Share |

Friday 4 March 2011

Interlok: Hanya satu perkataan diubah?

Sekiranya satu perkataan perlu diubah, maka tidak perlu panel bebas.
PETALING JAYA: Walaupun Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok sudah diberi amanah melaksanakan tugas mencadangkan pindaan terhadap novel kontroversi itu, masyarakat umum masih melahirkan kebimbangan.
Perkara ini amat nyata melalui pelbagai komen di portal berita, rangkaian sosial Facebook dan blog. Analisis di FMT semalam turut mendapat reaksi pembaca.
Orang ramai bimbang bahawa Kementerian Pelajaran mungkin hanya melakukan pindaan yang terlalu minimum terhadap novel edisi murid itu yang dijadikan teks Komponen Sastera (Komsas) bagi subjek Bahasa Malaysia Tingkatan Lima di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kalau hanya perkataan ‘paria’ mahu diubah, kerja itu sepatutnya sudah dibuat sejak kontroversi ini mula-mula timbul.
“Tidak perlulah membazir masa dan tenaga melantik satu panel khas kalau hanya mahu tukar satu perkataan,” kata seorang pemuda yang ditemui penulis.
Katanya, penggunaan istilah ‘paria’ dalam novel Interlok edisi murid menjadi pencetus kemarahan kerana menyentuh sensitiviti dan menghina kaum India.
“Melalui pelbagai dialog, forum serta tulisan di portal berita dan blog, sudah terbukti bahawa ada terlalu banyak kelemahan dalam novel itu. Sudah terlewat untuk mengabui mata rakyat dengan hanya menukar perkataan ‘paria’ sahaja,” katanya.
Beberapa individu yang ditemui berkongsi pandangan yang sama, iaitu bahawa terdapat terlalu banyak perkara menyentuh sensitiviti kaum, menghina masyarakat, kesilapan fakta dan kesalahan bahasa dalam novel itu.
“Kalau semua kesilapan itu ditukar, tentu seluruh novel akan berubah. Jadi, lebih baik tukar sahaja novel itu dengan novel lain untuk dijadikan teks Komsas di sekolah,” kata seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi awam.
Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan persatuan penulis seperti Gabungan Persekutuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) tidak mengizinkan walau hanya satu perkataan di dalam novel itu ditukar.
“Wakil Gapena sendiri ada dalam panel bebas itu. Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain juga tidak mahu karyanya diubah.
“Jadi, saya tidak fikir panel bebas ini boleh bebas melakukan pindaan dalam erti kata sebenar terhadap begitu banyak kesalahan fakta dalam novel itu,” katanya.

No comments: