Share |

Monday, 17 October 2011

Budaya Hindu: Pengajaran dari Ubud

Komentar ini khusus menyentuh soal agama Hindu dan mungkin tidak sesuai bagi kelompok tertentu.
COMMENT
Apa yang saya tahu mengenai Bali, Indonesia adalah bahawa majoriti penduduknya (hampir 93 peratus) beragama Hindu, tetapi amalan agama itu sedikit berbeza berbanding di tempat-tempat lain.

Berita yang masih basah dalam ingatan adalah mengenai serangan bom yang membunuh 202 orang di Kuta pada 2002; serta satu lagi letupan bom pada 2005.

Terkini, sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan cedera akibat gempa bumi melanda pulau pelancongan itu pada 13 Oktober 2011.
Oka Rusmini, penulis terkenal dari Bali yang saya temui semasa menyertai Program Penataran Sastera Mastera di Bogor pada Oktober 1997 memberitahu bahawa penganut agama Hindu di Bali mengenali Brahma, Vishnu, Shiva dan Ganesha, tetapi tidak mengenali Murugan.

Saya berpeluang ke Bali apabila diundang menyertai ‘Ubud Writers & Readers Festival’ (5-9 Oktober 2011). Penerbangan berlepas sekitar jam 9:35 malam, 3 Oktober dari LCCT dan saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar pada sekitar 12:30 tengah malam.

Ada petugas festival yang menunggu untuk membawa saya menaiki van ke Honeymoon Guesthouse di Jalan Bisma, Ubud. Perjalanan agak jauh tapi pemandangan sepanjang jalan amat mengagumkan; walaupun gelap.

Tentu sahaja papan-papan tanda menggunakan Bahasa Indonesia yang ada banyak pengaruh Bahasa Sanskrit; khususnya pada nama tempat.

Sepanjang perjalanan ke Ubud juga jelas kelihatan patung-patung dan berhala di tepi jalan. Pemandangan ini mungkin tidak sesuai bagi pelancong tertentu kerana segala apa yang ada di sini mampu menggugat keimanan mereka; bergantung pada tahap keimanan masing-masing, tentunya.

Saya berpeluang melihat lebih banyak keindahan tradisi Hindu-Bali apabila berjalan-jalan di sepanjang Jalan Bisma dan Jalan Raya Ubud pada siang hari.

Ada begitu banyak pintu gerbang yang menempatkan patung dewa Hindu; khususnya Ganesha. Di hadapan hampir setiap rumah dan kedai juga ada tempat puja bagi dewa pengawal. Sajian diletakkan di hadapan setiap kedai dan bangunan.

Terdapat juga banyak pura (kuil) di sepanjang jalan ini. Ternyata amalan agama Hindu amat kuat di sini; walaupun pasti sahaja amalan di sini berbeza dengan apa yang menjadi amalan dalam kalangan penganut agama Hindu di Malaysia.

Dari Jalan Raya Ubud, kelihatan Jalan Wanara Wana yang menuju ke Monkey Forest dan Nyuh Kuning. Selepas itu ada Jalan Gautama yang membuktikan pengaruh Buddha. Seterusnya Jalan Hanoman yang kemudian bersimpang dengan Jalan Dewi Sita dan Jalan Wanara Wana.

Terdapat juga Jalan Sugriwa, diikuti simpang Jalan Jembawan. Sesiapa yang gemar/pernah membaca Ramayana (atau mana-mana versi adaptasi) pasti mengenali nama-nama ini.

Ringkasnya, hari pertama di Ubud membuatkan saya seperti kembali mengenali agama Hindu dan Ramayana serta tradisi budaya India.

Bersatu dengan alam

Pada petang 4 Oktober, saya dibawa ke Hotel Alam Sari, Tegallalang, Gianyar. Kalau suasana di Honeymoon Guesthouse amat memikat, suasana di hotel ini lebih menarik! Apatah lagi saya tinggal di sebuah rumah kecil dikelilingi taman.

Suasana aman damai dikelilingi hutan amat menyamankan. Ternyata pengusaha hotel ini tidak memusnahkan alam sekitar untuk membina hutan batu yang dinamakan hotel. Semua ini berbalik pada ajaran asas dalam agama Hindu yang menjadi pegangan – malah budaya – di Ubud.

Pada setiap pagi, saya dan seorang penulis dari Australia, Martine Murray, menaiki van menuju ke tempat acara Ubud Writers & Readers Festival berlangsung di Jalan Raya Sanggingan.

Peluang perjalanan selama hampir 20 minit selalunya saya gunakan untuk berbual-bual bersama pemandu. Salah seorang daripada mereka ialah Dewa (foto) yang bekerja sebagai pemandu selama 15 tahun.

Sepanjang perjalanan, Dewa menceritakan – antara lain – bahawa “Dewa” adalah nama keluarganya. Sistem catur wangsa yang diamalkan penduduk Hindu-Bali tidak sama dengan sistem kasta yang berasal dari India.

Misalnya, dalam amalan di India, seseorang yang lahir dalam catur wangsa tertentu (Sudra, misalnya) akan kekal dalam kedudukan itu. Hal ini berbeza dengan Hindu-Bali kerana individu berkenaan boleh menjadi peniaga, misalnya, dan memasuki catur wangsa Vaisya.

Dalam agama Hindu, ada enam mazhab yang menyembah Tuhan dalam bentuk rupa Shiva, Shakti, Ganapathi, Murugan, Surya Narayanan dan Maha Vishnu.

Hindu-Bali pula mempunyai sembilan mazhab, iaitu Pasupata, Bhairawa, Siwa Shidanta, Waisnawa, Bodha, Brahma, Resi, Sora dan Ganapatya.

Ternyata budaya penduduk Bali menerima pengaruh kuat daripada budaya India (Hindu) dan China (Buddha). Akhirnya, lahirlah budaya Hindu-Bali yang amat unik; sebagaimana budaya masyarakat Chetti di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka.

Dewa menceritakan bahawa pemerintah Indonesia mensyaratkan penduduk Hindu-Bali hanya boleh mempunyai dua anak. Namun, katanya, ilmu yang dipelajari menerusi Kamasutra sejak zaman berzaman membantu mereka menikmati keintiman alam perkahwinan sambil memastikan hanya ada dua anak.

Malah, katanya, penduduk Hindu-Bali bukan mementingkan kuantiti (jumlah) anak, tetapi kualiti anak-anak. Perkara ini turut diakui seorang lagi pemandu van, I Wayan Seraya.

“Anak-anak belajar dan bermain. Golongan pemuda dan orang dewasa bekerja untuk mendapatkan wang. Golongan tua berumur lebih 55 tahun selalunya kembali mengerjakan sawah milik keluarga dan banyak terlibat dalam upacara agama,” katanya.

Agak menarik untuk memperhatikan bahawa penduduk Hindu-Bali mahu sentiasa bersatu dengan alam, selain mementingkan aspek keseimbangan dan harmoni. Anak-anak bersekolah bukan untuk belajar menjadi pandai sahaja, tapi apa yang lebih penting adalah belajar untuk menjadi orang baik.

Kematian adalah proses kehidupan

Penduduk di Bali – khasnya Ubud – mengenal internet tetapi tidak pula meninggalkan amalan tradisi. Perkara ini amat menarik pada pandangan saya. Adat dan budaya Hindu-Bali mementingkan keseimbangan dalam segala aspek kehidupan.

Menurut Dewa, walaupun dua insiden letupan bom berlaku di Bali, penduduk di sini tidak mendendami sesiapa. Sebaliknya, mereka cuba melihat semua kejadian dengan minda positif.

Misalnya, kematian adalah sebahagian proses kehidupan; maka mereka memilih untuk tidak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan kematian dalam insiden letupan bom itu.

Penduduk Hindu-Bali juga melihat semua agama di dunia ini sebagai agama yang menyeru kepada kebaikan. Maka, tidak timbul langsung keperluan untuk memperlekeh agama-agama lain. Agama Hindu tidak pernah mengatakan ia agama terbaik dan agama lain “salah”.

Hal ini juga terungkap kemas dalam doa umum yang menjadi ikutan para penganut Hindu di seluruh dunia. Saya juga melihat doa itu dipaparkan dalam Bahasa Sanskrit, Bahasa Inggeris dan Bahasa Inggeris di Hotel Alam Sari:

“Om shanti shanti shanti
Semoga damai meliputi Dunia
May peace prevail on Earth”
Dewa juga menjelaskan bahawa agama Hindu dalam kalangan penduduk Bali bukan berciri ‘religious’ atau ‘ritual’ tetapi berciri ‘spiritual’.

Saya yakin bahawa agama Hindu sudah bersatu dan sebati bersama-sama adat masyarakat di Bali. Maka, ajaran dan amalan agama Hindu sudah menjadi suatu ‘budaya’ sejak kecil.

Mungkin ciri seperti inilah yang kurang diberi perhatian oleh penganut agama Hindu, khususnya daripada kalangan kaum India di Malaysia.

Memanglah masyarakat India-Hindu hanya minoriti di Malaysia tetapi perlu disedari bahawa hak beragama dan mengekalkan budaya tradisi dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my bagi sebarang maklum balas.

No comments: