Share |

Friday 4 March 2011

Pembalakan haram terus berlaku


KUCHING: Penduduk di 15 buah kampung di kawasan Krokong-Tringgus dekat sini berharap kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi berkaitan mempertingkatkan pemantauan termasuk membuat tinjauan dari udara bagi mengesan kegiatan pembalakan yang dikhuatiri dilakukan secara ‘haram’ di lokasi terbabit.

Sekiranya kegiatan pembalakan yang keterlaluan dijalankan secara berleluasa tanpa kawalan, ia pasti memusnahkan habitat dan ekosistem semula jadi di kawasan yang didiami kira-kira 9,000 penduduk itu.

Meskipun beberapa kali surat bantahan diserahkan kepada pihak berwajib termasuk pemimpin nombor satu negeri dan negara ini menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengoh Dr Jerip Susil pada November tahun lepas, namun masalah itu masih membelenggu masyarakat setempat.

Perkara tersebut sangat mengecewakan semua penduduk dan mereka melahirkan harapan menggunung kepada kerajaan agar mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat ke arah menyelamatkan alam sekitar.

Justeru, aktiviti seumpamanya harus dibendung dan siasatan wajar dilakukan terhadap semua pihak termasuk yang memiliki lesen tetapi melakukan pembalakan tanpa mematuhi syarat dan peraturan lesen.

Bercakap dalam satu sidang media di sini semalam, Renjer Hidupan Liar Kehormat Lipik Sarau, 48, menyifatkan pembalakan ‘haram’ sebagai parasit kepada masyarakat kerana merosakkan alam sekitar serta mencuri hasil pendapatan negeri.

“Mereka ini lebih teruk daripada mafia kerana merosakkan alam sekitar tanpa memikirkan kesan dan akibat kegiatan mereka dan kemusnahan yang mereka lakukan bukan saja memberi kesan kepada alam sekitar malah kehidupan masyarakat.

Lesen balak ‘dialibabakan’

“Kegiatan pembalakan haram ini mesti dibanteras dan siasatan perlu dilakukan terhadap syarikat pembalakan yang memiliki lesen tetapi ‘mengalibabakan’ lesen pembalakan itu tanpa mematuhi syarat dan peraturan lesen kepada pihak lain,” katanya yang juga berasal dari Kampung Bijuray, Krokong.

Lipik menegaskan, sekiranya kegiatan curi balak di kawasan hutan di Krokong-Tringgus terus berleluasa, dalam masa beberapa tahun lagi tidak mustahil sumber flora dan fauna di situ kehilangan spesis yang berkualiti tinggi.

Malah katanya, lebih merunsingkan apabila kegiatan haram itu bertumpu di lereng-lereng gunung dan mungkin mengakibatkan tanah runtuh dan jika terus dibiarkan.

“Sumber bekalan air graviti utama kami di sekitar kawasan Ulu Sungai Kanan juga kian tercemar kesan daripada aktiviti pembalakan ini.

“Apalah nasib kami semua kerana terpaksa minum air yang kotor dan berkemungkinan mempunyai bahan-bahan yang mengakibatkan penyakit berjangkit,” tegasnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Joseph Akam, 40 memberitahu kegiatan pembalakan haram yang kini cuba dibendung dengan serius oleh kerajaan negeri mungkin didalangi oleh kumpulan samseng.

Joseph berkata walaupun belum ada bukti kukuh yang mengaitkan penglibatan golongan itu namun kemungkinannya tidak wajar ditolak kerana ia mungkin berlaku.

“Mungkin…(kumpulan samseng terlibat). Saya tidak menolak kemungkinan itu. Pihak berwajib perlu mengesan dan menangani masalah ini dengan serius,” katanya sambil menambah tiga laporan polis telah
dibuat tahun lepas berhubung perkara itu.

No comments: