Share |

Tuesday, 11 October 2011

Kerajaan Negeri Hormati Titah DYMM Sultan Selangor

Kenyataan Akhbar
10 Oktober 2011

Kerajaan Negeri menghormati titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung laporan pemeriksaan terhadap Dream Center di Damansara Utama yang telah diperiksa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kerajaan Negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia amnya.
Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung.

Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu ini. Sebaliknya isu ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan JAIS serta pengumpulan bukti.

Justeru, Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatan kuasa khas untuk memperkasakan Standard Operating Procedure (SOP) di JAIS agar jabatan itu dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan.
Jawatan kuasa khas ini akan dianggotai tokoh perundangan dan pakar agama selain pegawai kanan kerajaan yang mana nama-nama mereka ini akan diumumkan kelak.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: