Share |

Monday, 22 November 2010

Mahkamah halang permohonan injunksi Jenapala


Oleh Jamilah Kamarudin - FMT
LAPORAN PENUH KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan injunksi bekas timbalan setiausaha agung PKR SP Jenapala untuk menghalang PKR mengisytiharkan pelantikan barisan Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat (MPP) yang baru.
Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali berkata dalam kamar, injuksi itu tidak akan diberikan kerana mahkamah menetapkan tarikh Khamis ini (25 November) bagi mendengar permohonan saman Jenapala untuk mendapatkan perintah mahkamah bahawa pemilihan yang diadakan bagi jawatan timbalan presiden parti itu tidak sah.
Ini kerana katanya menurut perlembagaan PKR, pengumuman keputusan pemilihan parti akan hanya diumumkan pada kongres tahunan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad (28 November) ini.
"Tiada injunksi akan diberikan kerana mahkamah akan mendengar permohonan saman Jenapala pada 25 November (tarikh sebelum kongres tahunan PKR diadakan)," katanya.
Layak bertanding
Jenapala, 56, pada 19 November lalu memfailkan saman terhadap PKR kerana mendakwa proses pemilihan MPP parti itu bertentangan dengan haknya sebagai anggota PKR seumur hidup, dan beliau masih boleh bertanding bagi jawatan itu.

Jenapala mendakwa dirinya masih layak untuk bertanding jawatan itu walaupun dikatakan telah dipecat daripada parti pada 2008.

Beliau menamakan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden Dr Syed Husin Ali dan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail sebagai respondan.

Dalam samannya, beliau berkata kenyataan Saifuddin pada 20 Sept lepas bahawa beliau telah dibuang daripada PKR adalah tidak berasas kerana keahliannya telah disahkan di ibu pejabat parti itu pada 17 Sept.

Jenapala juga mendakwa tidak pernah dimaklumkan oleh parti itu berhubung pengguguran keahliannya mahupun apa jua tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.

Beliau yang menjadi timbalan setiausaha agung PKR sejak awal 2008 sehingga peletakan jawatannya secara lisan pada Disember tahun yang sama, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada 17 Sept lepas.

Jenapala diwakili peguam James Kaung manakala responden PKR diwakili peguam Ranjit Singh dan Radzlan Hadri.

Peguam R Sivarasa dan Latheefa Koya turut dilantik PKR sebagai peguam pemerhati bagi kes ini.

No comments: