat dalam kontroversi ini tidak lari daripada isu sebenar yang dibicarakan, iaitu penggunaan novel Interlok edisi murid (2010) sebagai teks Komsas.
Ketujuh, Pak Lah tidak boleh diheret masuk ke dalam kontroversi ini dalam apa jua keadaan. Tindakan memanipulasi situasi Pak Lah demi kepentingan peribadi atau organisasi tertentu juga mesti dihentikan segera. Sebarang usaha berbuat demikian perlulah ditakrifkan sebagai ‘berniat jahat’ secara langsung atau tidak langsung.
Kelapan, Kavyan membantah sebarang usaha mempolitikkan isu Interlok edisi murid (2010). Untuk rekod, kerja-kerja ‘mempolitikkan’ tidak hanya terhad kepada individu yang terlibat dalam ‘parti politik’, sebaliknya termasuk juga penglibatan badan bukan kerajaan (NGO); khususnya apabila kontroversi berhubung Interlok edisi murid dijadikan isu perkauman yang mampu menggugat keamanan negara.
Kesembilan, Kavyan tidak menjadi proksi mahu pun proletar kepada mana-mana pihak. Segala hujah yang dibentangkan sejak hari pertama adalah pendirian Kavyan tanpa dipengaruhi sesiapa. Sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999, Kavyan tidak pernah – dan tidak akan, dengan izin Tuhan – bernaung di bawah mana-mana badan politik atau pertubuhan lain.
Kesepuluh, perlu direkodkan dan didokumentasikan sebagai catatan sejarah kesusasteraan negara bahawa Gapena dan sekutunya meluluskan lapan resolusi pada 15 Januari 2011, di mana salah satu resolusi itu adalah ‘membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut’ di mana ‘novel tersebut’ merujuk kepada novel Interlok karya Pak Lah.
Kesebelas, perlu direkodkan dan didokumentasikan sebagai catatan sejarah kesusasteraan negara bahawa Kavyan sudah pun mengemukakan bukti secara ringkas dan padat untuk menunjukkan bahawa Interlok edisi murid (2010) yang cuba dipertahankan Gapena dan sekutunya, secara ironi, sudah pun melalui proses asas ‘pemurnian’ berbanding karya asli Pak Lah (Hak Cipta 1971). Bagi mewakili ‘karya asli’ yang dimaksudkan, Kavyan berpegang pada edisi 2003 kerana Hak Cipta edisi berkenaan masih dipegang oleh Pak Lah, berbanding Hak Cipta edisi murid (2010) dipegang oleh DBP.
Kemenangan besar?
Yang Arif,
Kavyan sudah membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa Interlok edisi murid (2010) sudah pun melalui proses awal ‘pemurnian’ (termasuk tetapi tidak terhad kepada penyuntingan, penambahan, pembuangan, pembetulan) sebelum diterbitkan.
Bagaimanapun, Interlok edisi murid ini masih mempunyai terlalu banyak kelemahan, sebagaimana dihujahkan sejak hari pertama.
Sekiranya Yang Arif tetap memutuskan bahawa novel Interlok edisi murid (2010) perlu kekal dalam sistem pendidikan negara tanpa sebarang perubahan, maka keputusan itu nanti tidak pula bermakna Gapena dan sekutunya berjaya ‘menang besar’ dalam kes ini.
Saya katakan demikian kerana Gapena dan sekutunya ‘berjuang bermati-matian’ mempertahankan karya agung seorang Sasterawan Negara (Pak Lah) serta berpendirian tegas ‘membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut’.
Untuk rekod, Gapena dan sekutunya mempertahankan Interlok (Hak Cipta 1971) sebagaimana ditulis oleh Pak Lah.
Untuk rekod juga, Kavyan sudah pun mengemukakan bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa Interlok edisi murid (2010) tidak lagi memenuhi kriteria ‘karya asli sebagaimana ditulis oleh Pak Lah’; tanpa sedikit pun menafikan hak moral dan hak royalti Pak Lah ke atas edisi murid ini.
Maka, sekiranya Interlok edisi murid (2010) dikekalkan dalam sistem pendidikan negara tanpa sebarang perubahan, bermakna Gapena dan sekutunya gagal dalam usaha besar-besaran mereka ‘membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut’ kerana mereka secara terang-terang sudah ‘mengizinkan’ karya asli Pak Lah (Hak Cipta 1971) dipinda (termasuk tetapi tidak terhad kepada penyuntingan, penambahan, pembuangan, pembetulan) dalam Interlok edisi murid (Hak Cipta DBP 2010).
Manakala di sisi Kavyan pula, walau apa pun keputusan pada akhir perbicaraan ini, kami tetap mendapat kemenangan moral (moral victory).
Seperti yang pernah ditegaskan Mahatma Gandhi, ‘jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini’ dan ‘tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran’. Kami ikut Mahatma Gandhi.
Yang Arif, I rest my case and let the Rakyat decide.
Catatan akhir: ‘Yang Arif’ yang dimaksudkan dalam perbicaraan ini sejak hari pertama adalah ‘Rakyat’ iaitu warganegara Malaysia (termasuk Semenanjung Malaysia) yang berhak menentukan hala tuju negara.
No comments:
Post a Comment