Utusan Malaysia
PUTRAJAYA
12 Jan. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan saman pemula seorang
wanita keturunan India, Siti Hasnah Vangarama Abdullah bagi mencabar
kesahihan proses penukaran agamanya kepada Islam ketika masih
kanak-kanak, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan
diputuskan.
Panel
tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang
bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd.
Yunus membenarkan rayuan wanita itu dan memerintahkan ketiga-tiga
responden membayar kos berjumlah RM10,000.
Mahkamah
sebulat suara berpuas hati agar saman pemula itu dikembalikan ke
Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan kerana terdapat isu yang wajar
dihujahkan berhubung proses pengislaman Siti Hasnah, 29, ketika berusia
tujuh tahun.
Isu
pokok yang dibangkitkan dalam saman pemula itu adalah sama ada seorang
kanak-kanak berusia tujuh tahun mempunyai kapasiti dan tertakluk kepada
pihak berkuasa agama untuk menjalani upacara keagamaan termasuk proses
penukaran agama.
Wanita
tersebut atau nama Hindunya, S. Banggarma merayu terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Ogos 2010 yang membatalkan saman
pemulanya selepas membenarkan bantahan awal responden.
Responden
pertama hingga ketiga terdiri daripada Yang Dipertua Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Raimi
Abdullah (ketika itu Setiausaha Perkim Bukit Mertajam, Pulau Pinang) dan
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).
Mahkamah
Tinggi ketika itu berpuas hati dengan hujahan pihak responden bahawa
Siti Hasnah seorang Islam dan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang
kuasa mendengar saman pemula berkenaan.
Wanita
tersebut diwakili oleh peguam Gooi Hsiao Leung manakala Matthias Chang
bagi pihak Dr. Mahathir, Tuan Zubaidah Tuan Muda bagi pihak Raimi
manakala Hairuddin Othman mewakili MAIPP.
Dalam
saman pemulanya yang difailkan pada 23 Disember 2009, antara deklarasi
yang dimohon oleh Siti Hasnah adalah pihak responden secara salah dan
tanpa mengikuti undang-undang telah menyebabkan dia menjalani proses
penukaran agama ketika masih kanak-kanak.
Wanita
itu mendakwa, proses pengislaman pada 28 Disember 1989 iaitu tiga hari
selepas kematian ibunya dilakukan secara salah kerana ketika itu dia
tidak memahami kalimah syahadah yang diucapkan serta kandungan Sijil
Akuan Masuk Islam yang ditandatanganinya.
Pada
24 November 2009, sebuah portal berita propembangkang melaporkan sijil
kelahirannya menyatakan bahawa Siti Hasnah dilahirkan pada 13 Ogos 1982
di Keratong, Pahang dan anak kepada pekerja estet keturunan India, B.
Subramaniam dan R. Latchumy.
Bagaimanapun,
MAIPP dalam sidang akhbar pada Disember 2009 menyatakan, wanita
terlibat merupakan seorang Islam selepas ibu bapanya memeluk agama itu
di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Pahang pada 30 November 1983 dan
menukar nama masing-masing kepada Mohd. Yusof Abdullah dan Siti Aisyah
Abdullah.
Isu
pengislaman Siti Hasnah itu ditimbulkan pada satu sidang akhbar selepas
wanita berkenaan mendakwa dia terkejut ketika diberitahu dia seorang
Islam semasa ingin mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang lelaki
beragama Hindu.
No comments:
Post a Comment