Tunku sengaja mahu menggunakan faktor PKM
sebagai alat tekanan politik kepada British semasa beliau merundingkan
kemerdekaan Malaya dengan kerajaan British.
FEATURE
Artikel
ini adalah Bahagian Kedua dari artikel sebelum ini bertajuk “Gerakan
kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan” yang disiarkan pada 25 Julai
lalu.Persoalan mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) masih enggan meletakkan senjata walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga kini masih kabur di mata masyarakat negara ini.
Secara tidak langsung juga, kekaburan ini memberi kelebihan politik kepada kerajaan negara ini dengan menggambarkan kepada masyarakat bahawa PKM telah beralih arah perjuangan menentang penjajah kepada menentang kerajaan negara ini yang sah pula.
Keengganan PKM meletakkan senjata selepas Malaya merdeka amat berkait rapat dengan kegagalan Rundingan Baling yang diadakan pada Disember 1955 antara PKM dan Kerajaan Malaya.
Kajian mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM Dr Mohamed Salleh Lamry dalam bukunya, ‘Gerakan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ (GKMDPK) banyak menghuraikan faktor mengapa PKM enggan meletakkan senjata setelah negara mencapai kemerdekaan.
“Setelah berjuang dengan darah dan nyawa, tentulah tidak adil dan munasabah, jika mereka keluar menyerah diri untuk ditahan dan disoal siasat.
“Ini adalah antara sebab utama mengapa mereka tidak meletakkan senjata apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Dalam hal ini, Abdullah C.D menganggap bahawa pencapaian kemerdekaan itu adalah hasil perjuangan semua rakyat selama kira-kira 450 tahun yang bemula dengan perang patriotik oleh pembesar tradisional hinggalah Perang Pembebasan Nasional oleh PKM.
“Akan tetapi perjuangan itu telah dirampas oleh golongan reaksioner yang menjadi pemerintah tempatan, walaupun pemerintah tempatan itu masih belum bebas sepenuhnya dari penguasaan British,” menurut kajian tersebut.
Antara syarat utama perdamaian yang digariskan dalam Rundingan Baling oleh Kerajaan yang ketika itu masih di bawah penguasaan
British dalam rundingan itu ialah bekas anggota PKM akan ditahan di bawah Akta ISA untuk disoal siasat.
Sedangkan bagi Chin Peng, jika ditahan dan disoal siasat adalah sama dengan menyerah diri bagi seseorang penjenayah sekaligus menunjukkan perjuangan mereka menentang penjajah sebelumnya tidak diiktiraf.
Setelah mereka berkorban dan berjuang dengan mengangkat senjata untuk menghalau penjajah dari bumi Malaya, maka bagi PKM tentulah syarat yang dikenakan terhadap mereka itu tidak adil.
Malahan di kalangan nasionalis kiri ini juga berpendapat perjuangan dan pengorbanan mereka jauh lebih meletihkan, sengsara dan dahsyat berbanding apa yang dilalui perjuangan aliran perdana.
Tunku tidak mahu rundingan berjaya?
Selain itu, menurut catatan seorang tokoh wartawan di era tersebut, Said Zahari, ‘Meniti lautan gelora: Sebuah memoir politik’ terbitan Utusan Publications, pada 2001, Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memang dari mulanya tidak mengkehendaki Rundingan Baling itu berjaya.
“No, I am not. I never wanted it to be a success,” demikian ucap Tunku kepada Said Zahari seperti yang dicatatkan di dalam memoir beliau itu.
Menurut pendapat Said Zahari, Tunku sememangnya tiada niat untuk mencapai penyelesaian politik dengan PKM kerana beliau sedar ideologi komunis tidak akan diterima rakyat khususnya di kalangan orang-orang Melayu.
Akan tetapi, Tunku sengaja mahu menggunakan faktor PKM sebagai alat tekanan politik kepada British semasa beliau merundingkan kemerdekaan Malaya dengan kerajaan British.
Sekaligus kenyataan tersebut selari dengan dakwaan bekas pemimpin-pemimpin PKM bahawa akibat perjuangan bersenjata PKM terhadap British, menyebabkan British terpaksa menanggung kerugian dan beban perbelanjaan yang besar.
Oleh demikian ianya merupakan satu tekanan yang besar dan mendorong British memberikan kemerdekaan dengan agak segera kepada bumi Malaya.
Selain itu, dalam rundingan awal sebelum Rundingan Baling diadakan, wakil Tunku iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing menyampaikan pesan peribadi beliau kepada Chin Peng melalui wakilnya, Chen Tien bahawa beliau bersedia untuk berunding semula sekiranya Rundingan Baling itu buntu.
“No matter what happens, he hopes Chin Peng will come and talk with him.
“If the first round of the talk fail to settle the problem, when he return from London, the Tunku will continue the discussions,” demikian mesej pesanan peribadi Tunku kepada Chin Peng.
Bagaimanapun setelah beliau pulang dari London, Tunku telah memilih untuk tidak melayani surat Chin Peng yang mahu kembali ke meja rundingan sepertimana yang dijanjikan oleh Tunku sendiri.
“Akan tetapi, Tunku tidak menunaikan janjinya untuk bertemu Chin Peng setelah perundingannya dengan kerajaan British di London mencapai kejayaan, iaitu setelah dia mendapat persetujuan daripada kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos,” menurut kajian itu lagi.
Chin Peng turut mengutus surat kepada Tunku pada 12 Oktober 1957 yang menyatakan kesediaan beliau untuk berunding semula bagi mencapai satu persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan peperangan.
“Saya bersedia berunding semula dengan Tunku untuk mencapai persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan perang,” demikian menurut Chin Peng yang dipetik dari ‘Tunku Abd Rahman and his role in the Baling Talk’ dari hasil kajian Prof Nik Anuar Nik Mahmud dari Jabatan Sejarah UKM pada 1998.
Sekaligus keadaan ini menguatkan lagi hujah Said Zahari bahawa Tunku tiada niat agar Rundingan Baling itu berjaya dengan menjadikan PKM sebagai alat tekanan kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaya.
Ia juga menguatkan hujah para pejuang kiri yang menyatakan penentangan bersenjata terhadap British oleh mereka telah menyebabkan British tertekan untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.
“Folding up the banner and silencing the drums”
Menurut kajian Aloysius Chin dalam ‘The Communist Party of Malaya: The inside Story’ yang diterbitkan pada 1995 menyatakan kegagalan Rundingan Baling tersebut amatlah mengecewakan Chin Peng.
Lantaran itu Chin Peng telah mengumumkan dasar baru PKM iaitu ‘folding up the banner and silencing the drums’ yang membawa maksud tidak meneruskan perjuangan bersenjata.
Dalam bukunya lagi, Aloysius Chin turut menyatakan PKM telah memperkenalkan dasar ‘demobilization’ pada 1958 sekaligus membenarkan anngotanya yang sudah tua atau tidak berminat meneruskan perjuangan untuk meninggalkan pasukan itu.
Istimewanya buku dari hasil kajian Aloysius Chin, oleh sebab beliau merupakan seorang pegawai tinggi Polis Cawangan Khas maka buku yang ditulisnya itu berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan oleh cawangan khas.
Salleh Lamry dalam GKMDPK ini turut menjelaskan selepas pengunduran PKM ke Selatan Thailand, Pengerusinya, Musa Ahmad mengarahkan pasukan bersenjata parti komunis itu mempraktikkan dasar bertahan secara pasif iaitu tidak membalas serangan baik dari tentera Malaya mahupun Thailand.
Malahan mereka juga tidak berundur dari serangan pihak tentera ke kawasan lain dengan hanya menyorok sehingga serangan pihak penyerang reda dengan sendirinya.
Bagaimanapun konsep bertahan secara pasif yang dibuat itu telah mengakibatkan pihak mereka terpaksa menanggung banyak kemalangan jiwa dan ini telah mendapat bantahan dari Abdullah C.D dan kader-kader PKM lainnya.
Akhirnya untuk mempertahankan diri dari dibunuh, Rejimen ke-10, PKM mula mengambil dasar bertahan secara aktif iaitu tidak menyerang jika tidak diserang dan membalas serangan jika diserang.
Bagaimanapun mereka tidak hanya menunggu diserang sahaja, mereka turut mengambil inisiatif untuk menyerang terlebih dahulu apabila menyedari terdapatnya tentera kerajaan dalam perjalanan untuk menyerang kedudukan mereka.
Selain itu serangan juga dijalankan bagi mematahkan ‘kempen kepung dan basmi’ yang dijalankan tentera kerajaan secara besar- besaran serta memakan satu tempoh masa yang panjang.
Keadaan-keadaan di atas banyak menjelaskan pendirian dan sikap anti kolonial, bukanlah penentangan terhadap kerajaan tempatan yang diambil PKM setelah pengunduran mereka ke Selatan Thailand dan juga selepas kemerdekaan Malaya.
Cuma sikap keras penentangan mereka terhadap penjajahan British dengan kekerasan dengan bermandi darah dan ideologi komunis yang didukung mereka tidak dapat dikongsi oleh Kerajaan Malaya dan masyarakat negara ini secara umumnya dan khususnya bagi masyarakat Melayu.
Dr Salleh Lamry dalam kesimpulannya turut mencatatkan “meskipun mereka berjuang di luar arus perdana dan kini dianggap sebagai pihak yang kalah, tetapi mereka telah mengambil tempat yang penting dan tidak boleh dinafikan dalam sejarah tanah air…
“Oleh itu samada kita bersetuju atau tidak dengan perjuangan mereka, perjuangan mereka itu tetaplah merupakan satu episod penting dalam sejarah tanah air dan memang telah tercatat dalam buku-buku sejarah.
“Hanya barangkali, yang tidak wajar ialah, perjuangan mereka itu telah diberi gambaran yang sangat negatif, iaitu sebagai perjuangan pengganas, penjahat, pengkhianat dan sebagainya yang dianggap mengancam keselamatan negara dan bukan sebagai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan,” menurutnya.
Akan datang (Bahagian 3): Menyingkap sebalik takbir kejayaan Rundingan Haadyai.
No comments:
Post a Comment