Share |

Monday, 22 November 2010

Pemilihan hari terakhir dibayangi masalah sama

Oleh Fazy Sahir - Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Proses pemilihan PKR yang bakal melabuhkan tirainya hari ini masih dicemari insiden seperti dakwaan pertikaian proses pengiraan undi dan kertas undi bocor yang dikesan dicabang yang mengadakan pengundian.
Insiden ini dikesan membabitkan cabang Ampang apabila terdapat segelintir anggota parti cuba membuat 'kecoh' sehingga proses pengiraan undi terpaksa mengalami penangguhan.
Menurut anggota cabang Ampang yang dihubungi FMT mengesahkan perkara itu dan difahamkan sekumpulan anggota PKR terdiri daripada 10 orang cuba membuat kacau ekoran tidak berpuas hati dengan proses pengiraan undi yang sedang berjalan itu.
Katanya kekecohan yang berlaku sehingga sejam itu memaksa pengiraan undi dilakukan semula oleh petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
Menurut anggota itu yang enggan namanya disiarkan berkata kira-kira 850 pengundi di cabang itu menjalankan tanggungjawab mengundi di Dewan Musa Bakti Sri Nilam hari ini.
Beliau turut mendakwa anggota yang datang membuat kacau itu bukan daripada pengundi Ampang.
"Mereka ini anggota daripada luar Ampang dan difahamkan mereka wakil beberapa calon. Perkara ini hanya benda kecil yang cuba diperbesarkan. Mereka kata pengiraan undi tipu sebab pengawas yang bertugas daripada cabang Ampang.
"Tidak dinafikan pengawas yang bertugas daripada cabang Ampang sendiri namun pengiraan undi dijalankan dengan telus. Mereka buat kecoh sehingga ketua pengawas bertindak untuk meleraikan hal ini.
"Disebabkan hal ini juga, petugas terpaksa kira setiap undi semula. Kira satu-satu undi daripada 850 pengundi yang datang kerana mahu puaskan hati semua orang. Maka berlaku kelewatan namun setakat ini proses pengiraan berjalan dengan lancar semula," kata anggota itu.
Ketika ditanya sama ada anggota tersebut adalah wakil calon-calon tertentu, beliau berkata mereka terdiri daripada salah seorang calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pemerhati salah seorang wakil rakyat PKR.
Namun beliau yang berada ditempat kejadian enggan mengulas lanjut siapa 'punca' masalah sebaliknya menyifatkan tindakan itu sebagai 'tidak professional'.
"Mereka boleh memberi reaksi jika tidak puas hati dengan pengiraan undi itu, namun jangan bertindak tidak professional seperti ini," jelasnya.
Menurutnya, pengiraan undi dibuat semula kira-kira jam 7 petang tadi dan dijangka selesai 11 malam jika tiada sebarang masalah berlaku lagi.
Sementara itu, FMT turut melaporkan dakwaan kertas undi bocor sebelum pemilihan berlangsung namun sehingga kini tiada sebarang reaksi diberi oleh pihak parti untuk menjelaskan perkara berkenaan memandangkan satu mesyuarat biro politik masih berlangsung.
FMT menerima e-mail awal pagi ini yang turut dilampirkan gambar borang pemilihan jawatan timbalan presiden dan naib presiden berwarna merah jambu.

No comments: